30 September 2011

Abang Sayang Ajak Dating


Buang tebiat laki bini marathon tengok wayang sampai 2 hari berturut, hehehe......

29 September 2011

Fenomena Keropok

Kiri - Keropok ikan, kanan - keropok belinjau
 
Sejak balik dari Pangkor ni, kat rumah tu dah macam ada pesta keropok sedunia lak. Kejap-kejap bibik aku gorengkan keropok yang kawan aku kirimkan dari Terengganu, pastu dok reramai depan tv sambil makan keropok cecah dengan sos keropok lak. Satu lagi keropok yang jadi rebutan adalah keropok belinjau yang pahit-pahit tu. Memula aku ngan mak aku je yang suka makan keropok belinjau ni, yang lain buat-buat muka kerek tak nak makan. Last-last aku racun masing-masing dengan cerita kesedapan keropok ni, terus masing-masing dah jadi ketagih nak makan. Hehehe....

Keropok melanjau yang belum digoreng. Sumber gambar dari internet
Yang bestnyer, suami aku yang tak suka makan keropok ni sebab dia kata pahit, dah boleh dengan selamba makan keropok ni sekarang. Tak tahu la kenapa, bila makan keropok malinjau ni, memang kelat tekak tapi tangan asyik je mencapai pastu masuk mulut lagi....nikmat plak, hehehe. Sebab tu aku gelarkan keropok belinjau ni 'keropok dadah'....

28 September 2011

Ketupat Palas, Rendang Daging & Ikan Jenak


Ikan yang wajib beli setiap kali ke pasar, khas untuk mak....ikan jenak. Memula dulu aku pening gak nak kenal jenis-jenis ikan selain ikan kegemaran aku iaitu ikan selar, hik hik hik. Kakak yang jual ikan kat pasar Masjid Tanah tu memang dah tahu sangat apa ikan aku nak beli bila aku datang kedai dia setiap hujung minggu. kadang-kala sampai dia simpankan ikan tu untuk aku, takut orang lain beli dulu.


Makanan wajib raya yang baru sekarang aku dapat rasa. Masa bulan puasa aritu, Mak Ngah ada ambil tempahan ketupat palas ni, tapi memandangkan aku lambat buat tempahan, tak dapat la Mak Ngah buatkan untuk aku. Masa raya pun aku tak jumpa ketupat ni kat rumah-rumah yang aku datang beraya. Masa kat RnR Tapah arah ke utara, memang ada gerai yang jual ketupat palas ni, tapi takkan la aku nak berbondong-bondong naik feri ke Pangkor dengan beg berisi ketupat ni, hehehe. Jadi, malam tadi masa jalan-jalan kat pasar malam dalam taman perumahan aku tu, nampak ada makcik jual ketupat palas ni, terus aku borong ketupat palas ngan rendang daging. Balik rumah, mak manja-manja minta aku suapkan ketupat palas tu dengan rendang daging tu masa tengah menonton televisyen.....amboi3x.....anak-anak buah aku dengan bibik gelak je tengok aku suapkan mak.

26 September 2011

Kupang Rebus Cecah Kuah Sos

Sabtu lepas lepas gi berurut tetiba teringin nak makan geragau buat cucur. Tapi tak de rezeki, penat cari sepanjang pantai, tak ada orang menjual. Kalau ada pun, ada dua tiga kedai yang menjual kupang segar tapi tak tergerak pula hati nak singgah membeli.

Balik rumah, cerita dengan mak yang aku teringin nak makan geragau dan nampak gerai jual kupang je, mak kata apsal tak beli je kupang, best makan buat sambal atau rebus macam tu je. Eh, mana la nak tahu mak teringin nak makan kupang? Hehehe...

Jadi, semalam lepas balik hantar suami ke tempat kerja dia sebab hujan, aku balik lalu jalan Malim-Cheng. Tengah-tengah bawa kereta laju, tetiba nampak gerai jual kupang segar kat tepi jalan, terus brek mengejut, nasib baik tak ada kereta kat belakang dan motor kat sebelah. Dapat la beli kupang tu dalam sekilo setengah.

Sampai rumah, tunjuk kat mak..kemain seronok mak....mak suruh bibik ambik dan kemaskan, pastu rebus. Petang tu juga makan petang dengan kupang rebus cecah kuah sos cili. Sedap juga.....


