26 November 2017

Kisah Sepanjang Trimester Kedua Part 1


12 Oktober 2017 - Temujanji pertama KKIA untuk trimester kedua ni. Ada kenaikan 300gm dari timbangan berat badan pada 28 September yang lepas. Alhamdulillah masih dalam lingkungan berat 71KG. Masa staf nurse buat pemeriksaan perut, dia tekan dan beritahu kedudukan rahim dah naik 14cm dari ari-ari dan boleh rasa ketulan keras. Bacaan kedua HB pun meningkat dari 13.7 ke 14.1. Perjumpaan dengan doktor kali ni pun takde buat scan perut.

14 Oktober 2017 - Semalam (13 Oktober 2017) sekali lagi pengalaman mendebarkan berlaku semasa aku sedang solat Subuh. Sedang solat, tetiba aku rasa macam ada air keluar dari vagina dan mengalir panas ke peha. Tak sempat selesaikan solat, aku terus ke tandas dan lap dengan tisu. Ada tompokan air bercampur darah cair pada tisu. Ya Allah! Risau sungguh hati kami suami isteri memandangkan hari Jumaat itu adalah hari cuti TYT Melaka dan kesemua klinik swasta tutup. Bleeding hanya berlaku pada Subuh itu sahaja dan tidak ada lagi keluar sepanjang hari, perut aku pun tiada rasa cramp atau sakit. Bila telefon Klinik Amal Rahimah Bukit Katil, klinik buka tapi hanya doktor lokum lelaki yang bertugas namun tiada servis scan dibuat. Bila WA adik bongsu, memang jawapan dia adalah kena ke Emergency GH Melaka la untuk admit. Aku cuba bertahan sehari lagi dan bercadang untuk ke Klinik Pakar Wanita Liu & Vincent untuk periksa keadaan baby sebelum serah diri ke GH Melaka pada pagi Sabtu.

Awal pagi Sabtu, kami berdua suami isteri walk in ke Klinik Pakar Wanita Liu & Vincent jadi terpaksa akur dengan giliran menunggu hampir 1 jam 30 minit. Kali ini kami berpeluang bertemu dengan Dr Liu dan alhamdulillah seperti Dr Vincent, layanan dan penjelasan Dr Liu sedikit sebanyak menghilangkan kegusaran hati kami. Dr Liu terus scan perut dan dari pemerhatiannya baby tiada sebarang masalah, bergerak aktif dan bleeding mungkin berpunca dari pendarahan pada dinding rahim yang tidak serius atau pergerakan aku yang agak lasak. Aku ada bertanya sekiranya bleeding air bercampur darah cair tu berpunca dari air ketuban yang leaking, doktor kata kemungkinan itu ada tapi Dr mengesahkan air ketuban aku banyak dan mencukupi.

Dr Liu juga ada mengukur ketebalan cecair di bahagian belakang tengkuk baby dan memaklumkan ketebalan cecair itu normal dan tidak melebihi 3mm (jika berlebihan cecair, baby ada potensi down sindrom). Degupan jantung baby juga laju dan normal. Dr Liu menyuruh aku agar complete bed rest sepanjang 2-3 hari bagi mengelakkan bleeding berlaku lagi dan membekalkan aku ubat duphaston untuk menguatkan rahim. Jika lepas seminggu masih ada bleeding Dr minta untuk datang semula dan akan berikan suntikan kuatkan rahim. Alhamdulillah lega dengan penjelasan Dr Liu jadi kami tak proceed untuk ke Emergency GH Melaka.

15 Oktober 2017 - 13w 5d. Hari Sabtu alhamdulillah takde bleeding. Hari Ahad aku mengosok baju kerja 8-9 helai sambil duduk atas kerusi. Sebelum Asar ingat nak baring sekejap sebelum solat. Baru baring rasa basah kat bawah. Calit dan nampak darah merah pekat. Terus bangun dan ke toilet. Menitik banyak darah atas lantai dan bila sapu dengan tisu basah lencun dengan darah merah pekat. Suami dah gabra terus call adik bongsu. Adik aku suruh terus ke GH Melaka. Aku dah menangis-nangis bila fikir confirm kena admit dan risau dengan kandungan.

