10 August 2012

Jom Ikut Kempen ‘Amalkan 55555’ Sempena Hari Raya Aidilfitri

 Jata

KENYATAAN AKHBAR
YB  MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
MAKAN SECARA SIHAT DI HARI RAYA

“MAKAN SECARA SIHAT KUNCI KESIHATAN”

09 OGOS 2012



Lebih kurang seminggu lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Hari Raya Aidilfitri, yang juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, merupakan perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia setelah berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Qurban.

Hari Raya pastinya akan disambut meriah oleh seluruh rakyat Malaysia. Antara amalan yang menjadi tradisi pada Hari Raya ialah amalan kunjung-mengunjung serta mengadakan rumah terbuka, sama ada di rumah ataupun di tempat kerja. Sambutan Hari Raya berbeza dengan perayaan-perayaan lain kerana Hari Raya disambut sepanjang bulan Syawal selama sebulan. Oleh itu, tujuan sidang media pada hari ini adalah untuk memberi kesedaran serta mengingatkan masyarakat untuk sentiasa mengamalkan makan secara sihat, khususnya di Hari Raya.

Semasa berpuasa selama sebulan, ramai yang mengambil kesempatan untuk menurunkan berat badan. Kebiasaannya, ramai yang sukar untuk mengawal nafsu makan apabila dihidangkan dengan pelbagai juadah yang menyelerakan seperti lemang, ketupat, rendang dan pelbagai kuih-muih seperti tat nenas, dodol dan bahulu. Inilah sebabnya ramai di antara kita mengalami penambahan berat badan setiap kali musim perayaan. Berdasarkan tinjauan secara rawak yang dijalankan di kalangan 181 orang dewasa berbangsa Cina di Malaysia pada Tahun Baru Cina 2012 baru-baru ini, didapati  51.4% responden mengalami peningkatan berat badan selepas 15 hari menyambut Tahun Baru Cina. Secara purata, peningkatan berat badan adalah sebanyak 0.7 kg.

Pengambilan lebihan kalori bagi seorang individu sebanyak 500 kcal sehari akan menyebabkan peningkatan berat badan sebanyak ½ hingga 1 kg dalam masa seminggu atau 2 hingga 4 kg dalam masa sebulan. Sebagai contoh, 500 kcal merangkumi 3 potong lemang (1 potong = 1 cm tebal) yang dimakan bersama 2 senduk atau 4 ketul kecil rendang ayam. Ingatlah bahawa adalah lebih mudah untuk mengurangkan pengambilan makanan daripada membakar kalori setelah memakannya. Sebagai contoh, untuk membakar 500 kcal, seorang lelaki dewasa perlu berlari selama 50 minit  atau berjalan 200 minit.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati prevalen obesiti telah meningkat daripada 4.4% (NHMS 1996) dan14.0% (NHMS 2006) kepada 15.1% pada tahun 2011. Paling ketara ialah prevalen diabetes di kalangan dewasa berumur 30 tahun ke atas, yang telah meningkat daripada 14.9% (2006) kepada 20.8% (2011). Saya berharap agar kita tidak akan menyumbang kepada penambahan bagi statistik ini selepas sambutan Hari Raya nanti.

Oleh itu, mesej saya kepada rakyat Malaysia  adalah untuk mengamal ‘55555’ iaitu 5 LIMA. Pertama, kita perlu makan 5 kumpulan makanan setiap hari untuk mendapat kesemua nutrien yang diperlukan. 5 kumpulan makanan tersebut adalah bijirin; sayur-sayuran dan buah-buahan; protein (seperti ikan, ayam dan daging); susu dan produk tenusu; serta lemak, minyak, gula dan garam. Kedua, makan 5 sajian buah dan sayur setiap hari. Ketiga, hadkan kepada 500 kalori sahaja bagi setiap waktu makan utama iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam. Keempat, hadkan kepada 5 gram atau satu sudu teh gula sahaja atau “kurang lebih baik” untuk minuman manis. Kelima, bersenam 5 kali seminggu. Ingatlah dan amalkanlah, bukan semasa Hari Raya sahaja, tetapi setiap hari, untuk kesihatan kita!

Agama Islam juga menuntut umatNya untuk bersederhana di dalam pengambilan makanan. Saya difahamkan ada hadis yang menyebut  “Sebenarnya beberapa suap saja sudah cukup untuk menegakkan tulang rusuknya. Kalau dia harus mengisinya, maka 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 lagi untuk bernafas”.

Ikutlah panduan amalan makan secara sihat yang disarankan dalam buku kecil bertajuk “Makan Secara Sihat di Hari Raya” yang juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia, www.moh.gov.my atau http://nutrition.moh.gov.my.

Hayatilah musim perayaan ini dengan penuh kesyukuran tanpa menjejaskan kesihatan. Oleh itu, pesanan saya kepada semua rakyat Malaysia, makanlah secara sihat kerana “Makan Secara Sihat Kunci Kesihatan”. Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri. Semoga tahun ini kita akan lebih sihat, bahagia dan sejahtera.


DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia
9 Ogos 2012

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bila baca kenyataan akhbar di atas tu, gerun pula rasanya, sebulan puasa, nak turun berat badan kemain susah, bersukat sana sini. Benda sedap depan mata pun terpaksa buat-buat tak nampak. Tu pun turun tak banyak ( tapi syukur alhamdulillah turun juga la 3kg lebih).

Kalau tak kawal makan semasa perayaan nanti, memang senang-senang je berat akan naik sehingga 4kg malah lebih! Tak mo-tak mo..... kena ada orang kat sebelah yang tolong ingatkan kita semasa makan (tegur cara baik dan lembut la, kalau jerkah-jerkah, alamatnya dengan tukang nasihat pun kena kunyah sekali dengan rendang, huhu!).

Biar sombong pada makanan, jual mahal skit, janji kesihatan diri terjaga sepanjang bulan penuh jemputan jamuan raya ni. 

Tadi, masa lawat laman web Pusat Maklumat Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia, ada juga cuba Kiraan Indeks Jisim Tubuh IJT/BMI Untuk Wanita, klik di sini; walaupun berat badan dah turun ke 77.4kg, kiraan rumusan IJT aku masih di tahap obesiti tahap 1. 

Kalaupun berat badan turun sehingga 67.0kg, itu pun masih ditahap berat badan berlebihan. Jadi, berat badan yang ideal untuk ketinggian badan aku adalah 55.0kg....O.M.G! Masih jauh lagi perjalanan untuk menurunkan berat badan aku ni, tapi InsyaAllah, usaha dan semangat kena kuat.

No comments:

Post a Comment

Awak hantar komen? Awak sangat 'awesome' ! Terima kasih.... :)