07 July 2013

3 Buku Santapan Rohani


7 Julai 2013.

Selasa lepas, lepas melawat mak di hospital, aku terus ke tempat kerja hubby. Singgah sebentar solat Maghrib dan singgah kedai buku MPH. Seperti biasa, seksyen motivasi adalah seksyen kegemaran. 

Buku : 
Tuhan Sedang Menguji Kita

Sinopsis:
Kita bicara tentang pancaroba, kita berkata tentang malapetaka, tapi hati kita masih terleka. Kita tewas dalam gembira, kita tersungkur ketika derita. Namun, andai ujian itu membawa kita ke pintu kesedaran, maka ujian itu sebenarnya manis. ALLAH tidak pernah menjadikan sesuatu itu sia-sia. Sesungguhnya, dunia adalah tempat ujian, akhirat jua tempat kebahagiaan abadi.

Buku : 
Beduk Diketuk: Kisah-Kisah yang Diberi Nafas Islam yang Mencuit Perasaan, Mengocak Fikiran dan Menyalakan Api Perubahan (Diselang Selikan dengan Ilustrasi yang Mencuit Hati daripada Kartunis Nik Wafdi)

Sinopsis:Apabila beduk diketuk, tentulah ada yang rasa terkejut, tak senang malah ada kalanya ‘bingit', namun sebaik menyedari untuk apa beduk itu diketuk. Kita akan mula memberi perhatian, mendengarnya dengan teliti dan bertindak selaras dengan mesej yang dibawanya. Suara peringatan ada kalanya tidak perlu terlalu nyaring, namun cukup sekadar dapat didengar oleh telinga dan hati. Orang yang bijaksana akan lebih terkesan oleh bisikan berbanding jeritan. Nilai tambah dalam buku ini adalah ilustrasi yang penuh makna daripada saudara Nik Wafdi. Ilustrasi mampu mengangkat mesej berbanding ratusan malah ribuan kata-kata. Dan kami yakin pembaca akan teruja oleh usikan nakal namun penuh makna daripada pelukis tersebut. Dengan ini bahagian otak kanan (ilustrasi) dan kiri (kata-kata) para pembaca akan diaktifkan secara optimum bagi memantapkan lagi kefahaman dan penghayatan.

Buku : 
Angguk Geleng-Himpunan Kisah Dakwah Satira

Sinopsis:Manusia tidak suka digesa apalagi dipaksa. Alpanya tidak boleh dikejutkan dengan kasar. Egonya tidak boleh diterjah dengan bersemuka. Manusia suka dipujuk, dibelai dan diajak kepada kebaikan dengan lunak dan kasih sayang. Biar dia tidak sedar betapa hati, fikiran dan emosinya “diundang” ke daerah kebaikan menerusi pendekatan yang mudah, ceria malah tidak menekan. Inilah eksplorasi yang penuh aspirasi di sebalik pembikinan buku ini. Jangan ada tekanan. Usah ada yang rasa dipersendakan. Buku ini, insya-Allah akan menyebabkan kita rasa bersalah tanpa terasa dipersalahkan. Buku ini wajar dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat kerana memaparkan kisah-kisah yang dapat memberi kesedaran jiwa dan minda; paparan kisah dalam keadaan yang bersahaja tetapi mampu membuat kita mengangguk – mengeyakan kebenaran; paparan kisah yang mampu menyentak kotak fikiran sehingga kita menggeleng – mengakui kita sebahagian daripada kisah yang dipersembahkan, dan menyajikan kisah-kisah yang boleh dijadikan teladan dalam kehidupan seharian.


Berdikit-dikit memulakan bacaan dengan buku Angguk Geleng, tak dinafikan saat semangat aku tengah merudum ni, inilah bahan bacaan yang sedikit sebanyak dapat membantu menaikkan semula semangat diri.

No comments:

Post a Comment

Awak hantar komen? Awak sangat 'awesome' ! Terima kasih.... :)