Showing posts with label usaha berTTC. Show all posts
Showing posts with label usaha berTTC. Show all posts

09 November 2022

Percubaan Untuk Kitaran Period Tahun 2022


9 November 2022.

Last suntikan perancang pada Mac 2020, dan temujanji terakhir dengan KKIA pada Jun 2020. Sampai sekarang bulan November 2022 aku tak pernah mengalami period. Jadinya, disebabkan dah lama sangat tak period, 26 Oktober lepas semasa temujanji anak untuk umur 4 tahun 6 bulan, cakap dengan doktor nak minta ubat turun period.

Nasib baik doktor OK je, jadi doktor prescribe Provera 5mg 1 biji sehari untuk 1 kitaran period dahulu. Aku start makan ubat Provera pada 31 Oktober 2022 dan pil terakhir aku makan pada hari ini 9 November 2022 (10 hari). Hari ni start dari tengahari masa aku menghadiri mesyuarat perolehan sebut harga aku dah terasa kepala berbayang macam berpusing, tekak dah mula rasa mual-mual loya. Simptom yang sama macam sebelum period dulu-dulu. Semoga period akan datang sehari dua lagi, terasa rindu pula nak rasa pengalaman period. Huhuhu.

19 November 2020

Luahan Rasa TTC 2.0

19 November 2020.

Kebelakangan ni, dalam hati ni dok berkata-kata sesuatu yang tak terluahkan. Isu TTC 2.0. Macam mana nak cakap ye? Usaha TTC 2.0 kali ini memang betul-betul start dari zero. Semua aspek kena ambil kira sebelum betul-betul bersedia untuk usaha mengandung semula. Antaranya; aspek kesihatan diri kami berdua. Dua-dua ada penyakit sedia ada. Incase kalau dua-dua tak jaga bebetul tahap kesihatan diri, besar kemungkinan proses nak mengandung tu berisiko. Bukan sahaja pada aku, malah juga pada anak dalam kandungan. Itu faktor paling utama yang aku khuatirkan. Honestly aku memang tak nak ambil apa-apa risiko, kalau dah rasa badan tak larat, memang aku surrender awal-awal. Daripada menyusahkan anak dalam kandungan nanti, baiklah aku tak mengandung dan 'bela' badan sendiri.

Masing-masing dah menghampiri usia 40-an. Kalaulah katakan mengandung tahun depan, umurku dah masuk usia 38 tahun. Suami pula akan masuk usia 39 tahun. Ada la beberapa kali dah beritahu suami, kalau sampai usia 40-an belum ada rezeki menambah zuriat ke-dua, aku dengan rela hati nak stop usaha TTC 2.0 ni. Aku lebih tahu kemampuan diri aku sendiri. Kudrat diri semasa proses mengandung dan bersalin usia 34 dulu tak akan sama dengan kudrat usia dah makin banyak ni. Badan dah tak larat. Itu aku akui sendiri.

2 tahun lebih aku dedikasikan diri menyusukan anak, letih badan tu sampai rasa "mengidap" orang kata. Tidur dengan posisi kurang menyenangkan, bangun malam mengepam susu etc. Patutlah disarankan beri hak menyusu pada anak selama tempoh 2 tahun kemudian baru dipertimbangkan untuk menambah anak lagi. Alhamdulillah atas pengalaman indah yang Allah SWT berikan ini. Memang puas betul mengulit anak, rasa macam tak percaya je anak sekecil tu masa lahir, sekarang dah membesar sihat dan aktif. Kadang-kadang kalau geram dengan anak, rasa nak masukkan balik dalam rahim ni. Huhuhuhu....

Eh, nanti sambung lagi ye....


03 June 2020

Usaha TTC 2.0 : Bebas Dari Suntikan Perancang Keluarga dan Misi Sihat

3 Jun 2020.

Syukur alhamdulillah, setelah 2 tahun menggunakan suntikan perancang keluarga, temujanji dengan doktor di KKIA Sungai Udang semalam berjaya meyakinkan doktor untuk dapat kebenaran berhenti ambil suntikan perancang keluarga. Mula menerima suntikan perancang tak sampai sebulan selepas bersalin pada bulan Mei 2018, kali terakhir menerima suntikan itu pada bulan Mac 2020 (beberapa hari sebelum PKP bermula). Temujanji seterusnya dengan KKIA adalah pada semalam, jadi sepanjang tempoh PKP ni memang dalam hati dah nekad nak minta berhenti suntikan depo provera ni. 

Masa sampai KKIA semalam, letak buku rawatan dan tunggu no giliran diberikan. Bila nurse di kaunter panggil, agak terkejut sebab nurse minta ambil sampel urin di makmal. Nasib baik tak siap-siap buang air di rumah, jadi masih boleh berikan sampel urin di makmal. Dah tu siap kena ambil sampel darah untuk check HB, part ni memang lemah betul. Memang tak berani nak pandang jari kena cucuk walaupun benda ni benda normal hidup aku. Perasaan tu berbeza bila orang lain yang cucukkan jari kita....huhuhu, masih terbayang-bayang bunyi ketakkk jarum cucuk tu. Terkejut-terkejut kita dibuatnya. Alhamdulillah semalam, bacaan urin tiada masalah dan bacaan HB kali ni normal iaitu 13.3.

Masuk bilik 4, kena timbang dan ambil tekanan darah. Bayangkanlah, nurse dok berbual kiri kanan ko, dah tu suara sorang-sorang kemain kuat sebab bercakap dalam face mask, kita yang tengah ambil bacaan tekanan darah boleh naik stress...tak pasal-pasal bacaan naik sikit semalam. Nasib nurse dan doktor kata tu belum sampai borderline high blood pressure. Minta dijauhkanlah! Lepas tu, nasib baik sempat hold nurse dari prepare suntikan depo provera di bilik sebelah, cakap dengan dia saya nak stop perancang, terus nurse kemas balik bekas suntikan tu dan catat di buku rawatan untuk rujukan doktor. Masa tu, agak risau juga la hajat tak sampai sebab nurse dok tanya kenapa nak berhenti? Memula aku cakap lah, dah 2 tahun dah lama dah tu so nak stop. Nurse macam keberatan, dia kata depo provera boleh guna lebih 2 tahun, tiada masalah. Melainkan kalau aku planning nak conceive semula. Malas nak panjang cerita, aku iyakan je cakap nurse tu...ye Kak, saya nak cuba hamil semula! Phewww...lega bila dia kata ha OK! 

Lepas tu, masuk ke bilik doktor. Pendekkan cerita, terus cakap pada doktor, saya nak berhenti ambil perancang sebab nak cuba untuk anak ke-2. Doktor belek-belek buku rawatan, soal 3-4 soalan lepas tu dia puas hati sebab tempoh jarak kelahiran pertama dah lebih 2 tahun, isu kesihatan di klinik satu lagi pun keputusannya baik, jadi dia mengangguk setuju, boleh stop depo dan proceed TTC ke-2. Alhamdulillah! Doktor pun maklumkan keputusan pap smear bulan Mac tempohari pun keputusannya normal, tiada masalah. Siap doktor nasihatkan supaya dah boleh amalkan supplemen asid folik untuk persediaan TTC ke-2 ni. Mula-mula fikir nak minta prescription asid folik dari KKIA, tapi bila fikir-fikir balik, takpelah...boleh beli sendiri, biar ubat tu KKIA berikan pada ibu-ibu yang lebih memerlukan (masalah kewangan).

