28 February 2014

Mak : Beransur Berselera Makan


28 Februari 2014.

Gambar masa melawat mak semalam di wad 4-1 GH Melaka. Masa ni mak baru lepas makan habis sebekas bubur nasi. Mak dah kembali berselera untuk makan. Macam-macam permintaan nak makan. Huhuhu.



Ini ubat antifungal yang disuntik dalam badan mak sepanjang 3 hari ini, rasanya dah berbotol-botol juga habis. Jarum yang dipasang di kaki mak dah dibuka, tapi tiub masih dipasang di tangan kanan mak untuk masukkan ubat ini.

DIFLUCAN® (fluconazole), the first of a new subclass of synthetic triazole antifungal agents, is available as tablets for oral administration, as a powder for oral suspension, and as a sterile solution for intravenous use in glass and in Viaflex® Plus plastic containers.


Nampak tak gambar aku kat atas tu? Hehehe....dah melebau dah muka. Period kali ini selera makan nauzubillah min zalik. Nampak orang tulis dalam blog pasal Pepero, gigih cari tapi tak jumpa. Jumpa kat Family Store coklat stick yang setara dengan Pepero, terus beli. Ikutkan Pepero datang dari Korea, Pocky ni keluaran Jepun....asalkan boleh jer la, telan! Malam diet shake kelaut. Asal terfikir je.......

"Bang, nak makan burger ayam!"

"Bang, nak makan nasi goreng cili padi!" 

Zasss........nom nom nom. Lepas tu tergolek tidur kekenyangan laki bini ini.

Dah ler tak ada kesempatan nak bersenam. Nak harapkan naik turun tangga kat GH Melaka je la. Tu pun kadang kala sanggup tunggu lif wad GH Melaka yang maha lembab tu sebab tak sanggup panjat wad 4 tingkat.

26 February 2014

Mak : Syukur Alhamdulillah



26 Februari 2014.

Status whatsapp group Villa Bonda Fatimah jam 11.00 lebih pagi tadi alhamdulillah melegakan kerisauan hati kami adik beradik.

Mak selesai dialisis jam 11 lebih malam tadi, balik ke wad dalam keadaan mak tidur keletihan. Bibik bilang, jam 4.00 pagi mak dah tidak demam panas dan kejutkan bibik untuk minum air dan nak duduk bersandar. Satu perkembangan yang memeranjatkan kalau dibandingkan keadaan mak petang semalam.

Bibik kata mak dah boleh tersenyum dan nak berbual. Paling menyeronokkan, selera makan mak kembali, makan buah anggur dan habiskan air kotak sekotak. Alhamdulillah...mungkin mak lapar sangat sebab beberapa hari demam panas, tak lalu makan dan hanya makan bubur nasi beberapa suap sahaja. Pagi tadi, semua doktor yang datang jenguk mak berkumpul di tepi katil mak dan puji mak dah boleh tersenyum dan buka mata. Doktor seronok tengok badan mak bertindak balas  baik dengan ubat antibiotik yang dimasukkan petang semalam.


Kuasa doa.
Bukti kekuasaanNya mendengar doa anak-anak mak.
Meleleh airmata masa dapat berita mak pagi tadi.
Sejak balik dari wad semalam hingga hari ini, tak lekang doa dibaca untuk kesihatan mak.


Waktu tengahari bibik telefon, beritahu mak minta belikan buah anggur lagi dan carikan buah mata kucing. Syukur, syukur ya Allah. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan aku saat dengar suara ceria bibik bercerita tentang perihal mak sepanjang pagi tadi.



Gambar mak petang tadi masa waktu melawat. Berdebar-debar hati masa naik Aras 4 wad mak. Tak sabar nak tengok muka mak. Masa aku sampai, kakak, abang dan suami sudah lebih awal sampai. Allahuakhbar....mak tersenyum manis. Manisssss sangat! Rindunya.....aku cium pipi mak bertalu-talu. 

Suami aku cakap, mak ada sebut nak jalan-jalan ke Cameron Highlands bila dah keluar hospital nanti. Seronok hati bila dengar permintaan mak. Aku on je.....demi mak, pergi kemana-mana pun inshaAllah aku usahakan. Layan berbual dengan mak macam-macam cerita. Aku suruh mak genggam buah oren untuk gerakkan tangan kanan yang membengkak semasa kena jangkitan di awal admission wad dulu. Tangan mak kena latih gerak selalu agar otot tangan mak tak kaku dan mengalakkan peredaran darah.

Kepada yang mendoakan mak Yani selama mak di wad ini, Yani tak dapat balas budi baik kalian dengan wang ringgit, cuma iringan doa setiap kali lepas solat agar Allah membalas semua kebaikan kalian dengan rahmat dari-Nya. Amin ya rabbal alamin.....terima kasih...


25 February 2014

Mak : Makin Lemah


25 Februari 2014.

Tak banyak perubahan mak hari ini. 2 jenis ubat antibiotik doktor pakar dah masukkan dalam badan mak. Ubat yang pertama, suhu badan dan demam mak kebah beberapa hari, waktu tu mak masih mampu berbual dan duduk melunjur kaki. Selepas tu, suhu badan mak naik semula dan mak demam panas. Bermula dari situ, keadaan mak makin lemah.

Dah tak nak makan, hanya banyak minum air zam zam, demam panas hingga 39°c dan meracau. Hati anak mana yang tak luluh kesedihan bila lihat mak sendiri dalam keadaan macam itu? Mata mak terkatup rapat, butir perkataan yang keluar dari bibir mak tak dapat ditangkap. Bila dipanggil nama, sekali sekala baru mak buka mata tapi pandangan kosong.

Doktor pakar brief pada adik bongsu, pihak hospital dah cuba rawatan antibiotik secara general sebab jangkitan kuman mak tak menunjukkan simptom yang spesifik. Keadaan mak yang meracau dan mamai adalah kesan jangkitan kuman dah sampai saraf otak.

Tengahari tadi, kak long sampai dari KL melawat mak di wad. Lepas kak long belek-belek keadaan mak, aku ambil peluang cium pipi mak dan usap tangan mak. Aku cium pipi mak dengan cara yang biasa aku buat masa mak sihat, waktu aku nak pergi kerja waktu pagi. Masa tu mak buka mata dan pandang arah aku. Mak senyum. Aku cium lagi pipi mak bertalu-talu. Lagi sekali mak buka mata, pandang arah aku dan tersenyum. ALLAHUAKHBAR! Berjuraian airmata aku saat tu....rindu sangat-sangat akan senyuman mak. Bila kak long tanya mak...."Mak cam tak siapa ni?" Dua kali mak sebut nama aku "Ida....Ida..."

Ya Allah....Ya Allah...Ya Allah....

