31 December 2014

Penutup Misi Disember 2014 & I'm On My Period!

31 Disember 2014.

Hari terakhir bagi tahun 2014 ni, aku dapat buat 3 fast miles powerwalk. Semalam lepas buat pipelle sampling tu, perut senak dan pinggang rasa lenguh-lenguh jadinya memang takde ler aku nak bersenam. Terlepek lemau je sepanjang hari.

Jadi, hari ni kuatkan semangat buatkan juga powerwalk sebelum tahun baru 2015. Esok kita bangkit dengan semangat lebih membara....amin! 

Hie darlings! Rindu banget sama kamu....6 bulan lebih dah tak guna kamu, kan?

Last makan ubat Provera pagi semalam sebelum jumpa doktor dan sebelum doktor suruh stop makan ubat hormon tu untuk 6 minggu. So, aturan makan ubat 3 kali sehari dah terskip 2 waktu semalam dan 1 kali pagi tadi sejak aku stop makan Provera.

Sampai pejabat pagi tadi, perut rasa senak, sebu dan macam kena sengugut. Dalam pukul 10 pagi, jumpa darah period kat pantyliner. Confirm...period! Masa tu ler baru menyesal tak ambil ubat tahan sakit yang doktor nak bagi semalam masa appointment kat GH Melaka. Aku siap sms adik bongsu minta ambilkan ubat tahan sakit untuk back-up plan kalau dah tak tahan sangat sakit.

Suka Duka 2014

Peristiwa Penting Sepanjang Tahun 2014

Mak - Arwah mak tersayang pergi meninggalkan kami semua. Arwah mak mula start sakit pada awal minggu kedua Feb 2014 akibat jangkitan kuman dalam darah (berkemungkinan jangkitan semasa buat rawatan dialysis). Masuk hospital genap sebulan, dari keadaan arwah mak yang agak nazak sehingga kembali sihat dan dapat balik semula ke rumah. Kami semua tak jangka perancangan Allah SWT, mak berpeluang balik rumah tak sampai 4 hari, tiba-tiba kesihatan arwah mak kembali merudum sehingga terpaksa di bawa semula ke hospital.

Itulah kali terakhir aku menatap senyuman dan dengar suara arwah mak (tengah malam lepas admit ke wad), keesokan hari masa aku datang melawat sebelah petang mak dah tak bermaya, sehingga tiba-tiba degupan jantung mak collapsed, mak menjadi koma dan ditempatkan di ICU. 6 hari arwah mak bertarung nyawa di ICU, tepat 5.16 petang Sabtu (29 Mac 2014) arwah mak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Terasa gelap dunia aku. Separuh dari nyawa aku dah dibawa pergi olehNya.

Bibik Siti – Bibik yang paling kami sayang. Arwah Bibik Siti meninggal pada hari Jumaat 8 Ogos 2014, dua (2) bulan selepas pulang ke Semarang, Indonesia. Bibik Siti menghidapi penyakit kanser payudara tahap 4, sudah menjalani pembedahan di Indonesia pada bulan Ramadhan...tapi Allah SWT lebih menyayanginya. Bibik pergi selepas empat (4) bulan lebih arwah Mak tiada. Semasa aku menjalani pembedahan laparoscopy, arwah bibik lah yang menjaga aku dengan baik sekali.

Suspek Tibi – Sebaik sahaja selepas pembedahan laparoscopy, aku ditahan di GH Melaka ekoran disyaki menghidap tibi. Admission di GH Melaka yang sepatutnya selama 3 hari, menjadi 7 hari! Selama 5 hari aku dikuarantin di aras 5 blok lama di wad tibi. Sengsaranya hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Hasil keputusan 3 sampel kahak sepanjang dikuarantin membuktikan aku bebas dari penyakit tibi dan aku dibenarkan discharge. Selama 3 bulan aku dalam pemantauan doktor, aku masih perlu menjalani beberapa ujian klinikal dan ujian darah ESR. Pada 13 Ogos 2014, barulah doktor mengesahkan aku benar-benar negatif tibi bila mana X-ray dada tak ada masalah, kahak tak ada kuman tibi dan bacaan ujian darah ESR rendah. Doktor cakap tak perlu datang buat rawatan susulan lagi lepas ni. Alhamdulillah!

Usaha TTC

Sepanjang tahun 2014, sebanyak 6 kali temujanji dengan Klinik Pakar O&G GH Melaka. Awal tahun (Januari – Mei 2014) period turun secara natural tanpa sebarang ubat hormon atau ubat turun period. Prosedur laparoscopy yang sepatunya dibuat pada bulan April ditundakan ke bulan Mei (7 Mei 2014) atas permintaan aku sebab arwah mak baru sahaja meninggal. Hasil laporoscopy, tiub kiri yang tersumbat telah dibersihkan dan sampel dinding rahim yang diambil dihantar ke lab.

Temujanji selepas laparoscopy (24 Jun 2014), doktor maklumkan hasil keputusan lab menunjukkan aku ada Simple Endometrial Hyperplasia Without Atypia ( tahap 1 ). Aku diberi ubat hormon Provera selama 4 bulan untuk menipiskan dinding rahim dan memantau perkembangan EH ini. Start dari makan Provera, aku tidak period setiap bulan dan hanya bleeding pada hari-hari tertentu sahaja. Temujanji pada 14 Oktober 2014, aku buat prosedur endometrium pipelle sampling sebab doktor nak pastikan sama ada aku benar-benar Simple Endometrial Hyperplasia Without Atypia ( tahap 1 ) atau tahap lebih tinggi.