Balik rumah, cerita pada suami, dia tersengih-sengih bila aku cakap saya dah OFF ubat perancang keluarga. Tapi aku cakap juga la, tak nak terburu-buru start usaha TTC ke-2 ni, yang penting kami suami isteri perbaiki dulu kualiti kesihatan diri kami berdua sebelum bersedia untuk hadapi kehamilan kali ke-2. Masing-masing bakal menginjak ke usia 40-an 2-3 tahun lagi, badan dah tak sekuat dulu. Penyakit pun memang sedia ada dah ada, jadi langkah pencegahan dari makin teruk tu double triple kena usahakan. InshaAllah, kalau Allah SWT kata ada rezeki, ada la....kalau takde pun, aku tak bersedih. Buah hati nan seorang tu lah pengarang jantung, buah hati kami sampai kami tutup mata nanti.

P/s : Ok, running shoes aku mana? Nak jogging balik ni...misi 10KG bermula! 😂😂😂😂

27 February 2020

Usaha TTC Ke-2

27 Februari 2020.

6 April 2020 anak bakal menjejak usia 2 tahun. InshaAllah dan alhamdulillah! Dah banyak akal anak seorang ni. Alhamdulillah juga masih diberikan rezeki menyusukan badan sehingga kini. Baru-baru ini terbaca tentang usaha IVF ke-2 DKCT yang sudah dimulakan dengan pembedahan kecil (tak pasti apa tujuan pembedahan tersebut dilakukan), dan perancangan DKCT untuk memulakan proses IVF selepas Raya Aildilfitri ini. Wah! DKCT dah nak bagi adik untuk Siti Aafiyah. Anak mama lahir selang 3 minggu selepas kelahiran Siti Aafiyah, jadi lebih kurang sahaja perkembangan mereka berdua.

Encik suami pun ada bagi hint untuk mencuba usaha TTC kali kedua kami suami isteri. Dari segi supplemen, memang dah start makan balik Asid Folik tapi tak konsisten. Haish, nak kena beli dan restok asid folik ni di farmasi. Dah beberapa minggu habis dan tak berkesempatan nak restok. Salah satu lagi usaha TTC kami suami isteri adalah untuk mendapatkan kembali penurunan berat badan seperti sebelum berjaya conceive dahulu. Bab ni memang agak perit sedikit sebab berat badanku dah kembali naik, terasa sendat sana sini...huhuhu. Memang bab pemakanan tak berapa jaga lepas bersalin, slowly berat badan naik. Memang kena start balik berdiet sihat iaitu diet diabetik (rebus, panggang, bakar) seperti semasa proses penurunan 13KG sebelum berjaya mengandung dulu.

Hurm, satu lagi minggu depan adalah tarikh temujanji untuk suntikan perancang keluarga iaitu depo-provera di Klinik Kesihatan seperti biasa. Hati masih berbelah bahagi sama ada nak teruskan suntikan depo atau tidak untuk persediaan TTC kali ke-2. Hasil pembacaan, kesan depa provera makan masa juga nak keluar sepenuhnya dari sistem badan. Ada yang beri feedback, lepas 1 tahun berhenti depo provera baru kitaran haid kembali datang atau menjadi teratur. Jadi rasanya tahun 2020 ni adalah tahun pra-percubaan TTC ke-2 dan tak mengharap sangat rezeki anak datang dalam tempoh ini. Kalau ada, alhamdulillah. Kalau tidak, kesihatan badan kami suami isteri yang perlu diutamakan selain tumpuan kasih sayang pada anak seorang ni.

Nota Kaki : Bersalin terakhir - April 2018........mula mengandung - April 2020? InshaAllah, usaha dan tawakal hanya kepada-Nya.

05 May 2019

Berakhirnya Derita de Quervain's Tenosynovitis

5 Mei 2019.

Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat dan dugaan selama hampir setahun melahirkan anak. Bermula dari dalam tempoh berpantang, dilanda simptom dan penyakit de Quervain's Tenosynovitis; keadaan di mana pergelangan tangan dan sendi di kawasan ibu jari menjadi sengal, ngilu dan sakit apabila digerakkan terutamanya untuk pergerakan mengenggam atau menganduh sesuatu.

Ya Allah, kesakitan tu tak dapat digambarkan. Mula-mula tak tahu kenapa tiba-tiba terjadi kesakitan tu. Bertanya dengan adik bongsu yang doktor tu, dah akhirnya dia kata sah aku kena de Quervain's Tenosynovitis. Masa berpantang, aku agak seriau apabila sampai bab nak mandikan anak dalam bilik air sebab tangan dan jari terasa kebas,aku bimbang terlepas anak dalam bath tub.

Bab emosi terganggu bila kesakitan tu datang jangan cakap la. Aku jadi sangat moody bila mana orang disekeliling terutamanya suami bila tak faham betapa sakitnya tangan dan jari bila mengendong anak. Kesian suami asyik kena marah-marah je. Bermula dengan tangan kanan, kemudian tak lama kemudian dalam tempoh berpantang juga, tangan kiri pula berjangkit.

Kesan de Quervain's Tenosynovitis? Ibu jari kiri dan kanan aku tak dapat dilipat sepenuhnya macam dulu. Mengeluh sakit bila nak mengenggam tangan. Paling aku takut kalau jari kanan dan kiri terhentak atau terketuk di mana-mana, hampir rasa nak mati menahan sakit. Bukan boleh hilang sakit on the spot, memakan masa 1-2 hari juga untuk rasa bisa dan sengal tu hilang.

Antara rawatan untuk penyakit ini ada beberapa cara, antaranya mengambil supplemen kalsium, membuat terapi fisio, memakai bandage khas untuk pergelangan tangan dan akhir sekali adalah pembedahan di kawasan yang sakit. Aku dah cuba mengambil supplemen kalsium yang dibekalkan oleh klinik tapi masih sakit lagi.

Tangan kiri hilang secara total semasa anak berusia 8-9 bulan. Hilang macam tu je. Dah boleh lipat ibu jari kiri tanpa rasa sengal dan sakit. Syukur, kini hampir 1 tahun 1 bulan usia anak, tangan kanan pula pulih secara tiba-tiba. Baru seminggu dua ni perasan dah boleh bengkokkan ibu jari kanan tanpa rasa sakit. Alhamdulillah!

01 January 2019

Entri Pertama Tahun 2019

1 Januari 2019.

Alhamdulillah, dapat juga catitkan kenangan peribadi di blog ini untuk 3 tahun berturut-turut. Dan Alhamdulillah, 3 tahun berturut-turut masih muat baju, seluar track yang sama. Huhuhuhu. Impian nak capai angka 6 pada tahun 2018 alhamdulillah tercapai walaupun tak bertahan lama. Kih kih kih. Lepas berpantang, berat terendah yang direkodkan adalah 65.4KG, kemudian perlahan-lahan dia naik balik selari dengan nafsu makan atas alasan breastfeed anak...choii!! Dan saat Adam akan menginjak usia 9 bulan kurang lima hari lagi, inilah berat badanku pada 1 Januari 2019...........