Kami bergilir-gilir lap badan mak yang masih panas. Nurse check suhu mak naik semula dari semalam; 38°c. Along ajar mak beristighfar, mak ikut dan ulang baca walaupun suara mak tenggelam timbul. 4 botol ubat antibiotik dimasukkan dalam badan mak untuk turunkan suhu demam.

Aku maklumkan pada ketua unit, aku minta kebenaran untuk tidak masuk pejabat selepas waktu rehat tengahari. Sementara tunggu waktu melawat jam 5 petang -7 malam, kami adik beradik berehat di kerusi panjang di depan kaunter unit hasil. Aku dan suami lari ke kereta sekejap untuk ambil charger hp dan ubah kedudukan parkir. Dalam perjalanan ke kerusi panjang tu semula, kami berselisih dengan satu katil yang di tolak dari arah unit scan jantung (echo). Aku perhatikan kaki pesakit yang terlantar atas katil tu, hati aku terdetik....macam bentuk kaki mak sebab ada kesan kulit gelap (kencing manis). Bila aku toleh tengok muka pesakit, rupa-rupanya memang mak yang berada atas katil tu! Bibik yang ikut staf nurse dari belakang beri signal, mak baru buat scan dan x-ray jantung untuk tengok kesan jangkitan kuman pada badan mak. Kami tak dapat ikut sebab wad belum dibuka untuk pelawat masa itu.



Tepat jam 5.00 petang, kami naik ke wad 4-1. Kesian tengok bibik tidur di hujung kaki mak; keletihan sangat. Syukur alhamdulillah demam mak dah sedikit kebah, badan dah tak panas lagi. Makanan petang sampai, kami suapkan mak sedikit bubur nasi. Nurse berikan ubat pil mak yang sudah ditumbuk halus untuk memudahkan mak telan. Bibik gaulkan ubat dalam bubur nasi mak supaya senang telan. Kami tak berkesempatan untuk duduk lama disitu sebab mak nak dibawa ke bahagian HU (haemodalisis) di blok lain jam 6.15 petang. Proses dialisis memakan masa lama.

Ya Allah...berikanlah kami adik beradik kekuatan dan ketabahan hati menghadapi dugaan ini dengan redha hati...

24 February 2014

Mak : Hiba

24 Februari 2014.

Hari ni balik dari wad tanpa senyuman manis di bibir mak. Tanpa lambaian tangan mak. Tanpa pandangan kasih sayang dari mak mengiringi langkah kaki aku keluar dari wad.

Ya Allah, sedihnya hati ini.

Bereksperimentasi Dengan EPO

Sumber Gambar : Google

24 Februari 2014.

Kitaran period kali ini aku bereksperimentasi dengan supplemen EPO. Aku mula makan EPO sepanjang tempoh period (18 - 23 Jan 2014). Sebaik sahaja bersih dari period, aku berhenti terus makan EPO.

Tujuan aku cuma satu.
Aku nak tengok sama ada kesan EPO mempengaruhi simptom breast pain, EWCM dan tempoh kitaran CD aku selama ini. Sebenarnya aku sendiri tak pasti sama ada kesan pengambilan EPO sejak awal April 2013 sehingga kini yang membantu aku mengalami simptom-simptom di atas tu memandangkan semua perubahan kitaran period (CD semakin pendek dan tetap setiap bulan) seiring dengan pengambilan beberapa supplemen dan juga penurunan berat badan sepanjang setahun lepas.

Hasil eksperimentasi aku:-

Dengan EPO:

1) CD13-15 EWCM keluar
2) Breast pain mula muncul seawal CD14/15 sehingga hari period keluar. Sebaik sahaja period, ia lenyap
3) Mild cramp atau rasa berdenyut di belah kiri rahim mula terasa seawal 2 minggu sebelum period
4) 2 hari sebelum haid, rasa mual, nak muntah dan kepala rasa pening
5) 1-2 hari sebelum haid, simptom watery di Puan V
6)  Rasa lenguh pinggang beberapa hari sebelum period

Tanpa EPO:

1) EWCM tak berapa jelas kelikatan tekstur dan agak lewat CD keluar.
2) Breast pain hanya muncul pada CD24 (14 hari sebelum period)
3) Mild cramp tak terasa sampai hari nak period
4) 1-2 hari sebelum haid, simptom watery di Puan V
5) Rasa lenguh pinggang beberapa hari sebelum period
6) Rasa loya, pening kepala dan nak muntah (dah muntah pun semalam!) beberapa hari sebelum period.  

Ye.
Hari ini aku period pada CD38, menjadikan kitaran period bulan lepas 37 hari.
Lewat 10 hari dari tarikh jangkaan (15 Februari 2014). 
Berhenti makan EPO, period jadi haywire.

Sedang buat kerja di pejabat, duduk atas kerusi tiba-tiba rasa macam terkencing.
Berlari ke tandas. Fresh blood di pantyliner.
Termenung sejenak. Ambil telefon, dail no suami.
"Maaf belum ada rezeki lagi"
Menangis 2 -3 minit.
Ok, dah tenang semula. Sambung buat kerja.
Oh....hari ni sambung makan EPO (walaupun dalam hati rasa benci dan geram giler kat EPO sebab buat period haywire).
 

23 February 2014

Mak : Bacaan Al-Quran & Yasin



23 Februari 2014.

Petang semalam melawat mak. Ramai adik beradik yang datang menjenguk mak juga. Dah macam gathering pula. Masa nak balik, bibik pesan suruh bawa apa-apa pemain mp3 yang ada bacaan Yasin dan surah-surah untuk dipasang di telinga mak. Setidak-tidaknya mak boleh tenang lena sambil diperdengarkan dengan alunan ayat-ayat Al-Quran.

Malam tadi, keluarkan iport shuffle yang dah lama tak digunakan dari dashboard kereta. Memang bateri dah flat habis, kena charge dahulu baru boleh guna. Dalam dashboard kereta pun ambik cd mp3 Al-Quran. Serah pada suami, dia yang synckan semua surah ke dalam iport shuffle tu.


Alhamdulillah tengahari tadi masa bawa lauk untuk mak dan bibik, dah serahkan pada bibik iport shuffle tu. Suami siap ajarkan bibik cara guna dan pakaikan pada mak. Keadaan mak masih sama; masih demam panas dan tak banyak perkembangan positif. Sambil ajak mak berbual, aku lapkan badan mak dengan tuala basah untuk kurangkan panas badan mak.

Cabaran 90 Hari 2014 : Mode Kawal dan Kekal Berat Badan Sedia Ada



22 Februari 2014.

Beberapa hari ke hospital sebelah petang dan sampai di rumah dah pukul 8 malam. Lepas solat dan minum shake, asal baring je terus lelap keletihan. Mak masuk wad hari Selasa, hari Isnin dan Selasa malam tak shake, makan normal meal. Rabu dan Khamis dapat back on track; 2 shake dan 1 normal meal. Jumaat malam, 1 kali shake je, tengahari dan makan malam normal meal. Kebetulan Abangah baru sampai dari Kedah, kalau sampai rumah dah pukul 8 lebih baru nak masak memang pukul 10 la baru dapat makan. Jadi, bawa Abangah makan di luar.