Temujanji pada 18 November 2014, doktor menaikkan dos Provera sebab tindakbalas ubat tersebut pada badan aku agak kurang memberangsangkan, berkemungkinan atas faktor insulin resistance. Keputusan makmal bagi prosedur pipelle yang dibuat pada bulan Oktober menunjukkan aku masih di tahap 1 endometrial hyperplasia. Pada temujanji terakhir tahun 2014 (30 Disember 2014), sekali lagi aku buat prosedur endometrium pipelle sampling, selepas hasil scan menunjukkan tindakbalas badan kepada ubat Provera dengan dos paling tinggi tidak seperti yang diharapkan. Cuma, kali ini doktor minta aku berhenti memakan ubat Provera untuk tempoh 6 minggu sehingga tarikh temujanji seterusnya iaitu pada bulan Feb 2015.

Usaha Menurunkan Berat Badan Dan Gaya Hidup Sihat

Ada turun naiknya. Di awal tahun 2014, berat badan adalah sebanyak 62-63kg dan bacaan timbangan terkini semasa di GH Melaka (30 Disember 2014) adalah sebanyak 66-67kg. Apa-apa pun Alhamdulillah kenaikan masih dalam range berat badan yang boleh diterima akal. Masih lagi mengamalkan pemakanan Herbalife dan inshaAllah akan teruskan untuk tahun 2015.

Bersyukur juga sebab sepanjang tahun 2014 aku banyak melakukan aktiviti riadah dan bersenam bersama suami tersayang. Paling istiqamah adalah aktiviti powerwalk, briskwalking, jogging dan zumba.

Percutian Sepanjang 2014

Lost World Of Tambun, Perak – Percutian yang lebih kepada hari keluarga organisasi aku pada 7 – 9 Feb 2014.

Corus Paradise Beach Resort, Port Dickson – Percutian selepas hampir 3 minggu arwah mak meninggal (bulan April 2014). Bukan satu percutian untuk berseronok-seronok, tapi lebih kepada percutian untuk menenangkan hati kami yang duduk serumah dengan arwah mak, terutamanya kami suami isteri, arwah Bibik Siti dan anak buah kami.

Cameron Highlands, Pahang – Tempat percutian wajib kami suami isteri setiap tahun. Dah rasa macam balik kampung je mood setiap kali naik CH. Kami berpeluang ke CH sebanyak dua kali tahun ni. Yang pertama semasa balik dari Hari Keluarga di Perak (Februari 2014) dan yang kedua masa pra-bulan madu (Oktober 2014) kami.

Zakat Pendapatan 2014

31 Disember 2014.

Semalam lepas appointment di GH Melaka, aku ke Pusat Zakat Melaka untuk buat pembayaran zakat pendapatan tahun 2014. Sebenarnya aku belum buat pemotongan gaji zakat bulanan, asyik bertangguh je...isk! Jadi, kali ni nak buat dua benda penting iaitu bayar zakat pendapatan setahun dan mengisi borang potongan gaji zakat pendapatan untuk tahun bermula 2015.

Masa kat kaunter, aku minta staf PZM buatkan pengiraan sebab aku memang tak arif bab-bab pengiraan ni. Lepas kira-kira, staf PZM cakap kena bayar RM881.04...hambik! Huhuhu....Ni yang buat aku lagi berkobar-kobar nak buat potongan bulanan dari gaji je. Staf tu cakap kalau buat potongan bulanan, setiap bulan akan dipotong sebanyak RM70-RM80 je.

Kebetulan lepas bayar, on the way ke rumah kakak aku untuk hantar sambal hitam Pahang tu, boleh pulak ternampak kain rentang pasal pembayaran zakat pendapatan dekat lampu trafik. Phew...nasib baik sempat! Rupanya last pembayaran adalah sebelum 31 Disember 2014.

Alhamdulillah, selesai sudah tanggungjawap...

Masa whatsapp dengan adik beradik pasal zakat pendapatan ni, kakak aku sebut macam ni....

"Pesanan mak yang Ateh masih ingat...selesaikan hutang dulu, baru hati kita tenang walaupun sedikit je duit kita. Always...remind diri kita tentang rukun Islam...tunaikan zakat. Jangan sedih...banyak lagi rezeki yang Allah nak bagi kalau kita dekat denganNya"

30 December 2014

Endometrial Hyperplasia : Temujanji Terakhir Tahun 2014


30 Disember 2014.

Ye, temujanji terakhir setelah 6 temujanji rawatan sepanjang tahun 2014 ini. Temujanji macam biasa jam 9.00 pagi tapi kali ini aku keluar dari rumah agak awal dari kebiasaan, jam 7.00 pagi dah bergerak dari rumah dan sampai di GH Melaka jam 7.40 pagi. Lepas ke farmasi GH Melaka untuk serahkan ubat insulin arwah mak (alhamdulillah!), aku pergi jenguk klinik pakar O&G untuk ke tandas. Masa lalu kat kaunter temujanji, aku tengok bakul untuk letak kad rawatan bagi sesi 8.00 pagi, 8.30 pagi dan 9.00 pagi dah ada! Apa lagi....aku terus masukkan kad rawatan aku dalam bakul tu, kebetulan dalam bakul jam 9.00 pagi dah ada 2-3 kad rawatan pesakit lain, awal sungguh diorunk sampai! Patutlah bila aku sampai jam 8.30 pagi, no giliran aku sampai berpuluh-puluh dan kena menunggu sampai lewat tengahari....alhamdulillah kali ini aku dapat no. 9.

Lepas ambil bacaan berat badan dan tekanan darah di bilik no. 11, tak lama lepas tu no giliran aku dipanggil ke bilik rawatan no. 2. Masuk je bilik tu, aku tengok Dr Maimunah, doktor yang sama aku jumpa masa temujanji bulan November tempohari di meja rawatan. Dr. Maimunah tanya lebih kurang pasal progress makan ubat Provera dengan dos yang dinaikkan, lepas tu ajak aku gi scan dinding rahim di bilik no. 9. 

