9 Mac 2014.
Melawat mak petang tadi, bawakan bekal makanan.
Seronok dapat suap mak makan nasi dengan lauk kegemaran mak. Kali ni lebih dari tiga suap. Nasi pun habis mak makan. Mak berselera makan udang goreng tepung dan bendi dan cili merah layur dengan daging.
Kusyuk mak membaca akhbar hari ni, mak pun ambil tahu perkembangan kisah kapal terbang MAS yang hilang tu. Tengahari bila ada kesempatan, bibik tolak mak atas wheelchair ke ruang legar depan wad, untuk menonton televisyen.
Malam tadi sebelum datang, mak ada pesan suruh belikan pisang untuk dimakan. Mak dah beberapa hari tak membuang air besar dan perut kembung. Alhamdulillah, tadi dapat suapkan mak 2 biji pisang.
Bahagian belakang punggung mak melecet sebab kurang bergerak sejak 2 minggu ni. Dulu tempat yang sama pernah luka sebab banyak berbaring (masa mak mula-mula potong kaki kanan). Disebabkan mak kerap pakai pampers dan kurang bergerak, kulit jadi lembab dan melecet. Aku belikan bahan air cuci luka dan dressing untuk dipakai setiap hari. Sebab tu la bila nak bangunkan atau baringkan mak, mak mengaduh sakit berikutan kesan melecet memang betul-betul kat kawasan tulang pinggul mak.
Mak dah hampir tiga minggu dimasukkan di wad. Besar kemungkinan akan terus berada di GH Melaka untuk jangka masa agak lama. Adik bongsu yang doktor dah dimaklumkan bahawa pihak hospital kena tahan mak lama, antara empat (4) ke enam (6) minggu disebabkan mak perlu dirawat dengan ubat antibiotik yang paling kuat. Jangkitan kuman ada dalam darah dan di jantung mak. Setiap kali buat ujian ECHO, masih ada kesan jangkitan berbaki.
P/s: Satu je pesanan untuk kawan-kawan dan sesiapa sahaja; jangan pandai-pandai ambil ubat antibiotik di klinik/ beli di farmasi tanpa pemantauan doktor. Badan yang tak sakit kalau dimasukkan dengan ubat antibiotik, badan akan jadi kebal dari kesan ubat bila jatuh sakit nanti. Contoh terdekat...mak. Kebergantungan kepada antibiotik untuk tempoh masa yang lama pun salah satu faktor badan mak jadi imun dengan ubat antibiotik yang doktor masukkan dalam darah mak selama di wad tempohari.
Ini bukan masanya nak salahkan mak, benda nak jadi dan di luar pengetahuan kita, tapi biarlah ini semua jadi iktibar dan peringatan pada kita semua.
No comments:
Post a Comment
Awak hantar komen? Awak sangat 'awesome' ! Terima kasih.... :)