Cumanya, sepanjang ke hospital, aktiviti berjalan kaki dari tempat parkir yang jauh dari blok bangunan wad mak dan aktiviti naik turun tangga hingga aras 4 (aras wad mak) dah jadi kewajipan. Nak tunggu lif yang maha slow tu, makan masa betul. Mencungap-cungap naik tangga sampai ke aras 4. Sesampai je kat aras 4, berhenti tarik nafas kat tepi wad. Kalau boleh, tak nak tertinggal apa-apa barang kat kereta, bercinta nak turun balik!

Sabtu pagi, lepas solat Subuh ajak suami berjogging sekejap sekitar taman. Sejuk angin pagi, orang pun masih belum keluar rumah..sunyi sepi je. Dapatlah selesaikan 5km jogging dan brisk walking dalam 1 jam lebih. Mungkin dalam keadaan sekarang, lebih baik switch ke mode "kawal dan kekalkan" berat badan yang sedia ada sahaja. Untuk turunkan berat badan bukan buat masa sekarang. Tapi, aktiviti fizikal (aktiviti kardio) seperti jogging dan brisk walking wajib dibuat setiap hari untuk kekalkan stamina badan.

22 February 2014

Mak : Waktu Melawat



22 Februari 2014.

Gambar keadaan mak petang semalam waktu melawat jam 5-7 petang. Ada saudara mara datang menjenguk. Alhamdulillah, nampak mak bersemangat nak layan berbual dengan saudara mara walaupun hampir sepanjang masa berbual dalam keadaan mata terkatup letih.

Kebetulan Abangah pun baru sampai dari Kedah petang semalam, keluarga Ateh pun ada datang jenguk mak...ramai juga la ada di sisi mak semalam.

Hari ini inshaAllah tengahari nak jenguk mak. Pada kawan-kawan yang cadangkan beri mak minum dan sapukan air zam zam di badan, kebetulan semalam adik beradik kami ada yang bawakan bekal air zam zam. InshaAllah sudah diusahakan...terima kasih ye!

21 February 2014

Mak : Demam Panas Semula


21 Februari 2014.

Jenguk mak tengahari ni saat waktu rehat panjang penjawat awam. Singgah kedai makan, bungkus nasi campur untuk aku dan bibik. Telefon adik aku, tanya sama ada datang atau tidak tengahari ni. Kalau datang, bawa lauk apa. Adik aku kata dia datang dan bawa sup ayam campur kentang. Nasi dah suruh bibik beli dahulu. Jadi, aku hanya tambah lauk rendang daging dan ayam goreng.

Terus pecut ke pasaraya Giant, beli pampers mak dan buah anggur. Bibik cakap semalam tinggal 3 keping je pampers mak. Hari pertama mak masuk wad, mak dipakaikan dengan tiub. Semalam nampaknya tiub dah dicabut. Memandangkan mak sangat kurang minum air, boleh dikatakan mak tak buang air pun. Tambahan pula, mak tak selera mak, sampel najis pun sampai hari ni belum dapat untuk diserahkan pada makmal.

Sampai je di wad, betul-betul jam 1.00 petang. Waktu sampai tu, mak tengah terbaring tutup mata dan dahi beralas kain basah. Bibik kata mak demam panas semula. Aduh, sebak hati bila dengar berita ni. Baru semalam mak tunjukkan perkembangan positif, hari ni jadi macam ni balik. Aku takut jangkitan mak kembali menyerang sistem badan mak. Tak lama lepas tu, adik aku pun sampai. Kami bergilir lap-lap satu badan mak untuk kurangkan panas badan mak.

Sekali sekala kami berbual, mak tunjukkan reaksi. Bila cerita pasal anak adik aku (Aina), nampak mak tersenyum. Aku tahu mak mendengar semua perbualan kami, cuma tak berdaya nak membalas. Aku tanya mak, nak buang air dan berak tak? Mak kata nak tapi mak takut tak pakai pampers. Aku cakap pada mak, mak memang dah pakai pampers, jangan tahan-tahan buang air kecil dan berak, tak perlu risau sebab ramai yang boleh bantu kemaskan kencing berak mak. Alhamdulillah, mak dapat kencing dan berak hari ni; kami adik beradik bantu sama bibik kemaskan mak dan tukar pampers baru. Jadinya, hari ni dapat ambil sampel najis mak untuk diserahkan pada makmal. Lega sikit hati...

Selit sikit cerita pasal jiran sebelah katil mak.
Setiap hari bertukar-tukar jiran sebelah mak. Sekali aku datang, tengok-tengok dah bertukar orang lain. Kejap bangsa Melayu, kejap bangsa Cina. Setakat ni mak yang masih kekal dalam bilik berempat tu. Cuma hari ni dapat jiran nenek Melayu, tak tahulah sakit apa, cuma mulutnya tak henti-henti mengaduh sakit. Kesian pun ada. Sekeliling nenek tu ada beberapa mesin. Mak ada tanya, suara siapa yang mengeluh sakit tu? Kami cuma cakap jiran mak. Adik aku cuma bisik kat telinga mak, sakit macam mana pun, perbanyakkan istighfar, kalau menjerit-jerit sakit pun, tak akan membantu. Semoga nenek jiran sebelah mak diringankan kesakitannya dan mendapat rawatan terbaik daripada para doktor dan jururawat di wad 4-1...amin!

20 February 2014

Mak : Senyumlah Mak, Senyum!



20 Februari 2014.

Tengahari tadi tak berpeluang melawat mak. Tapi itu bukan alasan untuk lupa sejenak memikir tentang keadaan mak. Aku telefon bibik waktu rehat, tanya khabar berita mak. Bibik bilang malam tadi mak di bawa ke blok D (tempat HD) jam 10 malam. Alhamdulillah, mak dapat buat hemodialisis selama 2 jam sebab tekanan darah masih rendah. Nurse wad tu cakap bibik tak perlu ikut, lagipun bukan boleh masuk sama temankan mak. Jadi, tempoh dua jam tu bibik rehatkan badan secukupnya sebab letih menjaga mak.

Aku tanya mak tengah buat apa? Masih terbaring lemah lagi ke macam semalam? Bibik cakap mak dah boleh dudukkan badan, dah boleh layan bercerita dan senyum pada semua orang. Allah, berbunga-bunga hati aku dengar cakap bibik. Kebetulan masa aku telefon, waktu melawat wad, adik-adik tiri aku datang jenguk dan sedang berbual dengan mak. Rupanya hari ini Mak Ngah Melah pun ada melawat mak. Alhamdulillah...