Pack barang dan terus ke Emergency GH Melaka. Dari pukul 5.30 menunggu di Emergency, 1st level doktor scan dulu nampak baby bergerak dan jantung ok. Pukul 8.30 malam baru dibawa ke EPAU dengan wheelchair. Di pad ada setompok besar darah keluar masa aku bersin di ruang menunggu emergency. Di EPAU sekali lagi menunggu doktor pakar untuk scan perut sampai jam 10.30 malam. Bila scan doktor tengok baby ok cuma tak sure dari mana datang pendarahan. Doktor prescribe kes aku "threatened miscarriage"; sama ada aku admit wad malam tu atau balik rumah, solutionnya sama...doktor just suruh pantau jika ada bleeding lagi dan beri ubat duphaston. Doktor akan tahan 1 hari kalau dah tak bleeding boleh balik. Aku dah tak larat nak duduk lama di GH, jadi aku minta balik dan rehat di rumah. Doktor terangkan risiko jika bleeding lagi di rumah dan potensi keguguran. Doktor bekalkan ubat Duphaston untuk tempoh 26hari, mulakan ubat Aspirin untuk cairkan darah (memang sepatutnya usia kandungan 12minggu ke atas dah mulakan ubat ni untuk kes aku, tapi KKIA tunggu GH yang startkan ubat) dan beri MC untuk beberapa hari bedrest di rumah. Nurse cakap kalau pad penuh dalam sela masa 3-4 jam dan keluar darah ketul-ketul memang kena cepat-cepat ke Unit Kecemasan, GH Melaka semula.

Balik rumah, aku pakai pad dan pantyliner untuk pantau bleeding. So far alhamdulillah heavy bleeding dah takde cuma sesekali ada secalit darah merah atau sisa darah lama (coklat) tercalit ke pad/pantyliner. Kali ni memang bed rest dengan erti kata sebenar; terbaring sepanjang hari, hanya bangun ke toilet dan solat duduk melunjur atas katil, makan minum pun atas katil.

19 Oktober 2017 - 14w 2d. Masih dalam tempoh MC. Adik bongsu offer untuk scan progress baby di KKIA pada sebelah petang. Alhamdulillah dah tak ada bleeding dalam rahim. Baby pun bergerak aktif.
Tension tengok buku pink salinan aku dah lunyai dok kena kitai oleh KKIA dan GH Melaka. Dah la cover nipis, sampai tercabut cover dari isi buku pink ni. Aku buang cover asal dan photostat balik atas kertas A4 yang lebih keras dan balut dengan plastik. Puas hati. (23 Oktober 2017)

26 Oktober 2017 - Temujanji di KKIA pada 15w 2d. Kedudukan rahim dah naik 17cm. Staf nurse guna doppler untuk kesan degup jantung baby, dapat bacaan 144bpm. Berat badan turun jadi 71.0kg balik. Masa jumpa doktor, minta doktor scan balik sebab selang hari sejak start kerja semula (23 Okt) kerap bleeding darah coklat, takut masih ada darah dalam rahim lagi. Doktor scan alhamdulillah takde nampak bleeding spot dalam rahim, cuma doktor ada mention placenta low lying, tapi tak perlu risau sebab masih awal kandungan lagi.

Catatan yang aku coretkan dalam app Sticky Notes di dalam HP

01 November 2017 - 16w 1d. Temujanji di Klinik O&G GH Melaka jam 9.00 pagi, berat badan kali ni 71.4kg (naik 0.4kg dari timbangan pada 20 Sept 2017 - 71.0kg). Inform pada doktor pasal kes tumpah darah pada 15 Okt lepas, kebetulan doktor di EPAU ada catit pada kertas discharge note perlu buat scan semula, jadi kali ni dapat peluang sekali lagi scan baby di bilik 10.

Alhamdulillah, masa scan pegawai perubatan tu maklumkan air ketuban baby cukup, jantung baby pun ok. Doktor juga beritahu yang cyst yang berada disebelah kanan ovari dah tak kelihatan; sama ada cyst tu dah mengecil atau tertutup dengan baby. Bila tanya pasal detailed scan, pegawai tu cakap masa yang sesuai untuk buat detailed scan adalah sekitar 18 - 22 minggu tempoh kehamilan. Jadi, doktor setkan tarikh appointment seterusnya adalah pada usia kandungan 20 minggu lebih (4 Disember 2017) nanti untuk scan baby dengan lebih teliti.