Bertabahlah wahai hati....

Kami suami isteri dah mula nampak cahaya menuju ke arah keinsafan untuk kembali berdiet sihat bila masing-masing rasa badan lemau dan mendap semacam. Suami dok tanya-tanya apa EO yang boleh bantu turunkan berat badan. Memang ada, tapi aku lebih suka kami berdua kawal dengan ubah semula corak pemakanan seharian, kurangkan air manis (Ya Allah! Ini yang sangat susah...dulu 1 kg gula pasir susah nak habis 1 tahun, sekarang...siap topup lagi bila dah hampir habis) dan beriadah semula macam dulu sebelum conceive Adam.

Pagi 1 Januari, kemain semangat nak jogging sambil tolak stroller Adam...Ya Allah!!! Baru berlari laju sekejap, terus rasa nak pitam dan mengah gila. Memang out terus stamina aku ni. Satu lagi mungkin atas faktor sport bra yang aku biasa pakai dah tak muat...kena tambah 1 saiz lagi (ketat semacam bila pakai. Tegap memang la tegap tapi dada rasa pressured plak. Ibu-ibu menyusu ni mesti faham dilema breast size lepas bersalin ni, kan? Hari tu ada juga survey dan terjumpa breastfeed friendly sport bra di internet, tapi dok lengahkan sebab ingat masih muat sport bra yang lama, nan hado!! Memang kena cari sport bra baru juga ni nampak gayanya.

Inilah peneman kami sekarang ni.......bujang kenit berstroller! Leka dok gigit dan kunyah banana teether dia sambil menikmati pemandangan sekeliling. Tak banyak ragam...alhamdulillah!

01 January 2018

Entri Pertama Tahun 2018


1 Januari 2018.

Alhamdulillah masih diberikan peluang bernafas dan hidup di atas muka bumi Allah SWT ini di pagi hari pertama tahun 2018. Ambil peluang briskwalking 3KM di taman perumahan dengan suami dalam keadaan mengah membawa perut. Takpela, ia bagus untuk menguatkan kaki dan otot rahim orang kata. Selagi terdaya, memang semangat nak beriadah sentiasa membara dalam jiwa ni.


Untuk rekod peribadi, berat pada 1 Januari 2017 adalah sekitar 81.6kg dan berat pada 1 Januari 2018 pagi ini adalah sekitar 74.0+kg. Semoga berjumpa semula angka 6 yang dirindui selepas tempoh berpantang tahun ni...amin ya rabbal alamin. Untuk rekod juga, tahun 2017 menyaksikan berat badan terendah yang pernah aku capai adalah sebanyak 69.0kg pada 12 Ogos 2017 selepas keluar wad GH Melaka.


Perasaan syahdu dan teruja dikejutkan bangun jam 3.00 pagi tadi olehNya sangat indah sekali. Dah terlalu lama amalan solat sunat taubat nasuha dan tahajjud aku tinggalkan. Betapa lalainya aku sebagai manusia saat diberikan nikmat hidup...Allahu. Malu rasanya berdoa atas sejadah saat itu.


Alhamdulillah, cabaran menabung 52 minggu tahun 2018 telah pun bermula. Macam biasa, aku advancekan simpanan di awal tahun untuk beberapa minggu kehadapan sementara duit lebihan masih di dalam tangan. Di hujung-hujung minggu akhir tahun nanti agak kasar jumlah simpanannya jadi kita mula menabung jumlah yang banyak awal-awal tahun ni agar tak terasa sangat menghampiri pengakhiran tahun 2018 nanti...inshaAllah.

31 December 2017

Entri Penutup 2017


31 Disember 2017.

Bukan setakat dari awal mengandung sebenarnya, bahkan dah lebih setahun tak berpeluang jamah lontong. Last try buat lontong masa hari pertama berbuka puasa tahun bila ntah. Lepas tu bila dah start berdiet, memang sarapan memang dengan shake sahaja la. Dari awal mengandung cari lontong di kedai, tapi suami selalu kata kedai yang biasa jual lontong time arwah Mak ada dah tak jual, memang frust la dibuatnya. Sampai merajuk dengan suami bila minta lontong asyik tak jumpa je.

Kebetulan semalam masa keluar dengan adik bongsu mencari barang baby dan barang untuk diri sendiri masa bersalin nanti, adik bongsu ada tanya...sepanjang mengandung ni ada rasa mengidam nak makan apa-apa tak? Terus aku cakap, dah lama nak makan lontong tapi sampai sekarang tak dapat. Adik suggest cari di satu kedai makan jenis kayu dalam kawasan kampung kami. Sedap katanya. Tapi tu la dia...pagi tadi bangun awal terus ajak suami mencari kedai makan tu, bila dah sampai tak buka pula. Aduh kecewa lagi.

Nekad terus drive ke Pasar Masjid Tanah mencari lontong, tak peduli la. Jauh pun jauh la. Tekak dah teringin sangat. Alhamdulillah kedai jual kuih muih dan menu sarapan di tepi pasar tu ada jual lontong, cukup bahan dan isi lontong pun banyak. Dia punya seronoknya dapat makan lontong tu..Allah SWT je yang tahu. Dah, dapat sekali makan dah tak sebut-sebut dah lagi lepas ni.


Bulan ni ada rezeki lebih sedikit, dapat duit bantuan kewangan khas penjawat awam, kebetulan turn dapat duit kutu di pejabat dan tabungan 52 minggu tahun 2017 dah cukup...barulah terasa nak mula beli kelengkapan baby dan kelengkapan beg untuk masuk wad bersalin nanti. Sebelum ni asyik duk survey tapi tak serius sebab rasa macam terlalu awal nak beli semua tu. Dah nak masuk usia kandungan 6 bulan ni barulah terbuka hati nak mula membeli. Lagipun memang blur ayam bila tengok checklist yang kawan-kawan TTC kongsikan, tak tahu apa yang wajib beli dan mana yang boleh diwaive beli kemudian-kemudian. Kalau keluar berdua dengan suami pun, masing-masing blur juga. Semua benda adalah first time untuk kami.


Nasib baik adik beradik banyak membantu. Ada benda kelengkapan baby dan untuk aku guna semasa berpantang yang boleh diberi terus dan dipinjamkan, ramai di kalangan adik beradik tolong. Adik beradik pun dah warning, tak payah beli baju harian baby banyak-banyak, sebab baju harian anak masing-masing boleh 'diperturunkan' pada baby A. Just beli baju nak keluar berjalan @ outing je. Mitten dan booties pun adik nak tolong jahitkan. Murah rezeki anak dalam perut ni, ada je yang mak-mak sedara nak kasi barang. Banyak dah jimat dari segi kos kat situ. Sampai cakap dengan suami, banyak yang adik beradik nak bagi sampai tak tahu nak beli apa pula.