Telefon adik, dia cakap dia dalam perjalanan bawa lauk tengahari untuk mak dan bibik makan. Lepas waktu kerja, aku bergegas ke GH Melaka sambil mengejar masa. Waktu aku sampai, kakak aku sekeluarga dah sampai dulu.Berbual dengan bibik, bibik kata hari ni mak aktif berbual, bercerita malah membaca suratkhabar. Bila doktor datang ke katil, doktor pun puji mak tersenyum dan tak hanya terbaring lemah macam mula-mula dimasukkan ke wad.

Seronok dapat tengok mak tersenyum manis, walaupun nampak agak keletihan kesan ubat. Rupa-rupanya masa aku sampai ke wad mak tu, mak baru baring semula dari duduk melunjur atas katil. Bila letak tangan kat dahi mak, rasa demam makin reda. Dapat layan bercakap dengan mak sekejap je sebab lepas tu doktor dan nurse datang berkerumun pada mak untuk ambil sampel darah.

Kesian mak...banyak kali juga doktor cucuk di beberapa tempat di lengan kiri untuk dapatkan sampel darah tapi tak dapat. Sampai waktu melawat hampir tamat pun urusan doktor di katil mak masih belum selesai. Cuma, Alhamdulillah aku dapat masuk semula ke wad mak dan cium pipi dan tangan mak sebelum bergerak balik.

Kadang-kala yang ada hikmah disebaliknya.....

19 February 2014

Mak : Allahuakhbar!



19 Februari 2014.

Allahuakhbar!
Dapat status whatsapp ini dari adik bongsu, aku dah hilang deria rasa saat ini.
Dalam solat, airmata meleleh tak tertahan.
Lemah, aku sangat lemah saat ini.
Rasa nak pecut lari ke GH Melaka nak tengok mak sekarang ini.
Ya Allah, bantulah bonda kami saat ini Ya Allah!!
Ringankan kesakitannya Ya Allah.....

Mak : Wad 4 - 1 GH Melaka


Sumber Gambar : Google

19 Februari 2014.

Petang semalam ke GH Melaka semula. Keadaan mak tak banyak perubahan malah makin lemah. Semalam mak buat dialisis, tapi hanya dapat setengah jam sahaja buat proses HD sebab tekanan darah mak terlalu rendah. Staf HD tu tak mahu tanggung risiko lebih bahaya kalau diteruskan.

Balik dari dialisis, mak tak ada selera makan, cuma minta encik suami belikan sup di kedai. Tekak mak susah nak menelan berikutan ulser dan kering. Encik suami telefon dan maklumkan keadaan mak. Lepas balik kerja, adik aku yang singgah rumah mak telefon aku, beritahu nak bawa mak ke GH Melaka balik. Dia dah telefon kawan dia (doktor) yang bertugas di GH Melaka, terangkan keadaan mak dan kawan dia cakap jangan biarkan mak lama-lama di rumah tak terima rawatan yang sepatutnya. Tambahan pula, adik aku perasan saluran darah kat beberapa bahagian badan mak ada tanda bengkak/ kesan berbiji. Adik aku takut kanser mak yang dulu merebak, walaupun doktor pakar pernah cakap mak dah free-margin dari simptom kanser kulit dulu.

Sesampai aku di rumah, bibik tengah uruskan mak bersiap dan kemas beg. Adik bawa mak pergi ke Unit Kecemasan dan Trauma GH Melaka dahulu untuk admission (sebelum Maghrib). Aku bersiap dengan encik suami, dan lepas solat Maghrib kami bergerak dari rumah. Kami sampai di GH Melaka dekat pukul 8.40 malam. Masa tu adik whatsapp maklumkan mak dah dibawa ke Zon Kuning (unit pemerhatian), lama juga mak diletak di sana dan tak dibenarkan berteman. Agaknya dah ramai sangat waris yang berada di Zon Kuning tu, sampai guard halau semua waris keluar dari situ. Dalam pukul 9 lebih, adik aku masuk semula untuk tengok keadaan mak. Kemudian whatsapp aku, maklumkan mak akan di tolak ke wad sekarang, dan suruh aku standby bawa barang-barang mak ke wad 4-1. Aku, bibik dan encik suami ke kereta dan bawa keluar barang-barang mak dan bibik.

Mak ditempatkan di katil wad 4-1 sekitar jam 10 lebih malam. Dah siap pasang tiub pernafasan di muka. Adik aku pergi ambil wheelchair mak yang tertinggal di Unit Kecemasan. Walaupun guard dah mula round satu wad untuk suruh waris balik, kami masih menunggu doktor datang untuk tengok keadaan mak. Nasib baik adik aku ada sekali, jadi masa doktor datang check, adik aku dapat terangkan keadaan mak dari segi perubatan dengan istilah-istilah doktor dia tu. Nampaknya proses dialisis mak akan dibuat di GH Melaka juga, dah confirmkan dengan doctor.

Dekat pukul 11 lebih baru kami bergerak balik. Cium pipi mak. Rancangan esok (hari ini), tengahari aku tak ke GH Melaka, aku dah bekalkan bibik duit makan tengahari siap-siap. 1 jam waktu rehat tak akan sempat nak uruskan semua benda seorang diri; nak pergi beli makanan, nak bergegas ke hospital, dengan nak cari parkir kereta lagi, sah-sah sampai di wad mak lagi 5 minit nak habis waktu melawat (pukul 2 petang). Kadang-kadang aku sendiri tak sempat makan. Jadi, aku cakap dengan mak aku akan datang bawa barang-barang yang mak pesan bawa lepas waktu kerja (waktu melawat 5 petang - 7malam). Cuma, apa-apa perkembangan mak, memang dah pesan bibik call terus telefon bimbit kami adik beradik segera. 

Dalam kereta, dalam keadaan letih, aku menangis sedu sedan di sebelah encik suami yang sedang memandu. Encik suami faham, aku tak akan menangis depan mak, hanya bila tak berada depan mak, aku akan lepaskan kesedihan. 

18 February 2014

Adakah Terlalu Awal Untuk Kecewa?

18 Februari 2014.

Adakah terlalu awal untuk kecewa?
Persoalan yang bermain di benak fikir waktu ini.

Satu je pinta dalam hati ini.
Biarlah galang ganti ketidakpastian itu hadir secepat mungkin.
Agar aku dapat meneruskan perjuanganku semula.

Tak.
Aku tak mengeluh.
Masih bersangka baik dengan takdir Allah untukku.

Mak : Nyaris-nyaris Masuk Wad

17 Februari 2014.

Mak dah tak sedap badan dari awal minggu lepas melarat ke hari ni. Mula-mula badan lemah, sakit sana-sini, sampai skip dialisis hari Khamis lepas. Hari Jumaat lepas kemuncak sakit mak. Dah demam panas, cirit birit dan tak bermaya langsung. Makan dah la kurang sebab tak selera, demam ni lagilah tak nak jamah sangat makanan sebab lidah kering dan ada ulser di tekak.

