Dah hampir sebulan aku dalam keadaan begini. To be exact, bermula dari 18 Mac 2011, sewaktu mak mula dimasukkan dalam hospital disebabkan oleh kaki mak diserang gangrene (bermula dengan luka di ibu jari kaki kanan sehingga melarat ke jari ke-2 dan ke-3) dan menjalani pembedahan kaki. Selepas tu, hidup dah berubah sepenuhnya. Aku mula kenal hidup berkelana dan perlu pantas menyesuaikan diri dengan perubahan dalam hidup.
Sebut sahaja wad mana di hospital besar Melaka tu, wad di blok lama? wad di blok baru? semua jenis wad aku dah pernah berkampung siang dan malam menemankan mak. Mula-mula dulu takut juga, sebab tak pernah dalam hidup tidur di hospital. Sebelum ni macam-macam cerita seram tentang hospital yang aku dengar, tapi alhamdulillah selama aku tinggal di hospital, tak de apa yang mengganggu. Bahkan, aku gembira dapat rasa pengalaman ni, dapat tengok macam-macam ragam manusia di situ.
Kerja Tuhan manalah kita tahukan? Dia beri aku pengalaman merasai semua ni. Aku belajar cara balut luka mak dengan perhatikan cara nurse rawat mak. Bangun awal pagi seawal 4.45 pagi, lapkan badan mak dengan air panas suam, tukar pakaian mak, beri makan minum mak, layan berbual dan pantau ubat yang diberikan pada mak. Hampir 2 minggu aku kepergi kerja dari hospital besar Melaka. Bersarat barat dengan beg pakaian, beg galas komputer riba dan penyangkut baju, berjalan dari tempat parkir ke lif....aku tahu banyak mata yang memandang, takpe la, aku tak kisah. Kereta aku dah menjadi seperti rumah bergerak, macam-macam ada...air, baju, kasut, beg pakaian, baju kurung (baju kerja), komputer riba dan lain-lain lagi.
Lepas mak keluar dari wad pada 30 Mac 2011, aku dan mak tak terus balik ke rumah di Sungai Udang. Kami duduk menumpang di rumah kakak aku di Sungai Putat sehingga saat ini. Hanya sekali sekala je aku balik ke rumah Sungai Udang, itupun hanya singgah mengambil barang keperluan mak. Sementara menunggukan pembantu rumah baru sampai, kami duduk dengan famili kakak, mudah untuk bawa mak ke hospital besar untuk temujanji fisioterapi mak - mak kena belajar berjalan semua, dan senang kami adik beradik balik jenguk mak waktu tengahari - beri makan minum dan kemas kencing berak mak.
Suami aku yang berpindah ke Melaka sejak 6 April 2011 pun sama-sama tinggal dengan kami di Sungai Putat. Kesian dia, tapi kalau nak biarkan dia tinggal di Sungai Udang, menguruskan makan minum sendiri, rasa tak patut pula. Nasib baik suami memahami dan tak banyak cerita, dia setuju je dengan cadangan aku untuk tinggal sama-sama di rumah kakak. Lagipun, kalau nak dibandingkan perjalanan dari Sungai Udang ke Banda Hilir dan dari Sungai Putat ke tempat sama, dari rumah kakak aku lebih dekat perjalanannya. Buat sementara waktu ini, kami ikut je la apa sahaja perancangan Allah untuk hidup kami. Mungkin ada hikmah disebalik semua ini. Keselesaan dan kemahuan diri sendiri ditolak ketepi, asalkan kesihatan mak terjaga.
No comments:
Post a Comment
Awak hantar komen? Awak sangat 'awesome' ! Terima kasih.... :)