Scan : 1.5cm - 1.13cm - 1.16cm

Masa scan dari atas, Dr Maimunah kata nampak gaya ubat Provera tak beri respons yang baik pada saiz ketebalan dinding rahim aku walaupun dos dah dinaikkan. Aku tanya sekarang berapa saiz? Doktor pusingkan skrin paparan mesin scan dan tunjuk gambaran dinding rahim aku yang nampak ada kawasan yang mengandungi gelembung-gelembung dan tekstur tak rata. Bacaan saiz ketebalan dinding pula naik sedikit kepada 1.16cm. Dos naik, saiz ketebalan pun naik? Aku terdiam tak tahu nak cakap apa. 

Endometrial Pipelle Sampling

Dr. Maimunah maklumkan nak buat prosedur pipelle sampling pada aku. Masa tu aku agak terkejut, aku bagitahu Dr yang Dr Kuharaj dah pernah buat prosedur bulan 10 haritu. Dr Maimunah kata result pipelle sampling tu dah consider result lama, dia perlu buat juga untuk hantar lab untuk monitor progress dinding rahim dengan sampel dari dalam rahim. Redha jer la masa tu, walaupun aku memang dah trauma dengan prosedur pipelle sampling tu.

Alhamdulillah, Dr Maimunah buat prosedur dengan cepat dan kurang rasa sakit. Rasa sengal, bisa dan senak tetap ada, cuma mungkin mengangkang depan doktor perempuan membuatkan aku sedikit selesa berbanding depan doktor lelaki. Aku rasa yang sampai 3 kali spekulum dan forcep terkeluar masa buat prosedur yang sama dengan Dr Kuharaj dulu tu sebab aku terkemut-kemut segan depan doktor lelaki la kot. Lepas ambil sampel, Dr Maimunah minta aku datang balik ke bilik no. 2 untuk berjumpa dengan dia. Turun dari tempat scan tu, bleeding dah mula keluar dan pantyliner aku basah habis.

Ubat : Rehat 6 Minggu

Jumpa balik Dr Maimunah di bilik no. 2, doktor tanya nak teruskan rawatan dengan suntikan lucrin tak? Again??! Aku macam....err, kalau tak suntik lucrin boleh tak? Dr concern pasal aku dah ambik Provera lebih kurang 6 bulan, takut badan dah imun dan resistance dengan ubat hormon tu. Sebab tu dia propose aku ambil suntikan lucrin untuk continue proses menipiskan dinding rahim dan solve masalah endometrial hyperplasia aku ni. Lepas tu entah apa ntah Dr tu dok fikir, dia cakap dia nak rehatkan aku dari ubat-ubatan untuk tempoh 6 minggu. Nak tengok dulu result pipelle sampling yang baru diambil tadi, kemudian baru fikirkan apa rawatan seterusnya. Kalau masih belum ok, mungkinnn....mungkin la akan proceed dengan lucrin. Kalau result pipelle sampling tu ok, Dr Maimunah nak cuba bagi ubat hormon (most probably) Clomid untuk percubaan bantu aku mengandung awal tahun depan.

Note : Last aku makan ubat Provera adalah pagi tadi (30 Disember 2014) selepas sarapan. 

Menunggu Period Datang

Bila Dr Maimunah kata nak stopkan dulu aku dari apa-apa ubat, aku tanya dia sama ada aku akan period tak dalam tempoh tu? Dr tanya balik...awak tak nak period ke? Aku tergelak, aku cakap mestilah aku nak period balik, dah lama kot tak period, dah 6 bulan.....I miss my period so badly. Hehehe.... Lepas tu doktor tanya aku nak ubat tahan sakit ke incase kena heavy flow period nanti? Aku kata tak perlu, inshaAllah boleh cope dengan period pain.

Berbual Dengan Doktor

Syukur, kali ini aku dapat peluang berbual lama sedikit dengan Dr Maimunah bertanyakan pasal penyakit endometrial hyperplasia ni. Aku tanya sama ada perlu ke buat hysteroscopy dan D&C setiap kali ketebalan dinding rahim menebal (based pada pengalaman rakan yang senasib dengan aku yang dah buat prosedur tu sampai 2 kali)? Dr Maimunah kata tak perlu sebenarnya tapi bergantung juga pada keputusan doktor yang attend kes tu. Boleh je monitor kes endometrial hyperplasia dengan ubat-ubatan sahaja.

Sekali lagi, Dr Maimunah suggestkan aku buat rawatan alternatif lain selain rawatan di GH Melaka, banyakkan cari bahan bacaan yang ada doa-doa yang boleh diamalkan untuk sembuhkan simptom early stage cancer ni.

Urusan dengan doktor pakar klinik O&G selesai tepat jam 9.40 pagi, alhamdulillah! 

29 December 2014

Mak : 9 Bulan & Pulangkan Untuk Manfaat Orang Lain

29 Disember 2014.

Hari ni genap 9 bulan arwah mak tersayang tiada. Al-Fatihah buat arwah mak.

Kelmarin dok mengemas dalam fridge, buang apa yang tak perlu dan susun balik mana yang masih baik. Terjumpa banyak plastik ubat yang berisi ubat Actrapid Penfill untuk suntikan insulin arwah mak. Bukan sedikit, dekat berpuluh-puluh juga benda alah tu. Hospital biasa ler, setiap kali rawatan akan bekalkan ubat, ubat lama belum habis dah diberi stok ubat baru. Lama-lama dah menimbun dalam fridge, nasib baik memang tempat simpan betul; dalam ruang yang sejuk dan kering.

Aku google pasal Actrapid Penfill ni, boleh tahan mahal harga di pasaran. Sekotak yang berisi 5 batang penfill tu mencecah harga RM47. Bayangkan berapa ratus ringgit harga stok insulin yang dok tersimpan dalam fridge ni tak berusik? 

InshaAllah, aku dah niat nak hantar balik ke farmasi GH Melaka semua stok insulin ni esok, semoga  dapat dimanfaatkan oleh pesakit diabetis yang lain. Stok ubat arwah mak yang lain dah diserahkan ke farmasi GH Melaka beberapa hari lepas arwah mak meninggal, yang ini je entah macam mana boleh terlepas pandang.