Sabtu, gagahkan juga mak ke pusat dialisis untuk sambung dialisis yang tertangguh. Alhamdulillah, dapat juga selesaikan 4 jam rawatan dan nampak segar sedikit. Tapi menjelang malam Ahad, mak dok mengadu sakit satu badan semula. Serba tak kena satu badan; kepala sakit, dalam telinga sakit, bawah dada sakit, perut sakit. Terbaring je atas sofa.

Aku whatsapp dengan adik aku, dia suspect mak ada jangkitan kat bahagian perut sebab orang yang buat dialisis berisiko. Ahad petang aku bawa mak ke klinik 24jam. Doktor siap tanya nak buat surat refer hospital tak? Lepas periksa mak, doktor bagi 2-3 jenis ubat; ubat angin (doktor kata perut mak kembung), antibiotik, ubat demam, ubat tahan sakit dan air garam. Balik dari klinik, bagi mak makan ubat lepas jamah sikit makanan dan sebelum tidur.

Aku bincang dengan suami, minta dia monitor keadaan mak waktu pagi Isnin aku masuk opis. Lagipun suami ada urusan dia dengan klinik kesihatan daerah ni awal pagi Isnin. Aku masuk opis pun dalam keadaan terlalu memikirkan hal mak. Minta kebenaran dari ketua unit untuk half day. Dekat-dekat tengahari suami call kata keadaan mak tak banyak berubah, jadi aku suruh bawa mak ke GH Melaka dan aku tunggu di unit kecemasan untuk urusan kemasukan mak.

Dari pukul 12 tengahari hingga pukul 6 lebih petang! Letih badan dibuatnya menunggu mak diberikan rawatan. Disebabkan mak dah demam beberapa hari, doktor syak ada kaitan dengan denggi dan suruh ambil dan uji sampel darah mak. Bila tengok bahagian saraf jari tangan kanan mak membengkak, doktor ada beri ubat saraf juga. Alhamdulillah....hasil uji darah mak di lab, mak bebas denggi dan bacaan jangkitan tak tinggi. Masa ambil darah, nurse ada beri ubat suntik gastik, lepas setengah jam mak beritahu doktor sakit bawah dada tu dah makin kurang.

Doktor hanya preskrip 3 ubat untuk mak dan mak boleh balik rumah tanpa perlu di admit. Punyalah seronok mak, tersenyum je bila doktor kata boleh balik.

16 February 2014

Cabaran 90 Hari 2014 : Kembali Berzumba


16 Februari 2014.

Bila last berzumba? Nun 7 Januari 2014 dulu.
Boleh refer entri yang ini.
Nampak naw dah lama tak berzumba, ye?

Pagi ni dengan perut kosong, berzumba depan pc dengan suami.
Termengah-mengah kami berdua lepas 2-3 video zumba, dah tu asyik lupa step je.
Berterabur langkah.

Dah lepas video klip ke-4 baru ok balik.
Alhamdulillah dapat berzumba selama 1 jam.
Yang paling best, berpeluh sakan satu badan sampai lencun.
Rehat sebentar, lepas habis zumba baru minum shake Herbalife dan supplemen Herbalife yang lain. 

Haritu ada Anonymous yang komen dalam entri zumba macam ni...

"sebaik2 nak zumba ni...waktu pagi......jgn sarapan...minum air putih ....zumba sejam....nak stop....rehat sekejap...pastu minum air ( jika amalkan supplemt kurus ) blh terus minum supplemnt....badan akan cepat serap...sbb kekurangan air.....cepat badan kurus....jika sarapan dlu...nanti badan serap apa yg kita mkn n bakar.....bukan % lemak dibakar jika dh sarapan"

Terima kasih banyak-banyak beri tip...mana yang boleh aku ikut, inshaAllah aku buat. 
Semoga semangat nak berzumba berkekalan untuk tempoh masa yang lama la selepas ini.

15 February 2014

Cabaran 90 Hari 2014 : Syukur Alhamdulillah!


15 Februari 2014.

Petang tadi, lepas solat Asar keluar buat aktiviti brisk walking dengan suami.
Ingatkan rutin biasa, check point yang sama, perkara yang sama akan berlaku.
Silap!

1km pertama, lepas beraksi dengan suami selfie sana-sini dan melompat-lompat sambil berpaut pada bahu suami, aku terpijak paku tekan kat tepi jalan. Terbayang-bayang lagi macam mana rasa paku tekan tu tembus tapak kasut dan terus terbenam di celah antara ibu jari kaki kanan dan jari kedua tu. Spontan aku menjerit panggil suami sambil angkat kaki kanan, takut makin terbenam paku tu lebih dalam. Suami anduh sedikit kaki aku sambil tarik paku tekan tu. Panjang ok! Dan nampak macam paku tekan baru, nasib baik tak berkarat.

Syukur, alhamdulillah!
Aku berdoa sungguh dalam hati, janganlah berdarah ke apa ke.
Memang terasa pedih tapi bila aku buka kasut, alhamdulillah tak ada darah, mungkin tercalar sedikit masa paku tu tembus antara dua jari aku tu.


Suami aku dah gelabah semacam, siap cakap nak suruh aku tunggu tepi jalan, dan dia balik ambil kereta. Aku cakap tak payah, teruskan brisk walking je sebab rasa ok lagi. Lepas tu kami berdua terus berbrisk walking antara dua tiga taman perumahan sebelum berakhir di depan rumah. Dapat jugalah luangkan masa hampir 1 jam lebih dan brisk walking sejauh 4 - 5km.

Lepas ni kena lebih berhati-hati masa beriadah la, kan? Kalaulah masa aku melompat-lompat berpaut pada suami tu kaki aku mendarat betul-betul atas paku tekan tu....aduh! Tak boleh dibayangkan apa kesudahannya....Allah dah selamatkan hambaNya hari ini...

14 February 2014

Cabaran 90 Hari 2014 : Berat Badan Minggu Kedua Februari 2014


14 Februari 2014.

5 hari yang tanpa gagal memaksa diri (dan juga suami..hik hik hik) beriadah selepas waktu kerja.
Dah tu, 5 hari berturut shake pagi dan malam serta cuba kawal pemakanan.
Terpaksa.