Adik bongsu pun beri pinjam set breast pump dan cooler bag dia, cuma kena beli sendiri milk storage bottle dan milk plastic storage untuk stok susu badan nanti. Masa pergi kedai baby tu tengok harga set breast pump pun memang terkejut tengok harganya. Uii...boleh tahan la. Baby carrier pun adik bongsu pinjamkan. Suami tengok harga baby carrier yang jenis adik beli dulu tu dekat cecah RM500. Cakap dengan suami, kita kumpul lagi duit untuk beli stroller dan car seat baby bulan depan. Adik pun suruh survey-survey dulu apa model yang bagus dan sesuai dengan bajet.

26 December 2017

Cabaran Tabung 52 Minggu 2017


26 Disember 2017.

Alhamdulillah! Dapat juga capai cabaran Tabung 52 Minggu 2017 dalam buku diari 2017 aku. Kalau tak sahut cabaran macam ni, memang kurang motivasi nak menabung secara konsisten, asyik terusik je duit lebihan gaji setiap bulan membeli macam-macam benda. Kebetulan pula, mengandung tahun ni, jadi secara tak langsung tabungan ni menjadi tabungan untuk membeli barang kelengkapan bayi awal tahun depan. Suami pun join juga cabaran ni, mengikut kemampuan gaji semasa dia, apa-apa pun masing-masing ada tanggungjawap nak menabung untuk apa tujuan sekalipun.

OK, minggu depan dah boleh mula cabaran menabung tahun 2018, mungkin akan ikut format tabungan seperti ini atau mungkin boleh google format lain...why not kan?

08 December 2017

Rindu Pada TTCians


8 Disember 2017.

Lately, aku selalu juga buka semula link blog-blog ttcians yang berada di sebelah kanan bloglist aku, ternanti-nanti entri terkini dari mereka semua. Bila ada yang berupdate, lekas-lekas aku jengah blog tersebut untuk mengetahui perkembangan terkini masing-masing.

Rindu wei, aku jadi rindu pada kerancakan blog TTCians yang sama-sama berTTC sepanjang 2011-2017. Ada yang dah berjaya conceive dan senyap terus dari dunia blogging. Aku faham, mungkin kesibukan menguruskan famili membataskan masa masing-masing untuk update blog. Ada yang masih berusaha untuk conceive tapi lama menyepi tanpa khabar berita; tak pasti sama ada masih dalam rawatan atau usaha TTC atau berhenti sejenak untuk mengumpul semula semangat TTC mereka.

Walau apa pun, aku tetap berdoa kalian semua sentiasa di bawah lindungan kasih sayang Allah SWT, disihatkan tubuh badan dan masih kekal bahagia dengan suami dan keluarga masing-masing. Sesungguhnya aku tahu, korunk adalah golongan yang sangat tabah dan kuat menghadapi dugaan hidup yang satu ini. Sayang dan rindu kalian semua ketat-ketat!

8 Disember 2017
21 minggu 3hari
Alhamdulillah, genap 5 bulan usia kandunganku ini. Semoga kandungan ini sentiasa dalam keadaan baik dan selamat dilahirkan nanti. Amin ya rabbal alamin...


26 November 2017

Kisah Sepanjang Trimester Kedua Part 1


12 Oktober 2017 - Temujanji pertama KKIA untuk trimester kedua ni. Ada kenaikan 300gm dari timbangan berat badan pada 28 September yang lepas. Alhamdulillah masih dalam lingkungan berat 71KG. Masa staf nurse buat pemeriksaan perut, dia tekan dan beritahu kedudukan rahim dah naik 14cm dari ari-ari dan boleh rasa ketulan keras. Bacaan kedua HB pun meningkat dari 13.7 ke 14.1. Perjumpaan dengan doktor kali ni pun takde buat scan perut.

14 Oktober 2017 - Semalam (13 Oktober 2017) sekali lagi pengalaman mendebarkan berlaku semasa aku sedang solat Subuh. Sedang solat, tetiba aku rasa macam ada air keluar dari vagina dan mengalir panas ke peha. Tak sempat selesaikan solat, aku terus ke tandas dan lap dengan tisu. Ada tompokan air bercampur darah cair pada tisu. Ya Allah! Risau sungguh hati kami suami isteri memandangkan hari Jumaat itu adalah hari cuti TYT Melaka dan kesemua klinik swasta tutup. Bleeding hanya berlaku pada Subuh itu sahaja dan tidak ada lagi keluar sepanjang hari, perut aku pun tiada rasa cramp atau sakit. Bila telefon Klinik Amal Rahimah Bukit Katil, klinik buka tapi hanya doktor lokum lelaki yang bertugas namun tiada servis scan dibuat. Bila WA adik bongsu, memang jawapan dia adalah kena ke Emergency GH Melaka la untuk admit. Aku cuba bertahan sehari lagi dan bercadang untuk ke Klinik Pakar Wanita Liu & Vincent untuk periksa keadaan baby sebelum serah diri ke GH Melaka pada pagi Sabtu.

Awal pagi Sabtu, kami berdua suami isteri walk in ke Klinik Pakar Wanita Liu & Vincent jadi terpaksa akur dengan giliran menunggu hampir 1 jam 30 minit. Kali ini kami berpeluang bertemu dengan Dr Liu dan alhamdulillah seperti Dr Vincent, layanan dan penjelasan Dr Liu sedikit sebanyak menghilangkan kegusaran hati kami. Dr Liu terus scan perut dan dari pemerhatiannya baby tiada sebarang masalah, bergerak aktif dan bleeding mungkin berpunca dari pendarahan pada dinding rahim yang tidak serius atau pergerakan aku yang agak lasak. Aku ada bertanya sekiranya bleeding air bercampur darah cair tu berpunca dari air ketuban yang leaking, doktor kata kemungkinan itu ada tapi Dr mengesahkan air ketuban aku banyak dan mencukupi.

Dr Liu juga ada mengukur ketebalan cecair di bahagian belakang tengkuk baby dan memaklumkan ketebalan cecair itu normal dan tidak melebihi 3mm (jika berlebihan cecair, baby ada potensi down sindrom). Degupan jantung baby juga laju dan normal. Dr Liu menyuruh aku agar complete bed rest sepanjang 2-3 hari bagi mengelakkan bleeding berlaku lagi dan membekalkan aku ubat duphaston untuk menguatkan rahim. Jika lepas seminggu masih ada bleeding Dr minta untuk datang semula dan akan berikan suntikan kuatkan rahim. Alhamdulillah lega dengan penjelasan Dr Liu jadi kami tak proceed untuk ke Emergency GH Melaka.

15 Oktober 2017 - 13w 5d. Hari Sabtu alhamdulillah takde bleeding. Hari Ahad aku mengosok baju kerja 8-9 helai sambil duduk atas kerusi. Sebelum Asar ingat nak baring sekejap sebelum solat. Baru baring rasa basah kat bawah. Calit dan nampak darah merah pekat. Terus bangun dan ke toilet. Menitik banyak darah atas lantai dan bila sapu dengan tisu basah lencun dengan darah merah pekat. Suami dah gabra terus call adik bongsu. Adik aku suruh terus ke GH Melaka. Aku dah menangis-nangis bila fikir confirm kena admit dan risau dengan kandungan.