Misi Disember 2014 : Zumba & 2 Miles Powerwalk


29 Disember 2014.

Petang tadi dapat buat 35 minit zumba Linda Edler dan 32 minit 2 miles powerwalk Leslie Sansone. Dalam sejuk-sejuk hujan, masih berpeluh menitik-nitik satu badan.

Hahaha....suka sangat quote yang ini....part no. 3 tu paling sesuai masa aku tengah bersenam! 

Sambal Hitam Pahang : Nasib Baik Sampai!

29 Disember 2014.

Alhamdulillah! Selamat sampai jugak parcel sambal hitam aku ni di pejabat kejap tadi. Nasib baik tak hanyut dek banjir di Pahang nun.

Haritu ada keluar dalam akhbar Kosmo pasal produk-produk tempatan, aku ternampak pasal sambal hitam Pahang keluaran Shikin Delicious. Dah tekak pun memang dah lama teringin nak makan sambal hitam Pahang ni, aritu dok cari di booth Pahang SDSI tak jumpa pula. Isnin minggu lepas pakat-pakat ajak member opis join order sambal hitam Pahang ni. Campur dengan order member-member, aku order 14 bekas sambal hitam, aku punye order je dah 8 bekas (kes nak agih-agih pada adik beradik yang duduk kat Melaka ni).

Nak dijadikan cerita, kebetulan masa tu belah pantai timur dah start banjir, aku boleh terlepas pandang isu tu. Bila dah order, staf Shikin Delicious mesej di FB maklumkan mungkin akan delay delivery sebab laluan nak ke pejabat pos banyak ditutup, berkemungkinan dia akan pos dari Pekan, Pahang. Aku ok je sebab faham kesukaran diorunk nak uruskan banyak benda kat sana, dah la banjir.
 


 Tak sabar nak makan sambal hitam Pahang ni dengan nasi putih panas-panas.....nyum nyum!

28 December 2014

Misi Disember 2014 : Hujung Minggu Terakhir Tahun 2014


28 Disember 2014.

Hari ni hari minggu terakhir sebelum tahun 2014 melabuhkan tirai. Alhamdulillah dapat juga beriadah di luar rumah bila mana cuaca di luar agak cerah dan baik. Tanah masih lembab sebab malam tadi hujan tapi it's ok, masih boleh berjogging dengan suami. Macam biasa, guna trek 10,000 langkah sedia ada dan selesai dalam tempoh masa seperti yang dijangka; 1 jam 12 minit.

Kejap je dah nak masuk tahun 2015, kan? Apa pencapaian kita especially dari segi kesihatan dan gaya hidup? Mine ada turun naik jugak. Macam biasa la, awal tahun penuh semangat nak turunkan berat badan...pertengahan tahun agak merundum atas beberapa faktor, dah hujung-hujung tahun baru aktif balik beriadah mengejar saki baki tahun 2014.

Tak mengapalah tahun 2014 ni belum diberikan rezeki zuriat dalam usaha berTTC sebab aku tahu Allah SWT ganti balik dengan tahap kesihatan yang inshaAllah lebih baik untuk kami berdua suami isteri. Jarang betul cuti sakit (kecuali cuti sakit 2 minggu yang diberikan lepas laporoscopy bulan Mei aritu la) sepanjang tahun ni. See? Allah tu Maha Adil dari semua sudut hidup kita sebagai manusia ni. Dan tak lupa juga rezeki dikurniakan seorang suami yang cukup sporting bila diajak bersenam bersama-sama. Thanks alot suamiku! 

P/s: Tak sabar nak beriadah/bersenam minggu depan....tahun baru...2015...semangat baru...yeay!

27 December 2014

Misi Disember 2014 : Sabtu Yang Padat


27 Disember 2014.

Cukuplah kot buat 3 miles strong walk petang tadi. Sepanjang hari dok membasuh baju, mengemas kat dapur dan bersihkan peti sejuk. Tak duduk diam dalam rumah walaupun 3 kali hujan turun lebat dari pagi membawa ke malam.


Hari ni semua kucing-kucing kat dalam dan luar rumah jadi tak aktif sebab hujan sepanjang hari. Assyyiikk tidur je dari pagi sampai malam. Haishhh....

26 December 2014

Misi Disember 2014 : Bersenam Sambil Lawan Sejuk Hujan


26 Disember 2014.

Sejuk-sejuk hujan sepanjang hari ni, takut juga berjangkit pada semangat nak bersenam lepas balik kerja tadi. Sampai agak awal kat rumah, sempat basuh baju dalam washing machine dan kemas ruang tamu sebelum tukar workout attire.

Petang ni pilih 4 fast miles powerwalk, alhamdulillah masih kuyup berpeluh. Kena buat workout yang sedikit intensif (extreme) sebab nak lawan dingin hujan kat luar. Aku memang suka buat 4 fast miles powerwalk tu sebab ade part "boosted walking @ jogging". Mencungap-cungap nak putus nafas dibuatnya.

Bah Di Pantai Timur : Jom Menderma!


26 Disember 2014.

Melaka mula hujan tak berhenti-henti dari semalam (25 Disember 2014) hingga ke saat ini. Walaupun belum ada pengumuman mana-mana kawasan di Melaka dinaiki air sehingga paras membimbangkan, hujan tak berhenti-henti ini sudah cukup mengkucar-kacirkan pergerakan trafik di sekitar bandar Melaka. Banyak berlaku kemalangan akibat jalan licin atau sikap tidak sabar pemandu.

Ni empunya blog pun baru sahaja ditimpa musibah kemalangan kecil di lampu isyarat di bandar Melaka (waktu keluar tengahari), semasa menuju ke bank untuk bayar duit bulanan kereta. Mengigil badan sebab terkejut pun masih berbaki. Alhamdulillah, tiada kerosakan pada kedua-dua buah kereta (yang menyondolnyer kereta aku, yang disondol adalah kereta mahal milik lelaki muda berbangsa Cina). Silap aku...ingatkan kereta depan dah nak gerak masa lampu bertukar jadi hijau, nasib baik aku masih dalam gear 1 jadi hentakan tak kuat sangat...phew!). That Chinese guy bagi emergency signal, keluar dari kereta dan inspect bahagian belakang kereta dia. Aku dah mengigil satu badan risau kena marah, keluar kereta dan minta maaf sebab tak sengaja. Nasib baik dia ok dan tak melenting marah, siap tanya aku ok ke tak?