Rebus kupang dengan sedikit halia, bawang merah, bawang putih yang dah dihiris halus dan sedikit garam
 




Tabiat Suami Kumpul Duit Syiling

Mula-mula dulu, selalu gak dok perati tabiat suami, kalau dia nak kosongkan poket seluar dia sebelum masukkan dalam bakul baju kotor, dia akan keluarkan segala duit syiling dan campurkan dalam satu bekas yang sama dengan kerongsang tudung aku. Memang la mula-mula tu aku tak kisah, lama-lama rasa agak annoying sebab bila tengah kelam kabut nak pakai tudung, kena ambil masa nak asingkan kerongsang-kerongsang tu dari celah-celah duit syiling baru boleh pilih mana satu kerongsang nak pakai.

Haish...ni tak boleh jadi ni. Kalau setakat sekeping dua duit syilling boleh lagi, ni dah dekat berpuluh-puluh keping. Last-last, aku keluarkan semua duit syiling suami dan susun, bila kira dapat gak dalam RM14-15. Tabiat laki aku ni, dia suka kumpul duit syilling dalam kereta dan wallet dia tapi tak reti nak menguruskan elok-elok. Main letak je mana dia suka. Meh bini dia yang rajin ni tolong uruskan, ye bang? Heheheh....

Sumber : Internet
Bila dah siap kira tu, aku masukkan dalam beg plastik pastu bila ada kelapangan, aku bawa sekali ke kedai. Nasib baik kedai kat dalam taman ni terima kalau ade orang nak tukar duit syiling. Bak kata orang Melaka, win-win situation. Aku dapat duit kertas sebagai pertukaran, dan tokei kedai dapat duit syiling untuk berniaga. Balik rumah, aku letak duit tu atas meja solek. Bila suami balik dari kerja, aku hulurkan duit tu. Terkejut juga dia bila tiba-tiba aku hulur duit sampai RM15 sambil senyum. Aku cakap, ni duit syiling abang saya dah tukarkan kat kedai.....hehhe....dah tak beratkan wallet tu, simpan elok-elok! Masuk kelmarin, dah dua kali aku tukarkan syiling suami kat kedai. Dah jadi satu kerja plak..heheh...tapi aku puas hati.

Skil Dah Tumpul

Hari tu sebelum dan selepas balik dari bercuti di Cameron Highlands dan bengkel di Pulau Pangkor, berkobar-kobar nak masukkan gambar dalam blog ni. Tapi bila godek-godek komputer ni, tak jumpa dah mana Adobe Photoshop. Nak pasang balik software tu dalam komputer rasa macam malas pulak. Sampai kesudah gambar-gambar tu masih dalam external hard disk dan belum dapat diedit lagi.

Skil mengedit gambar pun dah lama tak asah....herm...

23 September 2011

Berurut

Gambar hiasan
 Sebenarnya, cerita berurut ni dah mula dari Sabtu minggu lepas, sehari sebelum bertolak ke Pangkor, Perak. Memang dah berazam lepas raya nak perhebatkan usaha mendapatkan anak selepas dapat keizinan dari suami. Masa raya, dah slow talk dengan suami, nak cuba cara kampung selain daripada perubatan dengan doktor. Cerita dari kawan-kawan opis tentang keberkesanan teknik berurut kampung yang memudahkan mereka mendapat anak akhirnya berjaya mencairkan hati ni.

Ada dua tiga orang kawan di opis yang pergi berurut dengan nenek ni berhasil mendapat anak selepas beberapa kali sesi berurut. Mungkin bukan sepenuhnya hasil berurut tapi mungkin penyebab untuk mudah lekat. Rasanya tak salah berurut, selain niat untuk kuatkan rahim, dapat juga memperelokkan bahagian badan yang dirasakan sudah makin lemau. Nak harap bersenam, rasa-rasanya makan masa juga. Memanglah lepas jumpa doktor dietitian tempohari, dah pasang niat nak bersenam dengan berjogging. Siap sms kat suami, lepas ni nak cari kasut sukan khas untuk bersenam, tak kisah la mahal asalkan dapat menguatkan lagi usaha nak menguruskan badan ni. Tapi ni dah seminggu, bayang-bayang nak jejak kaki ke kedai kasut atau peralatan sukan tak muncul-muncul juga..haish! Hehehe...

Sambung balik pasal berurut ni, sabtu tu ke rumah nenek ni dengan kawan-kawan. Berkongsi kereta, seawal jam 8 pagi dah berkumpul di rumah kakak kawan opis. Dok peratikan jalan, nak hafal, manalah tahu kalau-kalau nak pergi sendiri nanti, takde la menyusahkan kawan. Alhamdulillah, senang nak ingat jalan ke sana. Sampai je kat rumah nenek tu, dia ajak masuk rumah dan terus ke bilik tempat dia selalu mengurut orang. Segan juga kena londehkan seluar slack depan kawan-kawan, sebab nak menyenangkan nenek tu mengurut sampai ke pangkal ari-ari.