Terima kasih juga dengan proses pembuangan yang sangat membantu sepanjang 5 hari ini. Sekali membuang 2 kali; pagi dan petang. Lega rasa perut.
Lagi best, malam tadi aku gatal-gatal minum dua sudu air halia yang bibik buatkan untuk mak.
Konon nak cuba rasa air halia, mana tahu boleh bantu turunkan berat badan.
Haaaa...mendapatlah kan!
Pukul 4.30 pagi bangun dengan perut memulas-mulas. Boleh rasa angin dok naik turun dalam perut.
Bangun pagi, membuang lagi.
Dalam perjalanan ke pejabat, terpaksa rempit dan singgah Petronas sebab nak membuang lagi.
Sampai pejabat (dah lewat tapi sempat sms orang Pentadbiran aku masuk lewat cirit birit), berkejar ke tandas lagi.
4 kali ok!
Melecet punggung aku.
Terus taubat nasuha. 
Ini baru teguk 2 sudu air halia. Kalau malam tadi aku bantai habiskan segelas air halia tu....gamaknya hari ni aku terlentang atas katil je la, cirit birit tanpa henti. 

5 hari timbang (tanpa pakaian), dari berat 64.9kg kepada 63.1kg.
Kalau lengkap berpakaian, berat badan lebih kurang 65.5kg turun kepada 63.7kg.
5 hari turun 1.8kg.

 Berat badan pada 14 Februari 2014

Berat badan minggu pertama bulan Februari 2014, tak ada timbang di pejabat.
Jadi, kita gunapakai bacaan berat badan di Klinik OnG GH Melaka je la gamaknya.
4 Februari 2014, timbang di sana; 62.8kg.
Beza berat badan dalam tempoh 10 hari (seminggu lebih), adalah kenaikan 0.7kg.

Tak mengapalah.
Kita berazam, tapi jarang apa yang kita azamkan dapat sebijik macam apa yang harapkan.
Selagi boleh kita kawal, kita cuba.

P/s: Esok adalah hari jangkaan period.

Cabaran 90 Hari 2014 : Brisk Walking 2.7km


14 Februari 2014.

Petang semalam lewat sedikit mulakan brisk walking sebab duduk layan berbual dan tengok keadaan mak yang tengah tak berapa sihat. Panas badan mak dan mak mengadu sengal dan bisa-bisa badan.

Dalam kesempatan tempoh yang singkat, kami suami isteri berjalan laju dan memilih untuk guna trek berjalan kaki yang tidak jauh. Takut langgar waktu solat Maghrib, lagipun tak manis orang tengok.



Atas peta landskap Google memang nampak jauh tapi kalau dah terbiasa, rasa sekejap je masa yang diluangkan untuk beriadah dengan suami.

Ada cerita kelakar semasa brisk walking petang semalam. Nak dijadikan cerita, suami cirit birit dan muntah-muntah dari pagi membawa ke petang. Jadi badan suami lembik kehabisan tenaga. Dah dekat petang baru boleh jamah nasi dan lauk. Kesian tengok dia, aku gatal-gatal mulut ajak dia makan malam pizza. Lepas tu, sambung bersembang cerita lain sambil berjalan.

Dalam perjalanan balik ke rumah, suami buka mulut tanya jadi ke keluar makan pizza malam ni? Hahaha..adoilahai...rupanya suami aku masih dok fikir pasal ajakan aku tadi sepanjang perjalanan balik. Aku tergelak sambil pandang mukanya. Aku janji keluar makan pizza dengannya bersama-sama mak dan bibik malam ni. Takut kempunan pula nanti.

13 February 2014

Cabaran 90 Hari 2014 : Brisk Walking dan Stok Strawberry


13 Februari 2014.

Setakat 3 hari beriadah, alhamdulillah masih bersemangat untuk teruskan aktiviti. Memandangkan semalam adik bongsu aku tak dapat ikut sama sebab buat locum, maka aku berdua dengan suami sahaja berbrisk walking sejauh hampir 2-3km.

Walaupun hanya dapat luangkan masa 30 minit sebelum waktu Maghrib, berbaloi dengan peluh yang mengalir...Alhamdulillah!


Stok strawberry yang beli di CH Ahad lepas adalah bahan wajib dalam shake sebelah malam aku...hehe. Dap dap....

Pagi ini (13 Feb 2014), timbang berat badan sekali lagi.
63.6kg w/o clothes on.
Kalau siap berpakaian, tambah 0.5-0.6kg....jadi 64.2kg. Kekal la pulak. Takpe...Chaiyokkk!

12 February 2014

Cabaran 90 Hari 2014 : Riadah dan Pasar Malam



12 Februari 2014.

Lepas kerja semalam, sambung aktiviti riadah berjogging dan brisk walking dengan buddies yang sama; suami, adik, dan dua anak buah.

Setiap hari Selasa ada pasar malam di taman perumahan ni. Bila mak nampak kami dah bersiap nak gerak, boleh pula mak hulur duit suruh beli bubur dan laksa. Hahaha....keluar berlenggang, balik berbondong-bondong penuh plastik di tangan masing-masing.

Nasib baik iman kuat di dada, tak de beli apa-apa untuk diri sendiri di pasar malam sebab memang dah niat nak shake untuk makan malam nanti.


Lepas solat Maghrib, blend shake Herbalife untuk kami suami isteri; dengan campuran strawberry dan kurma untuk aku, manakala campuran jambu dan kurma untuk suami.


Pagi ini (12 Feb 2014), timbang berat badan sekali lagi.
63.6kg w/o clothes on.
Kalau siap berpakaian, tambah 0.5-0.6kg....jadi 64.2kg.
1.4kg lagi untuk kembali ke berat semasa haritu (62.8kg).
Chaiyokkk!

11 February 2014

Cabaran 90 Hari 2014 : Seronok Riadah Beramai-ramai


11 Februari 2014.

Suka sangat buat entri cerita semalam kan? Hehu.
Ini edisi riadah hukum diri.
3 hari bercuti Jumaat sampai Ahad (read: family day jabatan dan sambung honeymoon in advance) tanpa istilah diet. Bagus sungguh.

Jumaat sempat shake pagi je. Tengahari makan nasi macam biasa. Malam makan burger Subway (beli masa singgah Kota Damansara waktu jammed).
Sabtu jamah nasi pagi-tengahari-malam.
Ahad konon insaf sikit, tak ambil nasi waktu sarapan pagi, tapi tengahari makan strawberry strudel (Strawberry Moment Dessert Cafe, Kampung Raja, Cameron Highlands) dan makan nasi berlauk di Medan Selera, Tanah Rata).
Penyelamat diet hanyalah teamix 2 liter dan air masak lebih 3 liter setiap hari di sana.
Shake F1, F3 dan buah-buahan yang bawa, tak usik pun. Buat berat beg je.

Pagi Isnin (10 Feb 2014), timbang berat badan.
64.9kg w/o clothes on.
Kalau siap berpakaian, tambah 0.5-0.6kg....jadi 65.5kg.
Berat sebelum bercuti, kalau tak silap sekitar 62.8kg last timbang kat klinik OnG (4 Feb 2014) tempohari.
3 hari bercuti, naik 2.7kg.
Padan muka.