Lepas kejadian tadi, terus muhasabah diri. Ternampak entri blog InaAchik, terkesan pula dalam hati. Dermalah seikhlas hati, yang penting kita doa sama-sama semua bantuan yang dihulurkan tak kira sumbangan barang-barang keperluan atau kewangan selamat sampai kepada mereka-mereka yang memerlukan.



25 December 2014

Misi Disember 2014 : Badan Tak Sihat


25 Disember 2014.

Balik kerja semalam, badan rasa tak sihat. Lepas solat Maghrib dan Isyak, terus tidur. Terbangun pukul 12.00 tengah malam pun sebab suami kejutkan tanya nak minum shake ke tak. Lepas minum sambung tidur balik. Memang tak larat, badan rasa bisa-bisa. Rasanya sebab terkena hujan masa mesyuarat kat luar pejabat. Malam tadi tak de buat apa-apa workout pun, kecewa rasa hati ni.

Pagi ni bangun rasa badan dah sihat sikit. Tengok kat luar, tanah basah, hujan turun dari malam tadi sampai ke Subuh. Langit pun masih mendung dan guruh sekali sekala berbunyi. Jadi, takde aktiviti jogging di luar, ganti dengan 5 miles (8.05km) advance powerwalk dalam rumah. Kalau jogging kat luar dengan tempoh masa yang sama (1 jam 12 minit) baru cover 6-7km, tapi dengan powerwalk dah lebih 8km...berbaloi dan maintain lencun berpeluh.

24 December 2014

Misi Disember 2014 : Kena Lawan Sifat Malas


24 Disember 2014.

Semenjak dua menjak ni hujan asyik turun sepanjang hari tak kira masa di Melaka. Bila kesejukan apantah lagi bersulam dengan keletihan bekerja sepanjang hari, sedikit sebanyak perasaan malas tu wujud dalam diri. Ada sahaja bisikan halus yang membisik untuk skip sahaja aktiviti bersenam.

Malam tadi pun bersenam agak lewat, pukul 11.00 malam baru mula. Itupun lepas selesai memasak dan mengemas ruang dapur, cepat-cepat salin pakaian dan pasang video 3 miles weight loss powerwalk Leslie Sansone untuk 47 minit.

Tak boleh beralasan lagi, masa dah sangat suntuk. Kurang seminggu temujanji dengan klinik O&G GH Melaka dan kurang seminggu lagi tahun baharu 2015 akan tiba.

23 December 2014

Misi Disember 2014 : Biar Lambat Dari Langsung Tiada


23 Disember 2014.

Petang semalam tak sempat nak bersenam. Dah la hujan, mengejar masa nak singgah kedai runcit membeli barang dapur dan bahan untuk diblend dengan shake Herbalife . Sesuatu perlu dikorbankan; dan nampaknya ia adalah masa bersenam pada waktu petang lepas balik kerja.

Sesampai kat rumah, siapkan shake untuk dinner dan shake untuk breakfast hari ni. Lepas tu solat Maghrib dan Isyak. Bergegas masak lauk gulai kari ayam dan sayur bayam campur untuk bekal tengahari ni. Kelentang kelentung kat dapur sampai pukul 10.30 malam. Rehat kejap layan karenah anak-anak bulus depan tv.

Pukul 11.15 malam kuatkan semangat, sarung shirt, sport bra dan seluar tight. Pasang video Start Walking At Home 3 Miles With Leslie Sansone kat tv. Siapa kata bersenam lewat malam peluh susah nak keluar? 46 minit berpowerwalk, kuyup berpeluh. Hormon endorphins merembes keluar, hati jadi sangat gumbira. Takpe la lewat bersenam daripada tak bersenam langsung, rasa badan lemau je.


Lepas bersenam, sementara keringkan peluh dok layan ebook Women's Health keluaran Januari 2015 kat tv. Menarik juga artikel berkaitan hormon kewanitaan dan penyakit-penyakit yang kita sebagai wanita perlu bersedia untuk hadapi.

22 December 2014

Mak Mengandung, Anak Yang Loya-Loya

22 Disember 2014.

Haritu adik bongsu aku ada cerita, masa dia mula-mula mengandung (yang no.2) ni...dia tak perasan dia mengandung sebab tak ada simptom-simptom loya ke muntah ke. Tapi dia perasan anak dia, Aina macam asyik loya-loya nak muntah, tak boleh bau something yang busuk. First detect masa dia keluar berjalan dan pergi makan di Sushi King. Aina macam tak boleh bau hanyir ikan, asyik nak uwek-uwek je. Lepas tu, barulah adik bongsu aku detect dia mengandung lepas buat ujian kehamilan.

Semalam, macam kebiasaan hujung minggu aku dan suami jadi baby sitter Aina masa adik bongsu aku buat lokum. Lepas dia sampai je kat rumah, ajak dia pergi kedai beli barang dan nak beli nasi lemak untuk suami. Macam biasa juga, Aina akan pilih aiskrim paling mahal untuk diri sendiri....hahaha. WA dengan adik bongsu tunjuk gambar atas tu, adik bongsu kata kalau dengan dia....memang jangan harap dia belikan aiskrim mahal-mahal. Adik beradik yang lain mencelah "Dengan CikDa dan CikYein dia je dapat makan best-best"


Kemain senyum sampai tutup-tutup mata, clingy sangat dengan suami. Memang sepanjang masa duduk melekat dengan suami, nak ke dapur pun suruh dukung dan suruh buka peti ais untuk dia.