Ramah juga la nenek ni, kebetulan dia bekas bidan dari umur dia 20 tahun, banyak pengalaman dia dan dia suka bercerita pengalaman-pengalaman dia masa tengah mengurut. Nenek ni bagitahu rahim aku tak bermasalah, malah boleh senang lekat. Cuma kena berpantang beberapa perkara, misalnya pantang jangan makan rebung (oh, ini salah satu makanan kegemaran aku!), nenas, cili api, ais, air tebu dan air kelapa. Kalau kuat berpantang, cepatlah dapat hasilnya. Kalau tak, lambat skit la nak nampak hasilnya. Tangan nenek ni sedap betul mengurut. Nenek tu pun ada cakap, perut aku tak keras dan senang nak urut. Masa nenek ni mengurut cari urat peranakan aku, dia kata urat tu agak terbenam sedikit, tu yang menyebabkan rahim aku senang terlipat dan susah nak lekat. Salah satu puncanya, lemak kat bahagian aria-ari tu tebal, almaklumlah aku kan jenis badan berisi. Dan inilah salah satu faktor aku kena bersenam. Nenek tu ajar teknik nak kurangkan lemak kat bahagian perut tu, lebih kepada sit-up cuma tak perlulah angkat kaki masa naikkan badan/kepala tu, cuma kena tahan badan seberapa lama yang kita mampu. InsyaAllah, urat peranakan tu akan timbul dan lemak-lemak kat bahagian tu akan pecah.

Esok pun insyaAllah aku cadang nak ke rumah nenek ni lagi, bertemankan kakak opis yang lain. Berurut ni tak boleh buat sekali, kena selalu dan kena rajin, baru nampak hasilnya.

P/S: Sejam dua lepas berurut dengan nenek ni, masih boleh bergelak ketawa...tapi bila dah petang, bahagian bawah perut dah mula rasa sakit-sakit, haaa......padan muka! Membongkok juga la badan menahan sakit. Sms kat kawan, dia kata mungkin sebab baru mula-mula berurut, badan baru nak serasi...hehehe! Redha je la...

15 September 2011

Beza Cameron Highlands, Melaka Dan Pangkor

Dari Melaka ke Cameron Highlands, aku gembira.
Dari Melaka ke Pangkor, hati aku gundah gulana....
Macam mana? Walaupun nampak best macam dapat jalan-jalan dalam tempoh kurang seminggu lepas balik dari Cameron Highlands, tapi gi Pangkor ni bukan boleh nak bersukaria, memeras otak lagi ada ler!

Kalau pergi sana dengan ilmu penuh di dada, ok la juga.
Ni dah serupa macam tadah nyawa kat medan perang je.
Haish.....


09 September 2011

6 Kitaran Lagi

Hari ni temujanji dengan doktor pakar di GH Melaka jam 9.00 pagi. Disebabkan esok dah nak bertolak ke Cameron Highlands, suami tak dapat temankan berjumpa doktor sebab nak bawa keretanya servis di Seremban. Memanglah mula-mula tu rasa kecil hati sebab dia dah janji nak temankan, tapi bila fikir-fikir balik, temujanji doktor ni ntah bila selesainya, lepas tu nak ikut dia balik Seremban untuk servis kereta pulak, saya korbankan perasaan merajuk tu sambil pujuk hati sendiri. Masing-masing ada benda nak diselesaikan, jadi permudahkanlah kerja masing-masing, bukan makin membebankan.

Keluar dari rumah serentak dengan suami, tak sempat nak siapkan sarapan untuk kami berdua...aduh, berdosanya! Berulang kali minta maaf dengan suami, dia jawap tak mengapa.
Sampai di GH, kawasan parkir penuh seperti biasa. Jam dah menunjukkan jam 8.45 pagi. Tak boleh jadi ni! Tekad parkir kereta di luar kawasan GH walaupun sedar saya parkir di kawasan berlabel kuning, terus menapak ke klinik OnG. Mencungap-cungap bila sampai di kaunter! Sebaik je letak kad kuning, nurse suruh masuk bilik 11 utk timbang berat dan ambil bacaan tekanan darah.....argh, sudah! Jangan tekanan darah naik macam hari tu! Rasa mencungap masih tak hilang, bimbang mempengaruhi bacaan nanti. Alhamdulillah, bacaan normal 120/80.Bila timbang berat, naik sekilo dari temujanji terakhir dulu...alamak! Memang kena tazkirah percuma dengan doktor ni kang!