Pack barang dan terus ke Emergency GH Melaka. Dari pukul 5.30 menunggu di Emergency, 1st level doktor scan dulu nampak baby bergerak dan jantung ok. Pukul 8.30 malam baru dibawa ke EPAU dengan wheelchair. Di pad ada setompok besar darah keluar masa aku bersin di ruang menunggu emergency. Di EPAU sekali lagi menunggu doktor pakar untuk scan perut sampai jam 10.30 malam. Bila scan doktor tengok baby ok cuma tak sure dari mana datang pendarahan. Doktor prescribe kes aku "threatened miscarriage"; sama ada aku admit wad malam tu atau balik rumah, solutionnya sama...doktor just suruh pantau jika ada bleeding lagi dan beri ubat duphaston. Doktor akan tahan 1 hari kalau dah tak bleeding boleh balik. Aku dah tak larat nak duduk lama di GH, jadi aku minta balik dan rehat di rumah. Doktor terangkan risiko jika bleeding lagi di rumah dan potensi keguguran. Doktor bekalkan ubat Duphaston untuk tempoh 26hari, mulakan ubat Aspirin untuk cairkan darah (memang sepatutnya usia kandungan 12minggu ke atas dah mulakan ubat ni untuk kes aku, tapi KKIA tunggu GH yang startkan ubat) dan beri MC untuk beberapa hari bedrest di rumah. Nurse cakap kalau pad penuh dalam sela masa 3-4 jam dan keluar darah ketul-ketul memang kena cepat-cepat ke Unit Kecemasan, GH Melaka semula.

Balik rumah, aku pakai pad dan pantyliner untuk pantau bleeding. So far alhamdulillah heavy bleeding dah takde cuma sesekali ada secalit darah merah atau sisa darah lama (coklat) tercalit ke pad/pantyliner. Kali ni memang bed rest dengan erti kata sebenar; terbaring sepanjang hari, hanya bangun ke toilet dan solat duduk melunjur atas katil, makan minum pun atas katil.

19 Oktober 2017 - 14w 2d. Masih dalam tempoh MC. Adik bongsu offer untuk scan progress baby di KKIA pada sebelah petang. Alhamdulillah dah tak ada bleeding dalam rahim. Baby pun bergerak aktif.
Tension tengok buku pink salinan aku dah lunyai dok kena kitai oleh KKIA dan GH Melaka. Dah la cover nipis, sampai tercabut cover dari isi buku pink ni. Aku buang cover asal dan photostat balik atas kertas A4 yang lebih keras dan balut dengan plastik. Puas hati. (23 Oktober 2017)

26 Oktober 2017 - Temujanji di KKIA pada 15w 2d. Kedudukan rahim dah naik 17cm. Staf nurse guna doppler untuk kesan degup jantung baby, dapat bacaan 144bpm. Berat badan turun jadi 71.0kg balik. Masa jumpa doktor, minta doktor scan balik sebab selang hari sejak start kerja semula (23 Okt) kerap bleeding darah coklat, takut masih ada darah dalam rahim lagi. Doktor scan alhamdulillah takde nampak bleeding spot dalam rahim, cuma doktor ada mention placenta low lying, tapi tak perlu risau sebab masih awal kandungan lagi.

Catatan yang aku coretkan dalam app Sticky Notes di dalam HP

01 November 2017 - 16w 1d. Temujanji di Klinik O&G GH Melaka jam 9.00 pagi, berat badan kali ni 71.4kg (naik 0.4kg dari timbangan pada 20 Sept 2017 - 71.0kg). Inform pada doktor pasal kes tumpah darah pada 15 Okt lepas, kebetulan doktor di EPAU ada catit pada kertas discharge note perlu buat scan semula, jadi kali ni dapat peluang sekali lagi scan baby di bilik 10.

Alhamdulillah, masa scan pegawai perubatan tu maklumkan air ketuban baby cukup, jantung baby pun ok. Doktor juga beritahu yang cyst yang berada disebelah kanan ovari dah tak kelihatan; sama ada cyst tu dah mengecil atau tertutup dengan baby. Bila tanya pasal detailed scan, pegawai tu cakap masa yang sesuai untuk buat detailed scan adalah sekitar 18 - 22 minggu tempoh kehamilan. Jadi, doktor setkan tarikh appointment seterusnya adalah pada usia kandungan 20 minggu lebih (4 Disember 2017) nanti untuk scan baby dengan lebih teliti.

09 November 2017 - 17w 2d. Temujanji di KKIA. Akhirnya pada usia kandungan 4 bulan lebih, baru keluar dari range berat badan 70-71kg....huhuhu, sekali naik 800gm menjadi 72.2kg. Check-up kali ini, nurse periksa kedudukan rahim dan periksa denyutan jantung baby guna doppler. Doktor takde scan baby kali ni, ada tanya doktor kalau KK boleh tambah stok Duphaston sebab yang GH bekalkan untuk sebulan tu dah nak habis. Tapi doktor KK kata memang kena habiskan stok Duphaston yang GH berikan itu sahaja dan KK tak ada bekalkan Duphaston. Hurm, ok. Doktor kata kalau bleeding lagi, memang kena lalui prosedur yang sama; kena ke Unit Kecemasan untuk doktor pakar GH Melaka periksa.

11 November 2017 - Sesi pertama lawatan ke rumah oleh nurse KKIA. Agak kelam kabut sebab tak sangka dia akan datang cek di rumah hari Sabtu, dah sampai depan pintu rumah baru dia call. Dah la aku tengah baring-baring kat atas katil, rumah pun tak kemas. Nasib la kan? Sebab ingatkan appointment KK pada 23 November nanti nak minta cuti rehat terus, so boleh set petang tu nurse datang ke rumah untuk lawatan ke rumah. Nurse cakap lawatan seterusnya akan dibuat pada usia kandungan masuk 8 bulan. Masa lawatan ke rumah, nurse periksa tekanan darah secara manual dan ukur ketinggian rahim lepas tu berbual kosong tentang masa bersalin nak berpantang di mana, kalau ada pendarahan kena cepat-cepat ke GH Melaka.

23 November 2017 - Appointment pada usia kandungan 19w 2d di KKIA. Kali ni berat badan naik lagi 700gm menjadi 72.9kg. Huhu...kali ni adik bongsu beria-ria nak scan perut, jadi aku ok je la. Masa nurse periksa denyutan jantung baby, agak lama juga nak jumpa kedudukan yang betul. Berdebar betul dalam hati sampai aku cakap dalam hati "Baby, wake up sayang...mama nak dengar degup jantung baby please". Alhamdulilah dapat juga nurse cari menggunakan alat doppler; 144bpm. Kedudukan rahim pun mengikut perkembangan iaitu 21cm. Adik bongsu scan semua part badan baby dan scan juga jantina baby. Hik hik hik...dua kali scan (1st masa 16w), resultnya masih sama...apa-apa pun aku bersyukur dengan kurniaanNya. Temujanji seterusnya adalah pada 7 Disember 2017 (usia kandungan 21w 2d). Doktor jotted down next official scan adalah pada usia kandungan 28w, inshaAllah.