Jadi, lepas balik kerja, ajak suami berjogging sekitar taman perumahan.
Kebetulan adik bongsu yang doktor tu ada sekali kat rumah, singgah makan strawberry kat rumah mak.
Lepas solat Asar, cepat-cepat tukar baju.
Masa nak pakai kasut, dia tanya nak pergi mana.
Aku cakap nak berjogging jap. Terus dia kata nak ikut sekali.
Dah jadi ramai pula yang ikut sama.
Aku, suami, adik, dan anak buah (Aina dan Qimi).
Meriah sungguh.
Seronok bergambar, terutamanya ambil gambar aksi Aina berjogging.
Ada satu masa, agaknya dah letih sangat jalan kaki, Aina depa tangan pada aku minta didukung sambil buat suara manja.
Best moment....bila Aina manja dengan CikDa dan CikYein dia.

Pagi ini (11 Feb 2014), timbang berat badan sekali lagi.
64.4kg w/o clothes on.
Kalau siap berpakaian, tambah 0.5-0.6kg....jadi 65.0kg.
Chaiyok!

P/s: Kawal balik pemakanan (2 kali shake) dan proses pelawasan sepanjang minggu ini diharapkan dapat membantu proses kembali ke berat badan asal. Huhuhu...bismillah!

Comelkan gaya Aina berjogging? Hehehe...

07 February 2014

Perlu Lebih Alasan Untuk Terus Berjalan Kaki?


7 Februari 2014.

Puan blog tengah kelam kabut bersiap nak bergerak ke Perak lepas solat Jumaat ni, jadi publish je la info makanan minda berkaitan kebaikan aktiviti berjalan kaki (macam biasa) ye.

Kebetulan awal minggu ini ke dua klinik berlainan tempat, banyak pula info menarik yang dipaparkan, rugi rasanya tak snap dan kongsikan di sini. Gambar yang kat atas tu masa keluar makan dengan suami di tepi Sungai Melaka, rupa-rupanya sepanjang laluan pejalan kaki tepi Sungai Melaka tu dijadikan trek berjalan kaki 10,000 langkah....bagus!


05 February 2014

Sebulan Lagi, Buat Laporoscopy Atau Tidak?

5 Februari 2014.

Cerita semalam.

Temujanji pertama di klinik OnG GH Melaka untuk tahun 2014. Bertukar hari pula, selalu temujanji aku pada setiap hari Jumaat, kali ini dah ubah ke hari Selasa. Lepas-lepas ni pun nurse cakap akan ikut hari yang sama; Selasa.

Temujanji jam 9.00 pagi, pukul 8.30 dah sampai. Lepas letak kad temujanji, macam biasa masuk bilik 11 untuk ambil bacaan berat dan tekanan darah. Berita best…berat naik sedikit dari berat bulan Disember 2013 dan tekanan darah naik. Kui kui kui…


Menunggu nombor giliran hampir 2 jam lebih. Pukul 11.00 pagi baru nombor giliran aku dipanggil. Masuk bilik nombor 2. Seperti kebiasaannya, doktor akan tanya period dah ok ke belum, berapa kali bersama dengan suami dalam seminggu dan ada symptom sengugut yang teruk tak (which is related to endo symptom yang aku belum rasa setakat ini). Lepas tu, doktor ada rebiu keputusan HSG aku; Alhamdulillah ada hikmahnya aku dah tahu awal-awal keputusan HSG walaupun secara tak formal dari kawan adik aku. Sekurang-kurangnya aku dah boleh terima kenyataan dan mood dah kembali ok. Doktor terangkan berdasarkan catatan doktor bahagian X-Ray tu, tiub kanan ok dan normal. Tiub kiri agak sempit dan macam ada blockage. Tapi takde pula dia sebut bab suspected endo based on bahagian atas dinding rahim ada irregular surfaces tu.

Doktor ada sebut pasal pembedahan laporoscopy untuk masalah tiub kiri ni, cuma kena tunggu lagi sebulan untuk doktor pakar (Dr. Tham) tengok semula x-ray HSG aku dan beri pendapat sama ada nak proceed lapo atau ada cara lain. Aku rasa Dr. Tham tak ada kat GH Melaka kot masa tu, so masing-masing tak boleh nak beri apa-apa cadangan. Doktor ada tanya sama ada suami dah buat 2nd SFA tak? Aku cakap ada buat 28 Jan 2014 haritu tu tapi rasanya belum keluar keputusan. Doktor volunteer nak pergi semak sendiri keputusan SFA tu kat lab, tapi seperti yang dijangka..belum siap. Jadi, mungkin sebulan lagi baru boleh tahu keputusannya masa temujanji aku dengan Klinik OnG.

Kali ini, tak ada apa-apa ubat yang diberi, mungkin sebab doktor tengok kitaran period aku dah kembali normal (inshaAllah!) dan keluar setiap bulan. Clomid pun tak ada. Duphaston pun tarak. TVS pun tak buat. Doktor serahkan fail pada aku untuk bagi pada nurse, set temujanji bulan depan. Tarikh yang aku dapat; 11 Mac 2014.


Masa tunggu nurse semak tarikh temujanji seterusnya, aku bisik kat suami….aku berdoa banyak-banyak dalam hati, semoga ada keajaiban Allah boleh conceive naturally tanpa perlu bedah atau prosedur-prosedur ini. Perancangan Allah untuk kita unik, walaupun secara perubatan those things je boleh bantu untuk conceive. Tak salahkan mengharap dengan diiringi doa, usaha, ikhtiar dan tawakal…kan?

P/s: Jumaat - Ahad ini adalah honeymoon fully-sponsered kami di Tambun, Perak. Hari Keluarga jabatan sebenarnya pun, tapi being the only couple yang childless, kami anggap ini honeymoon kami untuk tahun ni. =) Nak honeymoon puas-puas, di mana projek memikat suami pun bermula...meeoowwww~ Hihihi....

03 February 2014

Jom Ubah Cara Pemakanan Kita


3 Februari 2014.

Jom kita baca artikel bertajuk "Gaya Hidup Pengaruhi Cara Pemakanan" yang dipaparkan dalam ruang Rencana Utama di akhbar Kosmo bertarikh 31 Januari 2014 yang lalu.





MEMPUNYAI tubuh besar dan berat badan mencapai tahap obesiti menjadi igauan ngeri buat Sissi Zhong, 26. Sejak bertahun lamanya, dia mencuba pelbagai kaedah menguruskan badan dan memasuki pusat senaman dengan bayaran tinggi.

Mengimbas cara pemakanannya sewaktu kecil, setiausaha di sebuah syarikat korporat di Shanghai, China itu memberitahu, berat badannya naik mendadak akibat gemar meminum minuman ringan yang dipanggil Jianlibao.

"Setiap kali bapa saya balik dari urusan kerja di luar wilayah, dia sering membawa balik minuman tersebut. Saya akan meminum empat hingga lima tin dalam masa sehari menyebabkan berat naik 64 kilogram ketika berusia 18 tahun," ujarnya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.