Bila nombor giliran dipanggil, terus ke bilik 7 iaitu bilik doktor pakar. Agak terkejut juga bila nampak doktor lelaki di dalamnya. Dua kali temujanji terdahulu berurusan dengan doktor perempuan semasa buat ujian pap smear, itu pun dah merah padam muka sebab kena kangkang depan doktor-doktor perempuan dan nurse. Hati dok berkata-kata, janganlah kali ni kena buka apa-apa depan doktor lelaki ni.Segan betul rasanya.

Doktor kali ni adalah Dr Chopra, baik orangnya. Dia tanya macam mana dengan pengambilan ubat Duphaston sebelum ni, aku pun terangkan pada dia flow period aku dah teratur cuma 3rd cycle haritu (masa bulan puasa) agak panjang sampai 14 hari, jadi aku jumpa doktor swasta untuk ambik ubat stopkan period tu. Dr Chopra macam blame aku kenapa ambik ubat nucolut tu sebab takut aku overdose. Aku macam.."Mana la aku tahu? Dah doktor swasta tu prescribe ubat tu utk aku,aku makan je la.." Tapi Dr Chopra ni bagus, dia terangkan tentang ubat yang GH beri dengan ubat yang doktor swasta bagi banyak perbezaannya.Aku tunjukkan pada dia jadual kitaran haid yang aku buat untuk pantau period aku sejak tahun 2009. Dia puji sebab pada dia, senang nak tengok paten kitaran haid aku.

Lepas tu, Dr Chopra bagitahu, dia tak nak bagi aku makan pil perancang sebab aku dalam proses nak mengandung. Dia tanya anak dah berapa dan dah berapa lama kawin? Aku senyum, aku cakap aku belum ada anak dan baru nak setahun kawin. Dr Chopra cakap dia nak teruskan beri ubat duphaston tu untuk 6 kitaran lagi untuk pastikan kitaran haid aku teratur. Cuma dia nasihatkan aku fokus pada usaha turunkan berat badan lepas ni sebab besar kemungkinan aku belum hamil sampai sekarang sebab berat badan yang berlebihan. Aku anggukkan jer la, memang mana-mana doktor yang aku jumpa akan nasihatkan benda yang sama. 

Aku ada tanya doktor tentang keberkesanan kit ujian kesuburan yang dijual di farmasi dan amalan konsep periksa suhu badan untuk tentukan tempoh kesuburan untuk periksa bila tempoh subur untuk bersama dengan suami. Dr Chopra cakap, dia tak berapa yakin dengan benda-benda tu terutamya untuk kes period tak teratur macam aku. Sebaiknya, dia suruh selalu bersama dengan suami dalam tempoh 10 ke 17 hari datang period, sekurang-kurangnya 2 kali dalam seminggu. Peluang untuk hamil ada, katanya.

Lepas je jumpa doktor, terus ke farmasi doktor pakar GH untuk ambil ubat duphaston kitaran baru. Sambil tunggu giliran, aku sms suami dan adik bagitahu apa yang doktor cakap tadi. Suami balas sms dan janji nak sama-sama berusaha kuruskan badan dan bersenam sekerap yang mungkin....insyaAllah, harap Allah permudahkan urusan kami suami isteri untuk mendapatkan apa yang kami sangat hajati selama ni....anak!

08 September 2011

Dugaan Demi Dugaan

Minggu ni banyak betul dugaan yang menimpa diri ni. Awal minggu dah diserang demam panas dan batuk tak berhenti-henti. Tekak ni punya gatal hanya Tuhan jerlah yang tahu. Agaknya bengang bos aku asyik dengar aku batuk tak habis-habis dalam bilik ni....haha! Nak buat macam mana lagi kan?


Semalam pula terasa nak makan Mee Penang Har Mee Perisa Udang lepas balik kerja, perut pun tengah lapar. Mee tu tengah panas lagi, aku dah sibuk-sibuk nak masukkan dalam mulut. Sekali, melecur lidah aku. Sampai tengahari ni, lidah aku masih sakit dan perit. Makan sarapan pagi tadi pun tak rasa apa. Aduh!
 
Jumaat ni aku cadang nak bercuti sehingga Isnin depan. Ada dua alasan. Pertama, hari Jumaat ni memang ada temujanji dengan doktor pakar OnG di GH Melaka. Kalau minta kebenaran keluar sekejap waktu kerja, aku rasa tak berbaloi je. Memanglah temujanji tu pukul 9.00 pagi, tapi nak tunggu giliran berjumpa doktor memang sampai ke tengahari. Jadi, adalah lebih baik aku bercuti satu hari dari kelam kabut nak berkejar ke pejabat lepas jumpa doktor.