* Bermula penghujung 18w dan masuk 19w, masalah sembelit dan buang air tak lawas menghantui. Bila tanya adik bongsu, dia gelak je kata itu normal bila dah nak masuk 20w sebab rahim menekan usus besar. Nak kata kurang minum air, hari-hari water intake memang kekal 3 liter ke atas dan setiap hari makan buah-buahan. Bila dapat buang air besar dan perut kempis balik, fuh rasa bersyukur sangat.*

26 November 2017 - 19w 5d. Pergerakan baby dah mula rasa sejak seminggu dua, tapi hari ni lepas makan tengahari aku berbaring sekejap menanti masa nak solat Zuhur. Tiba-tiba rasa perut beralun di belah kanan masa aku tengah usap lembut perut berbual dengan baby, terkejut dibuatnya sebab automatik jari aku terangkat ikut beralun. Ya Allah, seronoknya pengalaman ini sampaikan aku menangis happy. Alhamdulillah dapat rakam dengan HP pergerakan baby berpusing.

29 October 2017

Ulangtahun Perkahwinan Ke-7 Bertiga


29 Oktober 2017.

Alhamdulillah, syukur ulangtahun perkahwinan ke-7 hari ini disambut bertiga. Trimester kedua penuh momen kejutan demi kejutan (tumpah darah, threatened miscarriage and so on). Semoga Allah SWT terus merahmati dan mempermudahkan segala urusan kami berdua.

13 October 2017

Kisah Sepanjang Trimester Pertama


13 Oktober 2017.

Gambar scan pertama sebaik sahaja ditahan wad di GH Melaka. Kalau ikut perkiraan sendiri, waktu ini kandungan baru berusia 4 minggu. Waktu scan TVS ini juga doktor maklumkan ada 1 cyst di rahim sebelah kanan, doktor kata tak perlu risau dan akan pantau sepanjang kehamilan.


25 Ogos 2017 - Temujanji di Klinik O&G GH Melaka untuk lihat perkembangan kantung. Alhamdulillah kantung membesar mengikut perkiraan minggu yang doktor kira (6w 3d) dan sudah nampak jantung. Tak dapat nak snap gambar scan, cuma dapat minta izin pada nurse untuk tunjuk sekejap gambar scan tu pada suami semasa nak buat temujanji seterusnya di kaunter.


28 Ogos 2017 - Temujanji terakhir dengan Poliklinik Komuniti Ayer Keroh untuk followup aku. Doktor pakar stopkan dulu rawatan susulan bila aku maklumkan aku mengandung, dan hanya akan bersambung semula selepas 6 minggu bersalin kelak. Jadi, semua ubat dan monitoring doktor akan diambil alih oleh doktor GH Melaka dan doktor di KKIA. Sedih pula rasa sebab semua doktor, ahli farmasi dan staf nurse di sini baik-baik belaka.


5 September 2017 - Setelah dapat pengesahan daripada pihak doktor pakar GH Melaka, barulah aku beranikan diri untuk membuka buku pink di KKIA berdekatan. Scan dari atas menunjukkan kandungan sudah menginjak usia 8 minggu dan doktor siap tunjuk di monitor jantung baby berdegup 'blink-blink' laju. Timbang berat badan = 71.9kg. Ujian darah menunjukkan bacaan HB baik iaitu 13.7.


8 September 2017 - Kejadian yang amat mendebarkan. Akibat terliur dengan gambar kuih tart nenas yang kawan pejabat sharekan di FB, aku minta dia belikan sebekas untuk rasa. Masuk kuih tart yang ke-3 tetiba aku baru teringat aku pregnant. Lepas solat Zuhur, aku terasa macam ada discaj keluar di bawah. Bila check, ada keluar brownish spotting di pantyliner, aku dah berdebar risau.

Bila mesej adik bongsu, dia suruh pergi ke Bahagian Kecemasan GH Melaka untuk check jantung dan uri baby. Aku dalam kelam-kabut tanya sama ada boleh tak kalau aku check dulu di klinik swasta sebab kalau terus ke GH, memang kena admit wad jawapnya. Aku call 2 klinik swasta yang aku tahu ada perkhidmatan scan, hanya 1 klinik sahaja yang jawap call dan maklumkan doktor ada waktu tu.

Alhamdulillah, lepas scan doktor kata tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan dan kemungkinan 3 sebab utama turun brownish spotting tu adalah; 1) banyak berjalan 2) banyak buat kerja-kerja berat atau 3) bersama dengan suami. Aku yakin ini ada kaitan dengan aku aktif bergerak ke sana ke sini pagi itu menghadiri mesyuarat di blok lain dalam kawasan jabatan. Doktor Rahimah tunjukkan imej scan yang menunjukkan usia kandungan 8w 3d, jantung dan juga kantung makan baby.

14 September 2017 - Temujanji pertama dengan Klinik Dietetik di KKIA. Alhamdulillah ini juga temujanji terakhir memandangkan dietitian maklumkan diet yang aku amalkan sekarang bagus dan boleh diteruskan. Banyak juga aku tanya tentang susu untuk ibu mengandung yang sesuai dan supplemen yang boleh diambil untuk support nutrisi bayi.


19 September 2017 - Temujanji di KKIA untuk doktor scan semula kandungan. Alhamdulillah kali ini sudah nampak bentuk baby yang lebih jelas; kepala, badan dan tangan kenit. Ikut perkiraan doktor, kandungan berusia 10w 1d, tapi rekod peribadi aku 10w 0d. Tarikh EDD pun berubah menjadi 16 April 2018. Tapi doktor cadangkan ikut sahaja tarikh asal 18 April 2018 memandangkan tak jauh berubah.

Gambar scan cyst, saiz tak banyak berubah. 2.3 x 2.5 cm

19 September 2017 - Hari yang sama temujanji di KKIA, aku ambil keputusan ke GH Melaka bahagian klinik oftalmologi untuk check mata. Beberapa ujian dibuat, alhamdulillah kualiti mata masih dalam tahap baik. Kesan ubat titik untuk membesarkan kanta mata, menyebabkan pandangan kabur dan tak dapat menganggar jarak jauh pandangan. Aku tawakal je drive balik ke rumah, syukur alhamdulillah selamat sampai di rumah dan aku baring rehatkan badan sementara tunggu kesan kabur lenyap. Malam sedikit baru pandangan mata kembali normal.

Tarikh appointment seterusnya adalah pada 18 Disember 2017 jam 9.30 pagi.

20 September 2017 - Temujanji ke-2 dengan GH Melaka jam 9.00 pagi, berjumpa doktor hampir jam 11.00 pagi. Doktor banyak rujuk buku merah KKIA yang aku bawa bersama, dan suruh scan sekali lagi kandungan di bilik 10. Sementara menunggu giliran, aku baca surah-surah ibu mengandung sambil bisik pada baby, minta baby bergerak aktif masa scan. Ya Allah! Mendengar kata sungguh anak bertuah ni. Masa doktor scan, doktor tunjuk di monitor baby bergerak aktif macam menari. Aku tersenyum je, rasa nak menangis pun ada. Kemain laju berkelip denyut jantung baby masa tu.

Tulisan catatan doktor, kali ini tarikh EDD menjadi 15 April 2018 pula. Doktor kata tak perlu pening-pening, ikut sahaja tarikh 18 April 2018 tu lebih senang. Baiklah doktor! Doktor cadangkan temujanji seterusnya adalah pada 6 minggu lagi iaitu semasa kandungan berusia sekitar 16-17 minggu.