Perkembangan dan kemajuan China mengubah struktur ekonomi negara dengan populasi 1.3 bilion tersebut. Dalam kepesatan pembangunan pencakar langit, wujud variasi premis makanan-makanan ringan antarabangsa seperti McDonald's, KFC, Pizza Hut dan TGI Friday.

Dicatatkan, terdapat 3,700 cawangan KFC di bandar-bandar utama, tin-tin minuman mudah didapati di kedai-kedai serbaguna dan kepingan piza menjadi hidangan ringan pada waktu malam. Ia tidak termasuk jumlah makanan ringan buatan tempatan yang membanjiri pasaran.

Situasi itu menyebabkan 38.5 peratus penduduk mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti pada tahun 2010. Ia mencanak naik berbanding peratusan pada tahun 2002 iaitu sebanyak 25 peratus. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), dijangkakan 50 hingga 57 peratus penduduk China akan mengalami obesiti pada tahun 2015.

Tradisi konservatif

Ia juga berkait rapat dengan tradisi konservatif sebilangan penduduk China yang melarang anak-anak mereka tidak menghabiskan lebihan makanan.

"Ibu bapa saya selalu mengingatkan ramai penduduk di luar sana yang tidak mempunyai makanan untuk mengalas perut. Tiada sebab mengapa perlu saya membazir makanan," ujar Zhong. Disebabkan itu, dia tetap mengosongkan pinggan walaupun perut sudah melebihi kapisiti muatan.

Masih segar dalam ingatan kebanyakan warga emas di China yang hidup antara tahun 1958 hingga 1961 apabila hampir 45 juta penduduk negara tembok besar itu mati akibat kelaparan dan penyakit berkait rapat dengan masalah kekurangan nutrisi.

Selama tempoh itu, rakyat hidup dalam kemelaratan dengan sumber makanan yang terhad dan tidak dapat menampung jumlah penduduk yang ramai. Situasi genting itu berkait rapat dengan masalah kemarau, cuaca buruk dan dasar-dasar yang dikeluarkan oleh Parti Komunis China, pemerintah republik tersebut sehingga hari ini.

Obesiti tidak hanya membelenggu republik pimpinan Xi Jinping itu kerana hampir kebanyakan negara-negara membangun berdepan dengan masalah sama.

Institut Perkembangan Luar Negara London (ODI) dalam laporannya, Future Diet mencatatkan peningkatan peratusan penduduk dunia yang mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Majoriti pertambahan itu dicatatkan di negara-negara seperti di Mesir, Mexico dan Afrika Selatan.

Sebanyak 904 juta penduduk negara membangun dikelaskan sebagai berat badan berlebihan dan ke atas dengan Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 25 berbanding negara berpendapatan tinggi iaitu seramai 557 juta. Jumlah tersebut meningkat daripada 250 juta pada tahun 1980. Pertambahan ketara juga dilihat di negara-negara Asia Tenggara dengan perubahan peratusan daripada tujuh peratus kepada 22 peratus.

"Peningkatan jumlah penduduk dengan berat badan berlebihan dan obesiti di beberapa negara membangunkan adalah sangat membimbangkan," ujar salah seorang pengkaji ODI, Steve Wiggins.

Penyakit

Dia menambah, trend baharu itu juga membawa kepada peningkatan jumlah pesakit untuk beberapa penyakit berkaitan seperti kanser, diabetes, strok dan serangan jantung. Ia menyebabkan sistem kesihatan orang awam turut terganggu.

Perkara itu didorong oleh perubahan diet dan penukaran jenis makanan asas oleh kebanyakan penduduk di negara membangun. Jika sebelum ini, bijiran dan gandum menjadi makanan asasi, mereka kini lebih gemar mengambil lebih lemak, gula, minyak dan produk-produk berasaskan daging haiwan.

"Penduduk yang mempunyai pendapatan tinggi boleh memilih untuk jenis makanan yang mereka mahukan. Perubahan gaya hidup, perkembangan industri pemprosesan makanan, pengiklanan dan pengaruh media menjadi faktor tambahan kepada masalah obesiti," kata Wiggins yang turut menjadi penulis bersama laporan tersebut.

Ujarnya lagi, perubahan ekonomi membawa kebanyakan penduduk kelas pertengahan negara membangun untuk tinggal di kawasan bandar dan jarang melakukan senaman fizikal. Hasilnya, jumlah obesiti meningkat jika dibandingkan tiga dekad lalu.

Di Afrika Selatan, peratusan besar penduduk negara itu berdepan dengan masalah obesiti yang tinggi. Kebanyakan pesakit merupakan golongan muda lingkungan umur 20-an yang mengalami penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Tinjauan Pemeriksaan dan Nutrisi Kesihatan Kebangsaan Afrika Selatan mendapati, masalah obesiti lebih tinggi dihadapi oleh kaum wanita dengan catatan 60 peratus.

Masalah sama turut berlaku di Indonesia menerusi data yang dikeluarkan oleh Kajian Kesihatan Asas (Riskesdas) 2010. Dicatatkan 21.7 peratus penduduk mempunyai BMI melebihi 27 bagi pesakit berumur 18 tahun ke atas dan peningkatan 14 peratus daripada 11 peratus untuk pesakit di bawah umur lima tahun.

Dalam pada itu, kadar obesiti dalam negara meningkat kepada 15 peratus pada tahun 2011 berbanding 14 peratus untuk tahun 2006. Ia berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan terhadap golongan dewasa dengan peratusan obesiti, hipertensi dan diabetes semakin ketara setiap tahun.

Pusat kesihatan

Perkembangan tidak sihat itu perlu dipandang serius oleh pihak berwajib. Wiggins mencadangkan lebih banyak pusat kesihatan awam khusus untuk pesakit obesiti, sama seperti pusat pemulihan rokok di beberapa negara.

"Pada masa sama, pihak kerajaan juga perlu lebih tegas dalam menggesa penduduk untuk lebih prihatin terhadap nutrisi makanan yang diambil," jelasnya.

Pensyarah dari Institusi Kebersihan dan Perubatan Tropika London, England itu berpendapat, arus pemodenan di beberapa bahagian dunia telah mengubah tabiat pemakanan dengan meninggalkan cara tradisional yang lebih sihat dan ideal.

"Dalam kita memberi bantuan kepada penduduk dunia yang berada dalam kebuluran dan kedaifan, kita juga perlu memikirkan kesan jika bantuan tersebut mengandungi kalori berlebihan dan penggunaan bahan mentah secara berlebihan," ujarnya.

Laporan Future Diet itu juga menggalakkan penduduk dunia untuk mengikuti cara pemakanan yang diamalkan oleh masyarakat Korea Selatan. Negara itu masih menggunakan bahan asli dan ramuan tradisional dalam makanan seharian mereka.

Artikel Penuh : Kosmo