Pemandangan luar English Cottage MARDI

Suasana dalam English Cottage MARDI

Yang kedua, Sabtu sampai Isnin ni pula aku dah rancang nak ke Cameron Highlands dengan suami, bawa mak dan bibik jalan-jalan. Kesian kat mak, sejak sakit ni, jarang dapat berjalan jauh dan asyik terperap di rumah je dengan bibik. Orang sakit ni kalau asyik terperap je, badan susah nak beransur baik sebab tak terdedah dengan persekitaran luar. Memula memang mak macam keberatan nak pergi, tapi aku pujuk dia. Selain tu, percutian kali ni boleh la dianggap percutian bulan madu kedua buat aku dan suami.

Alhamdulillah, sekali dua survey dalam internet dan bertanya pendapat Ateh, aku hubungi pihak Mardi Agroteknologi Cameron Highlands dan terus tempah banglo 2 bilik jenis English Cottage di Tanah Rata. Bukan tak nak tempah hotel, cuma aku memikirkan tentang keselesaan mak memandangkan mak berkerusi roda. Nanti bila dah sampai, aku review pasal percutian ni, ok? Harap-harap la percutian kali ni dapat menggembirakan hati mak.

05 September 2011

Bila Suami Isteri Chat Dalam FB


Kelakar la pula bila baca balik chat dengan suami pada malam raya pertama ni. Masa ni saya tengah sibuk upload gambar-gambar raya dalam fb dan blog serta tengah kemas barang, suami pula tgh surf internet menggunakan telefon bimbit HTC dia sambil berbaring atas katil. Tiba-tiba muncul chat box dengan nama dia yang keluar...pelik la pulak? Dah satu bilik pun nak guna chat box ke?

Rupanya dia saje kacau sebab tunggu saya lama sangat duduk mengadap komputer dan beg baju kami. Kesian la pula, agaknya dia tengok saya tak pusing langsung tengok dia dah terbaring atas katil dan dalam proses nak lelapkan mata.

Kalau tengok gaya bahasa dan cara gurau, memang nampak macam kasar....gurau cara orang Melaka, hehehe....tapi tak ade kias-kias, terus kepada sasarannya! Hehu...

Semasa dan Selepas Raya

Saje-saje pakai semula kanta lekap berwarna untuk raya tahun ni. Nampaknya selama 3 bulan la mata saya berwarna, lepas tu sambung pakai balik kanta lekap biasa...hehe


Seperti yang dijangka, sekitar awal Syawal saya akan datang bulan, tapi Alhamdulillah, pada raya pertama saya berpeluang solat hari raya dengan mak mertua di Masjid Bukit Chedang, Seremban. Pada raya ke-dua, sebaik sahaja sampai di Melaka awal pagi, saya dapati darah haid dah mula keluar. Suami tersenyum sahaja. Saya pun tersenyum, dua mood yang berbeza.....gembira sebab proses datang bulan dah semakin teratur setiap bulan (dengan bantuan ubat), sedih sebab ini menandakan saya belum berpeluang hamil lagi....takpe lah, saya redha...

 Esok nak kerja, hari Ahad dah mengelabah cari kedai mencuci kereta untuk grooming semula dak Abang (kereta saya)....berbaloi rasanya hantar di kedai ni, hanya RM20 untuk proses cuci badan kereta, bersihkan bahagian dalam kereta dan water wax.

 Ni lah akibatnya kalau tak kawal diri semasa bulan Syawal! Bulan puasa memang lah konfem berbuka dengan air batu, masa raya pula asyik minum air batu.....lepas gi basuh kereta, terus ke klinik di Bandar Baru Sungai Udang, ambil ubat sakit tekak. Oh...suara saya sangat serak-serak basah, pakai suara dalam....sangat Ella!

 
Temujanji dengan bilik B33 di Hospital Besar Melaka untuk proses ujian darah. Hasil ujian ni akan digunakan semasa rawatan susulan saya dengan doktor pakar OnG di situ Jumaat ini. Entah apalah keputusannya nanti...Masa saya tiba di bilik B33 tu, running number ketika itu adalah 44, nombor giliran saya pula 134....pengsan! Dengan sesaknya, dengan panas tak terasa suhu penghawa dinginnya.....lemau dibuatnya menunggu nombor giliran dipanggil. Nasib baik dapat idea minta adik tolong ambilkan darah, jadi proses menjadi semakin cepat dan tak perlu tunggu sehingga tengahari...hehe. Terima kasih ye Anur!