28 September 2017 - Temujanji di KKIA, ambil ujian urin, timbang berat badan dan berjumpa nurse dan doktor. Timbang berat kali ini 71.1kg, penurunan sebanyak 0.8kg. Nurse tanya takde selera makan ke atau kerap muntah? Aku cakap takde muntah, selera makan pun macam biasa. Nurse bagitahu berat maksimum boleh naik semasa kandungan di bawah 20minggu adalah sebanyak 0.5kg sebulan. Selepas 20minggu, kenaikkan badan maksimum adalah sebanyak 0.5kg seminggu. Kalau keep on berat badan turun, takut ada thyroid pula. Mungkin baru 1st trimester kehamilan, belum ada keinginan nak makan macam-macam. Kali ini doktor KKIA tak buat dating scan.

7 Oktober 2017 - Disebabkan setiap kali temujanji di KKIA dan GH Melaka suami tidak dapat meneman dan masuk melihat hasil scan, aku cuba mencari beberapa klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan scan baby di sekitar bandar Melaka. Ada 3 pilihan dengan masa berjumpa doktor yang berbeza iaitu Klinik Wahidah, Klinik Amal (Klinik Rahimah) dan juga Klinik Pakar Wanita Liu & Vincent. Oleh kerana suami sukar mendapat cuti dan tidak boleh selalu keluar sebenatar waktu sedang bekerja, aku perlu memilih klinik yang mempunyai waktu temujanji yang fleksibel dan doktor ada pada waktu hari minggu agar suami dapat hadir sama meneman semasa proses scan.

Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan pencarian aku, apabila aku dapat membuat temujanji dengan Klinik Pakar Wanita Liu & Vincent pada hari Sabtu dan kami berdua suami isteri berpuas hati dengan layanan dan cara penerangan doktor semasa sesi temujanji. Untuk temujanji kali pertama ini, kos yang dikenakan adalah sebanyak RM130 untuk proses scan 2D dan konsultasi, di mana aku mengambil peluang mengajukan beberapa persoalan tentang pengambilan supplemen kalsium sebagai pengganti susu, pengambilan supplemen omega 3 untuk masalah rambut gugur semasa mengandung dan isu scan anomali untuk mengesan masalah kecacatan pada bayi.

Doktor membenarkan aku mengambil supplemen kalsium untuk mengantikan keperluan khasiat kalsium tetapi supplemen omega 3 tidak dibenarkan atas faktor kandungan DHAnya tidak sesuai untuk perkembangan bayi. Jadi sementara mengandung ini terpaksa la redha dan bersabar dengan isu rambut yang makin banyak gugur setiap kali mandi. Scan anomaly kebiasaannya bersekali dengan ujian darah bagi memastikan keberkesanan ujian tersebut dan waktu yang paling sesuai adalah ketika kandungan 12 minggu tetapi kosnya agak mahal sehingga RM650. Doktor beri pilihan sama ada buat sekarang atau boleh buat pada usia kandungan 15 minggu (kos kurang sedikit) jadi doktor tetapkan temujanji kedua untuk ujian tersebut dalam tempoh 3 minggu lagi.

Pertama kali suami dapat melihat bayi kami di skrin monitor, dia speechless dan mata berkaca-kaca menahan air mata kegembiraan. Alhamdulillah, baby bergerak aktif siap melambai-lambai tangan dan mengerakkan kaki. Doktor tunjuk mana satu air ketuban dan terangkan pada 12weeks belum boleh dikenalpasti jantina bayi. Kami suami isteri berpeluang mendengar degup jantung baby, bila diukur doktor kata degup jantung baby  laju dan normal (150bpm). Semasa scan perut, Dr Vincent sempat bertanya macam mana boleh conceive bila aku katakan ini kandungan pertama pada usia perkahwinan menginjak 7 tahun, adakah aku mengamalkan apa-apa pemakanan herba / jamu kampung? Aku hanya tersenyum dan kata tak ada amalkan apa-apa cuma aku baru turunkan berat badan lebih kurang 13kg dan banyak bersenam dan jaga pemakanan.

11 October 2017

Tanda-Tanda Di Awal Kehamilan

11 Oktober 2017.

Sementara masih 'fresh' dalam ingatan sepanjang tempoh 1st trimester ni, baik aku catatkan beberapa simptom awal kehamilan yang aku alami bermula dari sebelum tahu pregnant dan selepas keluar dari wad semasa kandungan 4 minggu.

Sebelum Tahu Pregnant?

1. Bad mood dan mood swing
Seminggu dua sebelum test UPT, aku sangat bad mood dengan staf bawah unit aku. Isu remeh pun aku jadi stress sampai tahap staf aku kecil hati dengan nada suara dan tindakan aku di pejabat. Alhamdulillah, aku counter back balik dengan minta maaf secara personal dan terangkan segalanya.

2. Sensitif dengan bau
Aku tak tahu la masalah ni aku seorang sahaja di opis alami atau staf yang lain alami juga...aku jadi pening dan sensitif dengan bau perfume seorang staf lelaki di pejabat (staf yang sama kecik hati dengan bad mood aku). Setiap kali dia datang di meja atau aku duduk berdekatan dengan dia, mesti bau perfume dia 'menangkap' dan aku jadi pening kepala.

Selepas Tahu Pregnant / Selepas Discaj Dari Wad?

1. Changes in your breasts
Breast tenderness/soreness dalam tempoh 2 minggu sebelum period datang memang berlaku. Lepas tu surut, jadi aku jangka akan period. Lepas result positif, dua tiga hari selepas discaj wad, breast tenderness muncul semula sehingga kini (note: 12 minggu pregnant).

2. Frequent urination
Ini aku tak dapat bezakan sebelum dan selepas positif pregnant sebab aku memang konsisten minum air paling minimum 3-4 liter sehari. Jadi kekerapan buang air sehari memang sama je. Tapi bila tidur malam, memang kena siap-siap buang air sebelum tidur, sebab perut jadi mengeras kalau pundi kencing dah penuh. Bila pegang perut, rasa berketul dan senak perut dibuatnya.

3. Nausea / Morning sickness
Belah pagi aku memang aktif dan tak rasa apa-apa. Tapi lepas pukul 2.00 petang, tekak dah mula rasa kembang tapi takdelah sampai rasa nak muntah ke apa. Alhamdulillah. Cuma bermula 11 minggu, simptom kembang tekak/ mual bermula awal pagi selepas breakfast sampai ke petang membawa ke malam.


4. Fatigue and exhaustion
Pagi ok, tapi start petang membawa ke malam, aku memang totally out. Balik kerja dah rasa tak larat nak buat apa-apa kerja, kadang masak kadang aku shake je untuk dinner. Tapi most aku ajak suami makan luar sebab takde mood nak masak. Malam memang tidur awal sebab badan rasa letih.

5. Cramping and bloating
Dalam tempoh dua minggu menunggu period, ada sekali dua rasa cramping dan ari-ari berdenyut. Aku abaikan je sebab selalu memang macam tu pun. Cuma lepas tahu pregnant, sampai saat ni (note : 11 minggu pregnant) kekerapan cramping dan rasa berdenyut sentiasa ada, aku just fikir positif rahim sedang bersedia untuk membentuk ruang untuk baby.