Adik bongsu kata sebelum datang rumah, memang dah tanya banyak kali kat Aina nak bekal nasi lemak ke tak datang rumah CikDa? Aina sampai marah-marah sebab mak dia tanya banyak kali. So, adik bongsu cuma bekalkan dia maruku. Aku keluar carikan juga nasi lemak kosong tak de sambal dengan telur dadar. Kat kedai pun Aina minta air tin soya. Balik rumah, tanya Aina nak makan nasi lemak tak? Dia angguk.

WA gambar atas ni pada adik, lagi sekali dia terkejut! Hahaha.....kemain dia sengih macam tu bila suruh senyum nak hantar gambar kat mama dia.


Dah pukul 11 lebih, Aina cakap Aina nak kencing. Aku cakap Aina kencing je la dalam pampers. Dia mati-mati tak nak. Dah suruh bukak pampers dia, siap tarik-tarik strapper tepi pampers tu. Bila bukak, memang kering je pampers tu. Dia berlari masuk toilet terus masuk dalam baldi, kata nak mandi pulak!

Kelentong punye Aina! Dok layankan dia mandi dalam dua baldi sambil main gayung. Mula-mula tak dapat tangkap dia mumble lagu apa masa mandi...lepas tu baru perasan dia nyanyi lagu "Tanya Sama Pokok". Ni anak Youtube namanya....semua video lagu kanak-kanak kat Youtube dia hafal. Aku suruh suami carikan lagu tu kat dalam Youtube......


Ni lah jadinya.....!
Hahaha.....bila dia dengar lagu "Tanya Sama Pokok" tu kat tv, terus berlari keluar toilet dalam bogel-bogel tu, lepas tu terus menari ikut lagu tu. Tergelak suami tengok gelagat Aina.

Masa adik bongsu dah abis lokum dan datang ke rumah nak bawa balik Aina, adik bongsu ade ke dapur luar untuk main dengan anak-anak kucing aku. Aina mengekor dari belakang tapi tak masuk sampai ke dalam dapur letak kucing. Masa tu, aku yang tengah memasak. Tetiba je Aina berpatah balik, tutup mulut dia terus keluar bunyi "Uwek...uwek".....terkejut aku!

Ini baru pertama kali aku menyaksikan apa yang adik bongsu katakan selama ini....rasa kelakar sangat sebab adik bongsu aku yang mengandung, tak pasal-pasal anak buah aku yang kena simptomnya. Adik bongsu aku kata ni mesti dia tak boleh bau kucing.

21 December 2014

Misi Disember 2014 : Berjogging Dengan Suami


21 Disember 2014.

Hujung minggu kali ni berpeluang berjogging dengan suami. Keluar jam 7.40 pagi, berjogging selama 1 jam 10 minit sekitar taman perumahan dan sampai semula ke rumah jam 8.50 pagi.

Kesan sengal-sengal satu badan lepas buat circuit training semalam masih terasa sampai pagi tadi. Bangun tidur memang mengeluh kesakitan, kaki rasa cramp.

"START AS YOU MEAN TO GO ON"

20 December 2014

Misi Disember 2014 : Circuit Training Dan Powerwalk


20 Disember 2014.

Hari ni cuba nasib buat 2 set circuit training full body cara Kevin Zahri. Mengigil-gigil badan, rasa nak pitam. Baru buat 2 set je tu! Setiap set perlu buat dalam 3 minit, dan kena buat 6 jenis rutin iaitu pushups, high knees, mountain climbers, jumping jacks, side crunch dan planks. Nampak sangat badan ni tak fit.


Lepas tu sambung buat 3 mile slim and sleek walk Leslie Sansone pula. Waorkout kali ini ada unsur asas pilates.

19 December 2014

Misi Disember 2014 : 4 Miles Powerwalk & Senamrobik


19 Disember 2014.

Petang tadi alhamdulillah dapat buat 3 fast miles walk away the pounds punye powerwalk,
1 mile start walking at home with Leslie Sansone dan senamrobik dangdut.

Masa buat 1 miles powerwalk dan senamrobik dangdut tu, suami baru sampai rumah...terus dia join sama. Hahaha.....memang seronok bila suami willingly nak join, siap jeling-jeling nakal tengok dia goyang-goyangkan badan.

18 December 2014

Misi Disember 2014 : Kardio + Beban


18 Disember 2014.

Hari ni lepas balik kerja, buat 3 miles weight loss powerwalk dengan 3lbs dumbell. Ingat nak tambah 1 miles lagi tapi masa tak mengizinkan. Takpelah, janji 48 minit yang diluangkan untuk bersenam ada kombinasi kardio dan latihan beban serta regangan.

Kenny Rogers Roasters Soup Mug Collection

18 Disember 2014.

Semalam lepas beli buku di MPH, makan malam di KRR AEON Seremban 2. Masa makan, dok belek promo stand KRR atas meja. Eh..ada promosi koleksi mug sup la. Baru je bermula 15 Disember lepas. Pandai betul diorunk buat promosi mug sup dengan rekabentuk berbeza setiap minggu dengan harga RM9.90 seunit dengan apa-apa pembelian di KRR.

Ada 4 siri dengan berlainan tema iaitu:
1) Siri 1 - Rhythm Of Cornerstone (Building/Landmark)
2) Siri 2 -  Rhythm Of Sound (Music Instruments)
3) Siri 3 - Rhythm Of Memory (Traditional Games)
4) Siri 4 - Rhythm Of Wheels (Traditional Transportations)

Tak de la niat nak buat koleksi kesemua design mug sup tu. Jenuh kot nak mengumpul 15 mug sup dengan design berbeza...huhu! Dapat beli satu buat koleksi cukup ler...
 