09 November 2017 - 17w 2d. Temujanji di KKIA. Akhirnya pada usia kandungan 4 bulan lebih, baru keluar dari range berat badan 70-71kg....huhuhu, sekali naik 800gm menjadi 72.2kg. Check-up kali ini, nurse periksa kedudukan rahim dan periksa denyutan jantung baby guna doppler. Doktor takde scan baby kali ni, ada tanya doktor kalau KK boleh tambah stok Duphaston sebab yang GH bekalkan untuk sebulan tu dah nak habis. Tapi doktor KK kata memang kena habiskan stok Duphaston yang GH berikan itu sahaja dan KK tak ada bekalkan Duphaston. Hurm, ok. Doktor kata kalau bleeding lagi, memang kena lalui prosedur yang sama; kena ke Unit Kecemasan untuk doktor pakar GH Melaka periksa.

11 November 2017 - Sesi pertama lawatan ke rumah oleh nurse KKIA. Agak kelam kabut sebab tak sangka dia akan datang cek di rumah hari Sabtu, dah sampai depan pintu rumah baru dia call. Dah la aku tengah baring-baring kat atas katil, rumah pun tak kemas. Nasib la kan? Sebab ingatkan appointment KK pada 23 November nanti nak minta cuti rehat terus, so boleh set petang tu nurse datang ke rumah untuk lawatan ke rumah. Nurse cakap lawatan seterusnya akan dibuat pada usia kandungan masuk 8 bulan. Masa lawatan ke rumah, nurse periksa tekanan darah secara manual dan ukur ketinggian rahim lepas tu berbual kosong tentang masa bersalin nak berpantang di mana, kalau ada pendarahan kena cepat-cepat ke GH Melaka.

23 November 2017 - Appointment pada usia kandungan 19w 2d di KKIA. Kali ni berat badan naik lagi 700gm menjadi 72.9kg. Huhu...kali ni adik bongsu beria-ria nak scan perut, jadi aku ok je la. Masa nurse periksa denyutan jantung baby, agak lama juga nak jumpa kedudukan yang betul. Berdebar betul dalam hati sampai aku cakap dalam hati "Baby, wake up sayang...mama nak dengar degup jantung baby please". Alhamdulilah dapat juga nurse cari menggunakan alat doppler; 144bpm. Kedudukan rahim pun mengikut perkembangan iaitu 21cm. Adik bongsu scan semua part badan baby dan scan juga jantina baby. Hik hik hik...dua kali scan (1st masa 16w), resultnya masih sama...apa-apa pun aku bersyukur dengan kurniaanNya. Temujanji seterusnya adalah pada 7 Disember 2017 (usia kandungan 21w 2d). Doktor jotted down next official scan adalah pada usia kandungan 28w, inshaAllah.

* Bermula penghujung 18w dan masuk 19w, masalah sembelit dan buang air tak lawas menghantui. Bila tanya adik bongsu, dia gelak je kata itu normal bila dah nak masuk 20w sebab rahim menekan usus besar. Nak kata kurang minum air, hari-hari water intake memang kekal 3 liter ke atas dan setiap hari makan buah-buahan. Bila dapat buang air besar dan perut kempis balik, fuh rasa bersyukur sangat.*

26 November 2017 - 19w 5d. Pergerakan baby dah mula rasa sejak seminggu dua, tapi hari ni lepas makan tengahari aku berbaring sekejap menanti masa nak solat Zuhur. Tiba-tiba rasa perut beralun di belah kanan masa aku tengah usap lembut perut berbual dengan baby, terkejut dibuatnya sebab automatik jari aku terangkat ikut beralun. Ya Allah, seronoknya pengalaman ini sampaikan aku menangis happy. Alhamdulillah dapat rakam dengan HP pergerakan baby berpusing.

No comments:

Post a Comment

Awak hantar komen? Awak sangat 'awesome' ! Terima kasih.... :)