6. Metalic taste
Simptom tekak rasa payau terjadi beberapa hari lepas discaj dari wad. Tapi tak lama, lepas tu dah kembali normal. Nasib baik tabiat banyak minum air masak membantu mengurangkan rasa payau tekak.

7. Excess saliva
Datang seiring dengan simptom tekak payau. Tapi bila teringin/terfikir sesuatu makanan dalam otak, automatik rasa macam telan air liur banyak-banyak.

09 October 2017

Mengandung : Anugerah Teristimewa Allah SWT di Bulan Ogos 2017


9 Oktober 2017.

Lama entri ini aku karang dan simpan sebagai draf. Alhamdulillah selesai sudah fasa pertama trimester kandungan, dan berita gembira ini boleh dikongsikan di sini untuk kenangan kami suami isteri.

Macam mana nak dimulakan?
Period cycle aku mula menjadi semakin pendek bermula awal bulan Mac 2017 di mana dari cycle 85 hari menurun kepada 56 hari, dan seterusnya ke 35 hari seiring dengan penurunan berat badan. Hari pertama last period aku adalah tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri (22 Jun 2017). Jadi aku jangkakan next cycle period akan datang pada minggu terakhir bulan Julai 2017. Tapi hasil pemerhatian aku, EWCM atau jangkaan waktu subur aku hanya muncul pada CD20 hingga CD23. Bila simptom breast soreness muncul pada CD30 (21 Julai 2017), aku sudah agak bimbang period cycle haywire semula sebab kebiasaannya dua minggu breast soreness baru period akan turun (jangkaan CD45 atau 5 Ogos 2017). 

5 Ogos berlalu tapi period masih belum muncul. Breast soreness pun dah makin reda. Aku dah jadi pelik, kenapa ni? Yang aku perasan seminggu dua tu aku sangat bad mood dengan staf unit aku walaupun atas alasan yang remeh. Sampai ada staf yang merajuk dengan aku (Alhamdulillah, aku dah minta maaf dengan dia dan jelaskan segalanya).

8 Ogos 2017 - Aku tak tahu apa yang mendorong aku untuk buat ujian kehamilan sebaik sahaja bangun untuk solat Subuh. Kebetulan ada alat ujian kehamilan ClearBlue jenis digital yang dah lama aku simpan di rumah. Aku kumpul air kencing pertama selepas bangun dan celupkan ClearBlue tu, sambil layan mata mengantuk. Memang tak mengharap langsung apa-apa. Tapi bila keluar sign "Pregnant" aku terus mengigil terkejut. Ya Allah! Bila muncul pula indikasi 1-2 minggu bertambah mengigil dibuatnya (indikasi kandungan sudah berusia 3-4 minggu) ...Aku kejutkan suami dan tunjukkan pada dia. Mula-mula dia agak blur lepas tu dia terus ucapkan Alhamdulillah dan terus cium dahi aku. Lepas solat Subuh, aku mesej adik beradik dan adik bongsu suruh datang ke Klinik Kesihatan dia untuk mengesahkan keputusan UPT.

Di KK, ujian UPT menunjukkan faint positive pregnancy, dan disebabkan aku ada masalah kesihatan sedia ada, doktor terus buat surat rujukan ke GH Melaka untuk doktor pakar di sana pantau. Kami suami isteri dah bersedia dari segi mental sekiranya aku ditahan wad sepanjang pemantauan. Aku bergerak sendiri ke GH Melaka dan uruskan sendiri proses admission memandangkan suami perlu bekerja. Seperti jangkaan, aku ditahan wad selama 4 hari (8 Ogos - 11 Ogos 2017) dan sepanjang di dalam wad, pemantauan penyakit aku menunjukkan ia terkawal dengan baik dan bacaan hormon HCG meningkat dari 547.8 kepada 1302 dalam tempoh 48 jam. Dua kali scan dari bawah (TVS), kantung nampak tapi saiznya masih kecil jadi doktor setkan temujanji 2 minggu selepas discaj untuk tengok perkembangan kantung. Buku pink juga belum dibenarkan dibuat di KKIA selagi doktor pakar GH tak beri keputusan based pada scan pada 25 Ogos 2017.


Tempoh masa dua minggu menunggu ini aku rasakan terlalu lama. Maaflah, hampir tujuh tahun usia perkahwinan kami tak pernah berpeluang melihat kertas UPT naik "double lines". Jadi perasaan teruja untuk test beberapa UPT strips sepanjang tempoh menunggu setidak-tidaknya menyedarkan aku bahawa semua yang terjadi ini bukan sekadar "mimpi" apantah lagi faint pregnancy double lines semakin pekat dan jelas kelihatan hari demi hari. Sehinggalah dua hari sebelum tarikh temujanji di Klinik O&G GH Melaka, keputusan UPT ClearBlue digital menunjukkan indikasi "Pregnant 3+week" atau bersamaan 5- 6 weeks pregnant (maksudnya bacaan hormon HCG meningkat), barulah lega sedikit hati ni.





25 Ogos 2017 - Temujanji jam 11.00 pagi di Klinik O&G GH Melaka ditemani suami. Doktor pakar scan dari bawah dan alhamdulillah kantung membesar mengikut minggu sepatutnya (6w 3d) dan jantung dapat dilihat dengan jelas. Jadi doktor membenarkan buku pink dibuka di KKIA berdekatan taman perumahan dengan sesalinan surat rujukan dari klinik O&G GH Melaka.


5 September 2017 - Ke KKIA Sg Udang untuk proses membuka buku pink. Masih perlu melalui prosedur sama; ambil sampel air kencing untuk mengesahkan ujian kehamilan. Kali ini pihak makmal terus bulatkan ruang "Positive pregnancy" selepas keputusan diperolehi dan aku menjalani pemeriksaan fizikal dan beberapa ujian darah seperti ujian HIV dan lain-lain. Doktor scan dari atas perut dan dah nampak heartbeat baby dan saiz kantung menunjukkan usia kandungan genap 8w 0d.

Anugerah teristimewa ini hadir disaat kami suami isteri tidak terlalu berharap, redha dan sedang fokus dengan salah satu usaha TTC iaitu penurunan berat badan. Demi Allah, aku memang ada merancang untuk mencuba sekali lagi prosedur fertiliti iaitu IUI pada hujung tahun ini atau awal tahun depan sebaik sahaja aku mencapai berat badan yang ideal untuk proceed IUI tersebut. Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan segalanya dengan kehadiran zuriat ini.

Kawan-kawan TTCians, mohon doakan kandungan ini selamat dan dijauhkan dari sebarang masalah sehingga saat kelahirannya nanti. Aku tak tahu doa siapa dari kalangan kalian yang Allah SWT angkat dan dimakbulkan sehingga aku berjaya conceive tapi aku yakin kalian adalah antara penyumbang doa-doa yang makbul ini. Aku juga mendoakan kalian semua juga Allah SWT permudahkan semua urusan dalam usaha untuk conceive ini dan akan berpeluang merasai nikmat kehadiran insan bergelar zuriat dalam rahim kalian; tak kiralah sama ada natural conceive, IUI mahupun IVF. Amin ya rabbal alamin....