Buku DIAgnosis - Kehidupan Suka Duka Doktor

18 Disember 2014.

Mencari buku ni kat Melaka tak jumpa (bukan tak jumpa tapi kebodohan sendiri, cari kat kedai buku yang salah, huhu! Lepas tu bila tahu kena cari di kedai buku MPH tapi kemalasan melanda, so tak cari jugak..pppfrrt!). Semalam balik sekejap ke Seremban, suami nak g peluk cium mummy dan daddy dia...hahaha! Sampai Seremban dah dekat pukul 6.00 petang. Tak lama singgah, nak kejarkan solat Asar dan Maghrib di AEON Seremban 2 tu, kes terlupa nak bawak balik telekung.

Alang-alang dah sampai AEON Seremban 2 tu, lepas solat terus ajak suami ke kedai buku MPH mencari buku ni, alhamdulillah jumpa juga akhirnya. Macam mana boleh terjebak? Pertama, aku memang suka membaca buku-buku penulisan genre macam ni. Kedua, lepas terbaca review di blog FL Review Novel Diagnosis dan beberapa blog lain, memang bersemangat sungguh nak pergi beli.


P/s: Baru beli malam tadi, sebelum tidur dah baca separuh buku. Memang menarik. Dengar kata, buku DIAgnosis 2 akan keluar hujung bulan ni....tak sabar nak cari dan beli buku yang kedua pula.

17 December 2014

Cipta Piramid Sasaran Cara Jillian Michaels

17 Disember 2014.

Ebook untuk majalah Good Housekeeping USA Januari 2015 dah keluar. Laju kan? Sangat tertarik dengan artikel bagi penghias muka depan majalah ini iaitu Jillian Michaels. Dia ada beri contoh lakaran sasaran jangka masa panjang bagi 7 langkah bagi mencapai kejayaan sekiranya kita merancang untuk menurunkan berat badan.

Lakaran piramid tu akan dipecahkan kepada beberapa bahagian seperti sasaran bulanan, mingguan dan juga harian menggunakan beberapa strategi yang dipilih; di mana di bahagian paling atas piramid kita letakkan sasaran jangka masa panjang yang utama. Contohnya, sasaran jangka masa panjang aku nak turunkan berat badan lagi 10-15kg. Tak tercapai rasanya kalau nak turun dalam masa singkat, tapi slowly boleh capai dengan wujudkan sasaran mengikut bulan, minggu dan harian...inshaAllah!

Kesimpulannya, kita kena wujudkan roadmap langkah demi mencapai apa sahaja yang kita mahu dengan lebih mudah. Kita boleh mulakan dengan mengubahsuai semula jadual harian kita yang banyak sangat 'alasan' supaya boleh disesuaikan dengan gaya hidup yang lebih sihat seperti membuat aktiviti senaman sekurang-kurangnya 4 kali seminggu dan meluangkan masa untuk membeli belah makanan yang lebih sihat. 


Kalau rajin, boleh cari majalah hardcopy Good Housekeeping edisi Januari 2015 ni di mana-mana kedai buku untuk baca keseluruhan artikel tentang Jillian Michaels ni. Berbaloi baca untuk mulakan azam sihat tahun 2015 nanti.

P/s: Eh..kalau perasan, contoh sasaran KG yang Jillian Michaels gunakan dalam piramid tu, lebih kurang dengan sasaran KG yang aku nak kena turunkan tu, dah kira cantik la kalau nak follow cadangan sasaran harian, mingguan dan bulanan yang dia cadangkan tu. Most of the steps aku memang dah mula start buat sejak awal Disember aritu.....chaiyokk!!

16 December 2014

Misi Disember 2014 : Letih Tapi Berbaloi


16 Disember 2014.

Kembali kepada powerwalk workout, kali ni buat yang jenis 4 fast slim miles untuk 52 minit. Mengigil dan mencungap nak sampai ke 2 miles yang pertama. Sekali sekala memang kena cabar diri buat boosted walking interval yang ada dalam workout ini.

Letih jangan cakap ler, peluh keluar macam paip air bocor. Sampai pedih-pedih mata sebab peluh masuk dalam mata.

Terima kasih banyak-banyak pada suami, sebab sesampainya di rumah, bila tengok isteri dok bersenam...dia volunteerly buat shake Herbalife untuk dinner malam ni.

Borong Roti Sarang Lebah Dengan Sos Butterscotch

16 Disember 2014.

Jangan salah sangka, memang beli 8 bekas roti sarang lebah dengan sos butterscotch ni, tapi bukan untuk makan seorang diri. Kalau dah beli apa-apa makanan, rasanya better belikan sekali untuk adik beradik dan anak-anak buah yang ada duduk dekat sekitar Melaka. Kang kalau tunjuk gambar je dalam WA, ada pulak yang menyahut "Asyik tunjuk gambar je, rasanya tak dapat jugak" Hehehe....sila la paham apa maksud tersirat bila adik beradik dah sound macam tu.

Alang-alang Kak Teh yang tengah berpantang tu sms tanya ada stok roti ni tak, aku belikan sekali untuk adik beradik yang lain. Biar sama-sama rasa.

Bak kata pepatah....."Kalau tak boleh kuruskan badan sendiri, apa kata kita gemukkan orang disekeliling kita?" Huhuhuhuhuh.........


Buah Hati Terbaru : Katie & Garfield

16 Disember 2014.

Minggu lepas (Jumaat - 12 Disember 2014), suami mms gambar emak kucing dan 2 ekor kittennya yang duduk dalam longkang tepi bilik menjahit arwah mak. Aku dah pening kepala dah....mana pulak datangnyer kucing-kucing ni? Haritu baru je buang mak kucing dan anak-anaknya 4 ekor yang datang duduk dalam almari lama tepi rumah ni. Aku buang dekat dengan kawasan klinik haiwan, sebab memang tak kuasa nak bela banyak-banyak.

Balik dari kerja petang Jumaat tu, aku pergi jenguk ke tepi rumah, nak tengok sama ada diorunk masih ada kat situ atau tak. Eh....masih ada! Yang kittens tu awal-awal nampak macam penakut, tapi lepas pegang dah tak takut sangat. Mak dia dok bising ingat aku nak pisahkan anak dia dari dia. 

Bila belek-belek kittens tu, rasa sayang pula nak buang sebab dua-dua bulu jenis gebu dan kitten dengan warna oren macam tu aku belum bela lagi. Lincah pun lincah. Seekor betina dan seekor jantan. Bila suami sampai rumah, aku suruh suami bawa masuk dalam rumah tapi kena kurung dulu dalam sangkar sebab tak nak dua ekor mama kucing bergaduh. Biasa la, kucing yang baru jumpa memang tak sebulu dan saling jaga kawasan masing-masing.


Bila dilepaskan di ruang tamu, memang aktif bermain sesama sendiri; habis di panjat sofa dan main gaduh bergumpal. Masih belum mesra bergaul dengan anak-anak kucing yang lain. Asyik je la kena marah dengan Charlie and the gangs....huhuhu!

Kami suami isteri namakan kittens baru tu dengan nama panggilan Katie (kitten betina yang warna campur-campur) dan Garfield (kitten jantan yang warna oren putih). Mama cat kami panggil Mami.


Selfie dengan Katie dan Garfiled!

15 December 2014

Misi Disember 2014 : Akhirnya Persian Zumba


16 Disember 2014.

Nak kekal aktif bersenam ni, kena kuatkan semangat. Dari awal pagi dah cakap dalam hati, hari ni kena buat jugak zumba lepas balik kerja petang nanti. 

Sampai je kat rumah, ngadap anak-anak kucing, beri diorunk makan dulu. Bila dah kenyang, diorunk dah tak heran nak kacau-kacau time nak berzumba, semua buat hal masing-masing. Alhamdulillah la, dapat juga buat 50 minit zumba Linda Edler dan Persian Zumba. Lama sangat-sangat tak buat Persian Zumba, rasa kekok bila nak ikut gerak lenggok dia.

Pekena Asam Pedas Telur Ikan Tanjung Emas Lagi!

15 Disember 2014.

Kelmarin masa awal pagi Sabtu, tengah-tengah mengemas semak kat halaman rumah, tanya suami, nak gi makan asam pedas telur ikan kat Muar tak? Dia kata ok je. Dah penat-penat letih badan mengemas memang aku malas nak memasak. Bila suami kata ok, aku cakap dalam pukul 10 lebih dah boleh bersiap untuk gerak ke Muar.

Masuk rumah dok main anak kucing, last-last dekat pukul 12 tengahari pun masih belum bergerak. Ke Muar ni, suami ajak rasmikan baju t-shirt Big Bad Wolf yang beli minggu lepas masa pergi BBW kat The Mines tu. Sampai-sampai kat Tanjung Emas, dah pukul 1.30 petang, boleh tahan jugak perut dah berkeroncong. Suami buat lawak pun aku tak boleh nak layan gelak sebab badan dah masuk angin, emosi dah tak stabil.

Sampai-sampai je, terus menuju ke kedai no.8 macam biasa. Alhamdulillah yang dicari ada. Memang tak berlengah la kata orang, ambil nasi, lauk asam pedas telur ikan dua set dan sayur. Dapat je tempat duduk terus bismillah. Tak sampai beberapa minit, berderu orang datang ke gerai yang sama. Nasib baik!!

Lepas makan, perut ketat. Huhuhu...
Memang takde plan lain nak round Muar ke apa ke, terus balik ke Melaka. Melampaukan? Semata-mata nak makan tengahari asam pedas, sampai ke Muar carinye. Nak balik tu, siap bungkus asam pedas telur ikan untuk ulang makan hari Ahadnye. Nikmat sungguh dapat makan telur ikan sampai puas hati kenyang.

Misi Disember 2014 : Kami Tak Berjogging, Tapi Masih Berpeluh!

15 Disember 2014.

Hujung minggu kali ni kami suami isteri tak berjogging seperti biasa di sekitar taman perumahan kami. Kami habiskan Sabtu Ahad kami dengan mengemas halaman rumah arwah mak. Kali terakhir mengemas laman rumah tempohari adalah pada 27 Oktober 2014. 

Dari pukul 7.00 lebih pagi sampai ke 7.00 malam dok mengemas dengan suami di luar. Masuk dalam rumah pun dekat-dekat pukul 12.00 tengahari untuk masak lauk tengahari (hari Ahad). Lepas makan, solat Zuhur dan rehatkan badan sekejap, terus keluar balik mengemas sampai Maghrib.


Dahan pokok jambu batu dalam sangkar besar tu aku minta suami tebas dahan-dahan yang dah menjalar keluar. Ada buah dah pokok jambu ni tapi sebab tak berjaga, banyak yang busuk benyek jatuh ke tanah. Suami hulur dekat 5-6 biji buah jambu kecik-kecil saiznya pada aku, tu pun nasib baik beruk tak nampak buah jambu ni, kalau tak mahu kena kacau juga ni. 


Semak samun sangat kan? Aku pun dah naik rimas. Bukan apa, makin banyak nyamuk! Tak tahan bila Maghrib je mesti kena pasang ubat nyamuk lingkar sebab nyamuk serang bahagian dapur masa aku tengah memasak. Bila dah kemas ni, baru rasa lega dada nak bernafas dan tengok permandangan sekitar luar rumah arwah mak ni.



Hampir lapan beg plastik hitam besar kami kumpulkan sampah daun, rumput dan dahan yang dikemas untuk dibuang. Lenguh badan jangan cakap la, dua hari duduk membongkok dan mencangkung, memang mengaduh sakit jer terutama di bahagian peha dan kelengkang. Tapi yang bestnya, buat kerja berpeluh menitik-nitik macam sakan bersenam.

Mentang-mentang pasu pokok limau purut kat laman dapur mak tu dah cantik dikemas, kemahin dak Tammy tidur bergulung dalam pasu pokok tu. Panggil-panggil dia pun, dia buat tak tahu je! Geram je dengan perangai mengada-ngada Tammy ni....macam dia pulak yang penat bekerja sepanjang hari.